Penyalahgunaan dadah penyumbang utama gejala mat rempit

Penyalahgunaan dadah penyumbang utama gejala mat rempit

BUKAN sahaja pihak polis tetapi setiap rakyat negara ini patut bimbang ekoran semakin ramai remaja bawah 15 tahun terlibat dalam gejala mat rempit yang mahu tidak mahu akan menyumbang kepada masalah sosial.

Ertinya tugas untuk mencegah, membendung dan membanteras kegiatan itu tidak sepatutnya dianggap hanya tugas polis semata-mata.

Sebaliknya perlu menjadi tugas bersama setiap di antara kita, terutama di kalangan ibu bapa, abang, kakak, saudara mara dan jiran tetangga.

Apa yang dikatakan Pensyarah Pusat Pengajian Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad bahawa gejala mat rempit mengundang kepada masalah jenayah tidak boleh dilihat sebagai suatu pandangan akademik sahaja.

Ia tidak seharusnya memerlukan kajian dan perdebatan ilmiah yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum tindakan pencegahan dan pembaterasan diambil.

Sebaliknya tindakan cepat, cekap, profesional, tulus dan telus perlu tanpa kompromi perlu disegerakan dengan membabitkan pelbagai pihak berkuasa. Pada masa yang sama masyarakat kena ikut serta secara proaktif.

Lazimnya manusia yang sanggup melakukan aksi-aksi yang bukan sahaja mengganggu kenteraman awam dan membahayakan orang ramai, tetapi juga boleh membahayakan diri sendiri, maka mereka mungkin tergolong dalam spesies manusia yang 'tidak betul' akalnya.

Manusia yang waras tidak akan merempit sehingga boleh mengundang maut.

Orang waras tidak akan sanggup melakukan jenayah sama ada bergaduh, merompak, ragut, rogol dan sebagainya. Malah untuk berkelakuan tidak sopan pun mereka tak akan sanggup.

Kalau 'tidak betul' akal itu kerana berpunca dari 'kementahan' usia remaja itu sendiri tidaklah payah sangat untuk diperbaiki dan diperbetulkan.

Mereka akan pulih apabila dilibatkan dengan Progam Latihan Khidmat Negara (PKLN), kem motivasi dan sebagainya yang dimuatkan dengan unsur-unsur pembangunan jiwa berteraskan agama.

Tetapi kalau 'tidak betul' itu berpunca dari pil kuda, syabu atau pelbagai jenis dadah atau arak, agak sukar untuk dipulihkan.

Kita patut bertanya apakah satu kontena syabu seberat 900 kilogram bernilai lebih RM200 juta yang dirampas di Rompin beberapa hari lalu tidak ada kemungkinan sasaran jualannya adalah para remaja untuk 'tidak dibetulkan' akalnya.

Sesungguhnya penyalahgunaan apa jenis dadah sekalipun, hanya sanggup dan tergamak dilakukan oleh mereka yang 'tidak betul' akalnya sahaja.

Semakin ramai bilangan mereka yang 'tidak betul akal' itu, maka semakin besarlah saiz pemasaran dan urus niaga najis dadah di negara ini.

Ertinya dalam negara, negeri, daerah, mukim, kampung, kawasan perumahan, malah dalam keluarga sendiri: tidak mustahil ada yang mahu, malah yang berusaha dan bersekongkol untuk 'tidak betulkan' akal para remaja demi kerana wang, demi kerana kepentingan urus niaga dadah.

Walaupun pembangunan jiwa remaja perlu diutamakan bagi membanteras kegiatan mat rempit yang memungkinkan menjadi penyumbang kepada pelbagai perlakuan jenayah, namun segala usaha tidak akan ke mana kalau punca kepada berlakunya kerosakan dan 'tidak betulnya' akal fikiran tidak dihapuskan.

Sudah sampai masanya polis diberi kebenaran menjadikan tindakan menembak mati pedagang, ejen, pengedar dan peruncit dadah serta penganjur lumba motosikal dan lumba kereta haram sebagai pilihan utama. Dan usaha menahan, mendakwa dan memenjarakan mereka yang terbabit dijadikan langkah atau tindakan pilihan.

Tidak berbaloi kalau berkompromi dengan pedagang, ejen, pengedar dan peruncit atau menggunakan nilai-nilai kemanusiaan berdepan dengan manusia yang sanggup menjadikan remaja sebagai bakal pemimpin negara rosak dan 'tidak betul' akal, sebaliknya dilenyapkan manusia jenis itu dari muka bumi ini adalah yang terbaik dan ianya tidak bercanggah dengan hukum mana-mana sekali pun.

Tanpa berleluasanya dagangan, edaran dan peruncitan pelbagai jenis dadah, maka masalah mat rempit dan pelbagai masalah lagi dengan sendiri tidak akan berlaku, malah kalau ada pun ianya mudah dicegah, dibendung dan dibanteras.

RAMLI ABDUL HALIM

Kota Bharu, Kelantan

0 comments: