Menjana modal insan mahasiswa

Menjana modal insan mahasiswa


PROGRAM Khidmat Masyarakat seperti yang dilakukan oleh Mahasiswa Perubatan ACMS (ACMS-MSA) dari Alor Setar di Kampung Padang Besar, Changkat Jawi, Perlis ini mampu menjana ketrampilan sebagai mahasiswa proaktif.


NEGARA kini memiliki lebih 20 buah institut pengajian tinggi awam (IPTA). Selain itu, puluhan kolej universiti dan kolej sedang beroperasi di seluruh pelosok negara kita. Puluhan ribu pelajar menuntut di semua institusi ini dan sudah ratusan ribu yang menjadi alumni menara gading sama ada di dalam atau luar negara.

Mahasiswa IPT tidak syak lagi merupakan modal insan dan pelapis kepimpinan negara. Tidak kira sama ada mereka akan menjadi pemimpin di dalam politik, pentadbiran negara, pengurusan syarikat dan komuniti satu hari nanti.

Penulis bertuah kerana berpeluang melibatkan diri sepenuh masa dengan pembangunan pelajar di IPT. Sebagai bekas pemimpin pelajar dan kini melaksanakan tanggungjawab sebagai pengetua di sebuah kolej kediaman di UKM, penulis dapat melihat, mendengar dan merasa permasalahan serta keluh-kesah para pelajar secara mendalam dan teliti.

Satu perkara yang sangat jelas pada ketika ini di semua IPT ialah wujudnya seakan kelesuan kegiatan berpersatuan pelajar berbanding era 1990-an. Imej kelesuan kini sering dikaitkan dengan kepimpinan mahasiswa yang lemah, pelaksanaan program dan aktiviti bersifat picisan, tiada peruntukan dan bantuan yang mencukupi, kurang melibatkan kalangan masyarakat, kegiatan yang tidak intelek dan sangat kurang yang bersifat kesukarelaan atau khidmat masyarakat.

Belajar di IPT seakan tidak lengkap jika pelajar tidak melibatkan diri dengan kegiatan berorganisasi serta berpersatuan. Malah sebahagian kemahiran insaniah yang tidak diperoleh di dalam dewan kuliah akan diperoleh melalui persatuan. Malah lebih banyak yang ingat apa yang berlaku di luar dewan kuliah berbanding kuliah oleh para pensyarah.

Kata Albert Einstein, pendidikan yang sebenar ialah ilmu yang masih tertinggal apabila seseorang telah melupakan semua apa yang dilalui semasa di sekolah dahulu. Oleh itu, apa pun yang dipelajari semasa melaksanakan aktiviti berpersatuan sebenarnya adalah sebahagian pendidikan untuk membina modal insan mahasiswa.

Imej dan identiti mahasiswa sekarang sudah berubah berbanding masa lalu. Oleh kerana program akademik yang semakin padat, pembelajaran di universiti kini lebih cenderung belajar berasaskan modul, kurang inisiatif mencari input-input tambahan, sangat bergantung pada bacaan asas atau teks utama.

Pelajar juga lebih suka menunggu arahan pensyarah dalam tugasan mereka dan gemar dipimpin berbanding memimpin. Selain itu imej 'ulat-Internet', taksub dan 'gila' komputer, khayal dengan hiburan terkini serta meminati bahan dan media bacaan ringan. Etika berpakaian juga semakin lemah. Alasannya lebih ringkas adalah lebih praktikal.

Bagaimanakah mahasiswa menyumbang kepada imej lesu ini. Umumnya, ada tiga kumpulan utama yang memberikan sumbangan berbeza.

Kumpulan pertama berpandangan bahawa semua permasalahan dan kelesuan mahasiswa berpunca daripada pihak berkuasa. Mereka cenderung menyalahkan kerajaan dan kepimpinan universiti. Kumpulan ini selalunya 'termakan' dakyah pembangkang dan sering menuding jari bahawa segala kelemahan mahasiswa berpunca daripada kelemahan kerajaan.

Misalnya, bila ada pandangan pihak majikan menyatakan mahasiswa sekarang tidak boleh berkomunikasi dengan baik, kumpulan ini akan segera menyalahkan AUKU yang dikatakan mengongkong suara mahasiswa. Tentu sekali tuduhan tersebut tiada kaitan sama sekali. Malah jika mahasiswa kurang bersukan atau makanan di kafeteria tidak memenuhi cita rasa pelajar walaupun menu berkhasiat, kumpulan ini akan tetap menyalahkan kerajaan dan universiti.

Maka atas pemikiran sebegitu, kebanyakan aktiviti mereka cenderung untuk mengkritik, menuduh serta memburukkan pihak universiti dan kerajaan tanpa ingin memahami situasi sebenar.

Misalnya apabila cadangan AUKU disemak semula, mereka tanpa memahami apakah isi kandungan pindaan AUKU akan menunjukkan penentangan serta bangkangan mereka melalui demonstrasi dan juga risalah-risalah.

Mereka bertanggungjawab memberi imej negatif universiti ke mata masyarakat luar kampus. Bagaimanapun mereka biasanya tidak pula menganjurkan program yang proaktif untuk meningkatkan kembali identiti mahasiswa seperti yang diharapkan.

Kumpulan kedua, memberikan sumbangan yang agak berbeza tentang imej kelesuan mahasiswa. Mereka datang dari kumpulan masyarakat yang budayanya berbeza dengan budaya perdana universiti.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang datang daripada keluarga yang bersifat autokratik akan menghadapi kejutan budaya apabila berada di dalam dewan kuliah atau tutorial. Begitu juga yang datang dari pedalaman.

Mereka ini biasanya hanya menerima apa sahaja keputusan ibu bapa. Membantah atau tidak bersetuju akan dianggap tidak sopan serta tidak mengenang budi. Menyampuk akan dianggap kurang ajar dan biadab.

Malangnya budaya sebegini tidak diamalkan di kampus. Dalam dewan kuliah dan tutorial pelajar dianjurkan malah dipuji jika memberi pandangan kritis, berbeza atau tidak bersetuju dengan pandangan pensyarahnya. Mereka dilatih untuk berhujah dan berdialog untuk meningkatkan pemikiran intelektual mereka. Menyampuk ketika orang lain bercakap ada ketikanya digalakkan dan dibenarkan di dalam tutorial. Malah pelajar juga boleh membangkang sesuatu isu yang difikirkannya tidak sesuai tetapi mesti mempunyai fakta dan rasional untuk mempertahankan hujah mereka.

Ramai di kalangan pelajar yang telah tersalah menterjemahkan budaya baik kepada tabiat yang buruk. Misalnya rasa rendah diri dan malu bertanya diterjemahkan sebagai budaya mulia iaitu tidak sombong dan tidak mahu menonjolkan diri.

Sikap lebih suka mendengar diterjemahkan sebagai menghormati orang. Kurang bercakap dikatakan sebagai sopan santun. Membiarkan orang lain mengambil peluang dikatakan sebagai mengamalkan sikap tidak mementingkan diri sendiri.

Akibatnya, kumpulan ini akan lebih suka berdiam dan menarik diri daripada semua aktiviti persatuan yang dirasakan bertentangan dengan budaya dan nilai mereka. Mereka lebih suka berdiam diri, meminggirkan diri daripada arus perdana aktiviti pelajar serta lebih suka menonton TV atau melayari Internet apabila tiada kuliah.

Kumpulan ketiga yang memberikan imej kelesuan kepada mahasiswa disumbangkan oleh kumpulan yang terlalu berorientasikan akademik. Mereka masih terperangkap dengan pemikiran pembelajaran di peringkat SPM, STPM atau matrikulasi yang sangat mementingkan pencapaian sempurna di dalam peperiksaan. Di universiti pencapaian akademik perlu dilengkapi dengan kemahiran insaniah yang lain khususnya kemahiran berkomunikasi dan berorganisasi. Mereka juga perlu menguasai sekurang-kurangnya bahasa kedua yang berkaitan dengan kerjaya mereka.

Misalnya di dalam bidang pengajian Islam, penguasaan bahasa Arab adalah penting manakala di dalam bidang sains dan teknologi serta sains sosial, penguasaan bahasa Inggeris adalah sangat diperlukan. Kumpulan ini hampir tidak mempedulikan langsung aktiviti berpersatuan sama ada di kolej kediaman atau persatuan di peringkat fakulti dan universiti. Walaupun ada di antara mereka cemerlang akademik, biasanya mereka didapati kurang kemahiran di dalam komunikasi, kepimpinan serta sukan.

Meninjau bentuk aktiviti serta program berpersatuan yang dilaksanakan oleh mahasiswa, jelas mereka sudah ketandusan idea serta tidak menunjukkan minat yang tinggi di dalam kerja-kerja berpersatuan.

Sikap taksub Internet telah melalaikan mereka kepada perkara lain yang jauh lebih penting. Mereka kurang melibatkan diri dengan persatuan yang bertujuan melatih pembangunan berorganisasi, bermesyuarat serta berkomunikasi dengan rakan berpersatuan. Rata-rata pelajar IPT sekarang lebih suka berdiskusi melalui blog dan emel dan kemahiran berkomunikasi secara berdepan tidak lagi menjadi keutamaan pada mereka.

Program persatuan juga sudah bersifat picisan, ringan serta tidak menonjolkan keintelektualan pelajar IPT. Mereka cenderung untuk menganjurkan pertandingan permainan video, nyanyian pop, hip-hop atau nasyid melalui karaoke dan kurang pula ingin mempelajari ilmu nyanyian yang betul. Program mereka juga kadang-kala mirip 'pesta pasar malam' yang dipenuhi dengan gerai makanan, baju dan peralatan dan aksesori komputer.

Sangat kurang program khidmat masyarakat dilakukan oleh pelajar IPT berbanding masamasa lalu. Jauh sekali program pengantarabangsaan yang dianjurkan dengan alasan kos yang sangat tinggi. Biasanya di hujung minggu, pelajar IPT lebih suka pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti di rumah.

Mahasiswa sekarang lebih sukakan pengajaran yang bermodul. Dengan kata lain, pembelajaran sudah dirancang sepenuhnya oleh pensyarah untuk pelajar. Mereka akan menilai seseorang pensyarah sebagai baik dan berkualiti jika pensyarah tersebut menyediakan segalanya untuk mereka.

Pensyarah yang mensyaratkan pelajar mencari bahan pembelajaran tambahan sendiri, memberikan beban tugasan yang banyak dan mensyaratkan melakukan kerja kumpulan secara berpasukan (lebih-lebih lagi perlu percampuran etnik), tegas di dalam perbincangan, akan dinilai oleh pelajar sebagai "tidak mesra pelajar".

Pelajar lebih suka kepada pensyarah yang menyediakan semuanya untuk mereka. Dari senarai bahan bacaan utama, nota kuliah, bahan bacaan tambahan hinggalah kepada contoh soalan tahun-tahun lepas.

Tentunya ada di antara pembaca yang menilai seolah-olah penulis seperti begitu merendahkan kebolehan mahasiswa tetapi percayalah pemerhatian di semua IPT memperlihatkan trend yang sama dan perlukan penambahbaikan dengan kadar segera.

Penulis bersetuju bahawa tentu sahaja yang masih ada pelajar berkualiti dan memenuhi keperluan modal insan negara dan tidak tergolong di kalangan tiga kumpulan di atas. Tetapi jumlah mereka tidak ramai. Maka itu pihak Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mula memberikan keutamaan untuk melaksanakan penambahbaikan ini. Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) di IPT juga seharusnya boleh melakukan beberapa anjakan paradigma besar untuk memulihkan kembali kelesuan kegiatan mahasiswa.

Sekurang-kurangnya empat perkara di bawah harus dilaksanakan dengan segera. Pertama, kerangka aktiviti kemahasiswaan era ini harus mengambil kira keperluan majikan dan industri dan juga keperluan nilai masyarakat. Kedua, pihak universiti perlu melaksanakan latihan untuk meningkatkan kemahiran tadbir urus kemahasiswaan di kalangan para pegawai JHEP.

Para personel JHEP bertanggungjawab untuk membantu pelajar melaksanakan program yang berkualiti. Rata-rata, kebanyakan pegawai JHEP belajar melalui pengalaman mereka semata mata di dalam memahami pengurusan mahasiswa di IPT. Ketiganya, menjadikan aktiviti pelajar sebagai aktiviti wajib kepada para pelajar.

Keempat, menyediakan peruntukan kewangan yang secukupnya untuk melaksanakan aktiviti pelajar sama ada melalui peruntukan kerajaan, tajaan industri, korporat ataupun alumni IPT. Adalah tidak benar bahawa AUKU adalah sebab utama yang membawa kepada imej kelesuan mahasiswa sebagaimana yang disuarakan oleh sesetengah pihak di luar kampus.

Mahasiswa perlu berfikir dan mula merancang aktiviti yang lebih mencabar sesuai dengan harapan masyarakat terhadap mereka sebagai modal insan utama pembangunan negara. Pihak KPT dan IPT pula perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima idea-idea baru para mahasiswa walaupun kadangkala idea-idea tersebut berada di luar kotak pemikiran kita.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi dan Pendidikan Sejarah, Fakulti Pendidikan, UKM

0 comments: