Cabaran Hotel Seri Malaysia

Cabaran Hotel Seri Malaysia


HOTEL Seri Malaysia Kuantan terletak di kawasan strategik dan menjadi pilihan tetamu yang mempunyai urusan kerja atau membeli-belah di ibu negeri Pahang tersebut.


SELEPAS 14 tahun berkecimpung dalam bidang perhotelan, rangkaian Hotel Seri Malaysia bukanlah satu jenama yang asing lagi terutamanya di kalangan pelancong tempatan.

Meskipun meletakkan diri dalam kumpulan bertaraf antara dua dan tiga bintang, Hotel Seri Malaysia sebaliknya menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan hotel antarabangsa.

Kerana jenama yang diyakini itu juga, rangkaian Hotel Seri Malaysia berkembang dengan pesat dan terdapat di seluruh negara kecuali di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Dengan 19 rangkaian hotel ketika ini dan dua lagi dalam pembinaan, Hotel Seri Malaysia terus menjadi pilihan di kalangan pelancong domestik sebagai hotel dengan bajet yang berpatutan.

Sebagai satu-satunya hotel yang menggunakan nama 'Malaysia', adalah penting untuk Hotel Seri Malaysia terus berkembang menjadi sebuah produk negara yang boleh dibanggakan. Apatah lagi ia juga merupakan simbolik kepada kemampuan kaum bumiputera untuk bersaing dalam industri perhotelan.

Kerana itu juga, Hotel Seri Malaysia perlu keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran sebenar dalam industri perhotelan.

Bergerak ke arah itu, Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, sudah tiba masanya untuk Hotel Seri Malaysia beroperasi sebagai sebuah entiti perniagaan. Ia bermaksud Hotel Seri Malaysia diberi kepercayaan dan ruang yang lebih luas untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat swasta dalam erti kata sebenar.

Ketika ini, ujar Shafie, Hotel Seri Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan keputusan kerajaan sebagai sebuah syarikat yang berasaskan kerajaan.

Ia termasuk dalam soal penentuan lokasi untuk pembinaan hotel baru yang tertakluk kepada kerajaan negeri selaku pemegang saham. Penentuan lokasi itu juga dibuat menerusi peruntukan yang disediakan di bawah rancangan pembangunan tertentu.

Shafie menambah, Hotel Seri Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menerima lokasi yang ditentukan meskipun ia tidak mempunyai nilai strategik yang tinggi.

Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada perolehan pendapatan daripada operasi hotel tersebut yang terpaksa di tanggung oleh Hotel Seri Malaysia.

''Ketika laporan audit dikeluarkan, ada pemegang saham bertanyakan mengapa lokasi itu dipilih sedangkan ia tidak begitu strategik.

"Apa yang boleh kami katakan ialah, ia di luar kawalan kami kerana ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Kerana itu juga, Shafie mencadangkan, kerajaan menyerahkan kuasa mencari lokasi strategik untuk ditinjau dan ditentukan oleh Hotel Seri Malaysia sendiri.

Kawasan itu tidak semestinya di atas tanah kerajaan sebaliknya mungkin di kawasan yang dimiliki oleh pihak swasta tetapi dilihat strategik dan sesuai dengan harga pasaran tanah. Begitu juga dalam mengurus perbelanjaan pembinaan hotel yang mana Hotel Seri Malaysia diberikan kuasa untuk melantik perunding sendiri. Ketika ini, agensi pelaksana bagi Hotel Seri Malaysia terletak di bawah Kementerian Pelancongan.

Bagi perlaksanaan projek yang membabitkan kos melebihi RM5 juta misalnya, ia perlu diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dengan pelbagai komitmen lain yang perlu diberikan tumpuan oleh agensi pelaksana, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelancaran pembinaan Hotel Seri Malaysia.

''Sebaliknya jika kami boleh menguruskannya dengan perunding yang dilantik sendiri, ia mungkin dapat memendekkan jangka masa pembinaan hotel tersebut," ujar Shafie.

Bagaimanapun timbul persoalan adakah Hotel Seri Malaysia mampu untuk bersaing secara bersendirian dalam industri perhotelan tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan?

Menjawab persoalan itu, Shafie menjelaskan, kesangsian terhadap kemampuan Hotel Seri Malaysia untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat swasta sepenuhnya seharusnya tidak menjadi pertikaian.

Dengan pengalaman selama 14 tahun dalam bidang perhotelan, Hotel Seri Malaysia sudah mempunyai kepakaran dan sistem pengurusan yang cekap.

Sementelah, jenama Seri Malaysia sendiri sudah mendapat kepercayaan dan diyakini oleh banyak pihak. Mengambil contoh dalam kegawatan ekonomi seperti ketika ini, Hotel Seri Malaysia tidak begitu merasai tekanannya sebaliknya masih mencatat keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

''Malah, sistem francais dan pengurusan perhotelan kita juga pernah mendapat permintaan untuk dilaksanakan di Mekah menunjukkan bahawa perkhidmatan kita juga setanding dengan hotel-hotel antarabangsa," katanya.

Menguatkan hasrat untuk beroperasi sebagai sebuah entiti perniagaan juga, Shafie memberi keyakinan, Hotel Seri Malaysia tidak akan sekali-kali lari daripada objektif asal iaitu iaitu untuk melahirkan usahawan bumiputera dalam bidang perhotelan.

Bagaimanapun, kerana tumpuan sepenuhnya untuk memenuhi obligasi sosial itu, margin keuntungan agak sukar untuk dipertingkatkan. Kerana itu juga, langkah penswastaan sepenuhnya itu perlu dilihat lebih kepada usaha meningkatkan prestasi dan kredibiliti syarikat yang dalam masa sama perlu memenuhi tanggungjawab terhadap pemegang saham.

''Ia secara tidak langsung turut mengurangkan kebergantungan syarikat kepada bantuan daripada kerajaan," ujar Shafie.

0 comments: