Gaya 'politik kampung' kekuatan Ghafar

Gaya 'politik kampung' kekuatan Ghafar
Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my

GAYA 'politik kampung' yang menjadi amalan Allahyarham Tun Ghafar Baba wajar dijadikan panduan oleh pemimpin zaman ini kerana dengan sikap itulah Umno kekal stabil, manakala pemimpinnya terus disanjung, biarpun ada segelintir kemudian dicemuh angkara bercakaran sesama sendiri akibat merebut kedudukan serta kuasa politik.

Malah bekas Timbalan Presiden Umno itu yang meninggal dunia tiga tahun lalu, tidak pernah menganggap kuasa politik sebagai 'cek kosong' untuk mencapai segala hasrat peribadi dalam membantu ekonomi sanak-saudara dan kroni dalam apa juga urusan.

"Baginya, rakyat di kampung dan ceruk desa itulah yang lebih layak dibantu terlebih dulu," kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Mohamad dalam satu majlis pengkisahan mengenai perjuangan Tun Ghafar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Katanya, ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdepan masalah mencari tokoh untuk dilantik sebagai timbalannya – sebelum akhirnya membuat keputusan melantik Allahyarham, Ghafar mengambil masa menerima tawaran itu kerana bimbang bahunya tidak tergalas amanah berat itu.

"Saya yang ketika itu berkawan rapat dengan anak Allahyarham, iaitu Tamrin memberi semangat supaya beliau menerima jawatan ditawarkan itu. Allahyarham sentiasa kelihatan tenang ketika memikirkan tawaran itu dan akhirnya, membuat keputusan menerimanya – itupun selepas syarat yang dikenakan kepada Dr Mahathir dipenuhi.

"Apa syaratnya kepada Dr Mahathir? Beliau hanya meminta Dr Mahathir memberikannya portfolio Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Jawatan itu mempunyai nilai sentimental kepadanya... biarpun sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau tetap mahu dekat dan terus diterima masyarakat kampung.

"Inilah yang wajar dicontohi oleh pemimpin sekarang. Jika dulu Allahyarham Tun Ghafar mengambil masa agak lama untuk menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri, berbeza dengan pemimpin sekarang yang seolah-olah berebut nakkan jawatan itu," katanya.

Majlis pengkisahan itu diadakan sempena genap tiga tahun Allahyarham meninggal dunia pada 24 April lalu. Ia dianjurkan Arkib Negara dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka.

Sesi pengkisahan ini dipengerusikan ahli sejarah terkenal, Prof Datuk Zainal Kling. Selain Othman, dua lagi ahli panel ialah rakan karib Ghafar iaitu bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'akub dan bekas Menteri Kerjaraya dan Kemudahan Awam (1972-1978), Datuk Seri Panglima Abdul Ghani Gilong.

Othman berkata, perwatakan Allahyarham Ghafar sebagai pemimpin yang begitu dekat dengan orang kampung, sekali gus sebati dalam jiwanya, mungkin disebabkan beliau sendiri dilahirkan daripada keluarga miskin, selain pernah menjadi saksi dan mangsa diskriminasi zaman kolonial lantas membuatkannya berazam membela nasib orang miskin menerusi gerakan siasah menentang penjajah.

Katanya, Allahyarham menyertai politik seawal usia 15 tahun dan sejak itu tidak pernah menyesal memperjuangkan nasib orang Melayu dan kemudian kaum lain apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

"Sebaik negara merdeka, beliau melihat kesusahan orang kampung, khususnya orang Melayu dan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian terlebih dulu. Inilah menyebabkan beliau dan keluarganya yang besar itu memilih jalan hidup seperti orang kampung ketika menjadi Ketua Menteri Melaka selama lapan tahun atas arahan Tunku Abdul Rahman, bermula pada 1959, biarpun pernah menolak tawaran pertama sebelum itu.

"Akibat sikapnya itu, Tamrin bersama adik beradiknya yang lain terpaksa berbasikal atau menaiki bas ke sekolah di Banda Hilir, biarpun ayahnya ketika itu sebagai Ketua Menteri diberikan kereta rasmi kedua, tetapi Allahyarham melarang anaknya menggunakannya sesuka hati.

"Oleh itu, Tamrin dan adik beradiknya yang lain terpaksa berbasikal bersama kawan-kawannya dari kediaman mereka di Peringgit ke Malacca High School (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka) di Banda Hilir setiap hari dan hidup serba sederhana," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak memuji bakat serta kebolehan Allahyarham Ghafar menguasai permainan golf.

Katanya, menerusi kebolehan itu, membolehkan beliau bertemu dan bercampur gaul dengan pemimpin hebat Eropah, termasuk dari England ketika era 1950-an.

"Pada zaman itu, golf dikaitkan dengan imej sukan dan aktiviti sosial masyarakat kolonial. Sesiapa boleh bermain sukan ini, maka berpeluang bergaul dengan orang besar dan pemimpin negara. Tentunya keistimewaan dimiliki Allahyarham ini banyak membantu beliau pada masa itu," katanya.

Abdul Rahman berkata, selain hebat di lapangan golf, satu lagi keistimewaan Allahyarham Ghafar, ialah sifat dan gayanya yang gemar sesuatu urusan dipermudahkan tanpa mengabaikan hasilnya.

"Ketika hayatnya, beliau seorang yang amat ringkas. Jika mempengerusikan mesyuarat, ia tidak mengambil masa terlalu lama. Walaupun perjalanan mesyuarat itu singkat, beliau mengutamakan pelaksanaan hasil daripada agenda mesyuarat itu," katanya.

Bagi Abdul Ghani pula, jasa terbesar Allahyarham Ghafar ialah kejayaannya mengembangkan Umno ke Sabah selepas mendapati politik di negeri itu tidak lagi stabil akibat konflik dibawa pembangkang, didalangi Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitinggan pada awal 1980-an.

"Pada awal 1980-an, beliau kerap datang ke Sabah mengadakan program penerangan mengenai kemasukan Umno ke Sabah.

"Beliau menyatakan bahawa mustahaknya rakyat Sabah bersatu dan menyertai Umno. Biarpun ada yang tidak suka dengan kehadirannya, tetapi sikap tegasnya dan gaya seriusnya memperkatakan sesuatu isu politik membolehkan Umno bertapak kukuh sehingga sekarang," katanya.

Umno akhirnya bertapak di Sabah pada 21 Februari 1991.

0 comments: