Minda Pengarang: Rakyat perlu positif cari titik persamaan perkukuh perpaduan

Minda Pengarang: Rakyat perlu positif cari titik persamaan perkukuh perpaduan


KELMARIN, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi meminta rakyat menumpukan kepada persamaan antara kaum, agama serta budaya dan mengelak terlalu melihat perbezaan yang boleh membawa banyak keburukan dan masalah kepada negara. Seperti kata Perdana Menteri, semua agama yang dianuti tidak kira Islam, Buddha, Hindu atau Kristian menyarankan penganutnya supaya cintakan keamanan serta hidup harmoni, walaupun berbeza latar belakang dan sosioekonomi. Mungkin bagi sesetengah pihak perkara ini bukan baru, tetapi kita percaya apa yang diungkapkan Najib itu selari dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Kita akui bukan mudah untuk melaksanakan hasrat itu selagi kita sebagai rakyat yang berbeza keturunan dan agama, tidak menyokong dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Buat permulaan, apa yang penting ialah rakyat majmuk di negara ini perlu menjadikan nilai murni itu sebagai titik persamaan untuk terus mengukuhkan perpaduan kerana sudah terbukti kepelbagaian itulah yang menjadikan Malaysia sebagai negara contoh di kalangan negara membangun lain. Sebenarnya, sudah wujud beberapa persamaan mengenai nilai murni dalam ajaran Islam dan Buddha seperti sikap merendah diri dalam ajaran Buddha dengan sikap 'tawadduk' dalam Islam. Jika kita lihat persamaan lebih daripada perbezaannya, maka kita akan menjadi mereka yang boleh dijadikan sebahagian daripada penyelesaian dan jika kita sentiasa menumpu kepada perbezaan, kita akan jadi sebahagian daripada masalah.

Nescaya, hasrat Najib itu yang turut mengajak seluruh rakyat supaya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya sebahagian daripada masalah, hendaklah disokong oleh semua. Kita boleh memupuk ciri-ciri sebuah negara yang semakin terbuka dengan menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukan halangan atau kerumitan kepada negara. Kita perlu melihat secara positif bagaimana kita membina negara sehingga berjaya pada abad ke-21 atas kepelbagaian ini. Malah dalam mesej sempena Hari Wesak pada Jumaat lalu, Najib turut mengutarakan hasrat yang sama dengan nasihat supaya rakyat tidak menumpukan kepada perbezaan antara satu sama lain, sebaliknya mencari titik persamaan di kalangan mereka. Persamaan yang dibina atas kepelbagaian itu perlu diberi lebih tumpuan kerana ia menjadi elemen penting kepada konsep 1Malaysia yang ditekankan kerajaan sekarang. Kita percaya, rakyat yang lebih menyedari kepentingan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia, lambat laun akan menjadi kenyataan biarpun ia akan mengambil masa lama hingga melangkau 2020. Kita mesti ingat, pengukuhan perpaduan kebangsaan bukan tugas kerajaan semata-mata, malah perlu dijadikan agenda setiap individu dengan menjadikan perkara yang mudah setiap hari untuk menunjukkan sikap mengambil berat rakan daripada kaum lain seperti membuat panggilan mesra telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menghulurkan bantuan.

0 comments: