Memaknakan Hari Ibu
SEMASA saya menjadi wartawan sambilan Utusan Malaysia di Alur Setar pada 1983, antara tugasan yang masih melekat di ingatan ialah menemu bual suami kepada seorang wanita yang meninggal dunia semasa pemindahan buah pinggang di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Daripada perbualan dengan lelaki itu, terkeluarlah kisah pengorbanan seorang ibu memberikan satu daripada buah pinggang kepada anak perempuannya.
Kata lelaki itu, anak perempuannya yang sakit buah pinggang pernah bertanya isterinya bila lagi ibunya akan memberikan buah pinggang kepadanya. Saya tidak pasti sama ada permintaan itu sebagai gurauan atau sungguh-sungguh. Tetapi lelaki itu memberitahu, Allahyarham isterinya berkata: "Bukan sahaja buah pinggang, nyawa sekalipun mak sanggup berikan." Ditakdirkan pembedahan itu memberikan komplikasi kepada ibu tetapi anaknya yang menerima buah pinggang, selamat.
Kisah pengorbanan ibu itu sangat menginsafkan bahawa kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya tidak ada sukat dan takahnya. Si ibu akan melindungi anak-anak daripada bahaya waima mempertaruhkan nyawanya sendiri. Pengorbanan ibu di Alur Setar itu adalah kisah benar selepas kita diasuh dengan nilai moral dalam cerita rakyat Si Tanggang yang menerima padah akibat derhaka kepada ibunya.
Semalam adalah Hari Ibu. Tahun-tahun sebelum ini, di sana sini banyak pihak menganjurkan majlis meraikan Hari Ibu, berupa makan tengah hari atau minum petang dengan mengenakan kadar bayaran yang mahal.
Nilai makanannya tidaklah seberapa tetapi yang terpaksa dibayar oleh tetamu ialah nilai majlis, siapa penyanyinya, di mana majlis itu diadakan dan siapa pula tetamu kenamaan.
Sebahagian besar penganjur majlis Hari Ibu menekankan bahawa inilah salah satu cara untuk menghargai pengorbanan ibu. Dalam kata lain, kalau untuk menghargai ibu, kita kenalah membayar dengan sejumlah wang sambil makan dan berhibur dengan nyanyian artis-artis. Dalam era budaya konsumerisme, hari-hari tertentu seperti Hari Ibu telah dijenamakan kemudian dikomersialkan. Sudah tentu ia bukan lagi untuk menghargai ibu tetapi sebagai satu penanda aras status sosial.
Kepada semua, untuk menghargai kasih sayang dan pengorbanan yang ibu lakukan kepada kita, banyak caranya yang boleh dilakukan. Malah Hari Ibu adalah sepanjang tahun dan sehari dalam setahun tidak bermakna kalau hanya hari itu saja kita berbelanja besar tetapi pada hari yang lain ibu kita terbiar. Biarlah kita tidak berada dalam majlis mewah tetapi sepanjang masa kita menghargai ibu.
Barangkali pada setiap kali hadirnya Hari Ibu, kita kena membaca semula cerita rakyat seperti Si Tanggang yang menderhaka kepada ibu kemudian disumpah menjadi batu. Atau kita membaca dan menghayati sepenuh jiwa puisi Ke Makam Bonda karya Sasterawan Negara Usman Awang.
Atau mendengar dengan jiwa dan fikiran lagu Bonda ciptaan dan nyanyian M. Nasir. Karya-karya begini pasti akan membawa kita menjejaki perjalanan duka dan bahagia pergorbanan seorang ibu sambil menginsafinya. Usman Awang menulis tentang ziarah ke pusara ibunya yang terbiar apabila menggambarkan di pusara itu "Lalang-lalang tegak berdiri". Usman Awang menutup puisi Ke Makam Bonda dengan keinsafan, "Begitu bakti kami berikan / tiada sama bonda melahirkan / kasih bonda tiada sempadan /kemuncak murni kemuliaan insan." Kita perlu mengisi dan memaknakan Hari Ibu melampaui yang dihidangkan saban tahun sebelum ini.
E-mel: cp@galaxystudio.tv
0 comments:
Post a Comment