Jangan beri peluang cubaan hancur keharmonian negara

Jangan beri peluang cubaan hancur keharmonian negara

SEJAK Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12), iklim politik negara boleh dikatakan dalam keadaan terumbang-ambing. Dasar keterbukaan dan ruang luas kepada komuniti hampir lima tahun lampau kini memberikan kesan negatif.

Atas nama liberalisasi, persamaan hak dituntut baik di bidang agama, politik, ekonomi mahupun perundangan. Malangnya konsep persamaan hak serta kebebasan itu dipengaruhi elemen universal dan tidak beracuankan budaya dan sejarah setempat.

Malangnya, golongan yang begitu kuat mendesak untuk mendapatkan itu dan ini, tidak pernah mahu melihat latar belakang sejarah dan pengaruh idiosinkratik yang menjadi tonggak bagi pembinaan negara bangsa.

Atas nama demokrasi mengikut tafsiran sempit mereka, golongan berkepentingan ini menggunakan apa jua cara yang boleh dianggap sebagai sabotaj kepada ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian hidup antara kaum.

Sentimen agama diperbesarkan, hak berpolitik menjadi medan dan ruang sehingga, kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta institusi Raja dicemarkan.

Kemajuan teknologi maklumat yang pada asasnya untuk membentuk masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan, dijadikan medium untuk melancarkan fitnah, dakyah dan propaganda. Keaiban pemimpin dibuka sewenang-wenangnya.

Hakikatnya, demokrasi diamal dan ditafsirkan sehingga menjurus kepada kekacauan.

Demonstrasi menjadi budaya, sikap kurang ajar, politik berkonfrantasi dijadikan mainan. Pilihan raya yang bertujuan memilih wakil untuk menyuarakan hasrat dan aspirasi rakyat sama ada di DUN ataupun Parlimen, kini menjadi mainan. Kononnya bagi mewujudkan satu gelombang atau political engagement agar pihak pembangkang sentiasa dekat di hati rakyat.

Namun tujuan sebenar tentulah bermatlamat untuk membentuk satu referendum secara 'tidak halal' bagi merendahkan imej dan integriti kerajaan yang dipilih oleh golongan majoriti rakyat.

Politik telah menjadi 'piramid tunggal', tonggak segala-galanya yang diberikan perhatian. Walhal agenda ekonomi, percaturan pelan pembangunan masih banyak yang perlu disegerakan. Ini belum termasuk jenayah juvenil, kebobrokan sosial seperti gejala mat rempit dan jenayah ragut.

Matlamat untuk melahirkan komuniti harmoni, integrasi yang dominan antara kaum yang berlainan menjadi terbantut dan kian sukar.

Negara bangsa yang seharusnya dikukuhkan dengan agenda yang lebih tersusun, khususnya ke arah membentuk Satu Malaysia seakan-akan terhalang oleh golongan petualang dan pencipta peluang - oportunis yang hanya mabuk kuasa.

Barangkali, mereka ini terdesak atas dasar tidak reda dengan ketentuan Ilahi, bahawa belum tiba masanya mereka mengungguli kuasa.

Barangkali juga golongan ini sudah jemu dan bosan dengan tagline "Malaysia", yang sering dijadikan ikon dan model di kalangan negara Islam mahupun bukan Islam.

Keunikan negara bangsa ini tidak disenangi musuh. Ejen luar, kepentingan strategik oleh kuasa berkepentingan sentiasa melihat bumi Malaysia, sebagai satu ruang dan peluang untuk dijajahi tetapi dalam bentuk tidak langsung.

Maka diletakkan ejen mereka. Negara yang dalam keadaan anarki lebih mudah untuk campur tangan luar. Seperti Iraq, Somalia dan Afghanistan. Negara yang imej pemimpinnya yang diburukkan kemudiannya diterima sebagai benar akan mudah untuk diperas ugut. Negara yang kacau-bilau ekonomi dan berlarutan kemelut politiknya sehingga memungkinkan pertumpahan darah, akan lebih senang dicampuri atas nama 'kemanusiaan'.

Justeru, dalam semangat Satu Malaysia, seluruh komuniti dan warga, wajar memelihara integriti negara. Masyarakat Malaysia harus mengatakan "tidak" kepada sebarang anasir ataupun penggugat keamanan dan kesejahteraan sosial rakyat.

Caranya dengan tidak memberi dokongan dalam bentuk moral dan material kepada pihak yang terang-terangan mengamalkan "budaya politik luar tabie" demi kepentingan diri. Rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk menilai antara kaca dan permata. Mampu memilih dan mengiktiraf kerajaan yang bekerja untuk rakyat dan kerajaan yang sering mempergunakan rakyat.

Kematangan rakyat Malaysia dan kesedaran merekalah yang memungkinkan negara ini terus aman, kerana realitinya mereka memilih kerajaan yang mampu penuhi aspirasi zaman. Kebolehan dan daya intelektual komuniti Malaysia membolehkan negara ini terus kukuh pentadbirannya, makmur ekonomi dan sejahtera penghidupan komunitinya.

Oleh itu adalah menjadi satu kewajipan kepada seluruh rakyat negara bangsa ini untuk bersama-sama mempertahankan kewibawaan wilayah dan kehormatan negara daripada terus diporak-perandakan oleh kalangan mereka yang sentiasa mengintai peluang.

SOBRI SUDIN

Sentul, Kuala Lumpur

0 comments: