Minda Pengarang: Pemantauan berkesan jayakan projek pakej rangsangan ekonomi
LANGKAH kerajaan memantau dengan lebih dekat semua projek di bawah dua pakej rangsangan ekonomi, berjaya meningkatkan tempo pelaksanaannya, walaupun pada peringkat awal pakej pertama diumumkan sebelum ini ada dakwaan berlaku kelewatan. Malah ketika itu, ada mendakwa kerajaan sengaja mengumumkan peruntukan besar untuk pelbagai projek bagi menangani krisis ekonomi global, tetapi tidak nampak pergerakan projek itu dilaksanakan pada peringkat bawahan. Mungkin sesetengah dakwaan itu benar kerana di sesetengah tempat bukan mudah untuk menyegerakan pelaksanaan projek tertentu disebabkan pelbagai masalah seperti pengambilalihan tanah membabitkan bidang kuasa kerajaan negeri, selain kerenah birokrasi yang kita harap sudah semakin baik berbanding sebelum ini. Namun, ada juga projek di bawah pakej kedua rangsangan ekonomi itu yang tidak perlu melalui rintangan besar seperti pemberian subsidi bagi mengelakkan kenaikan harga barang makanan harian; meningkatkan pemilikan rumah dan menerbitkan bon simpanan kerajaan berasaskan syariah. Pakej rangsangan ekonomi pertama bernilai RM7 bilion diumumkan 4 November tahun lalu, manakala yang kedua bernilai RM60 bilion 10 Mac tahun ini, sebagai langkah menangani kesan krisis ekonomi global. Kelmarin, Unit Pengurusan Projek (PMU) di Kementerian Kewangan mengumumkan lebih 42,000 projek bernilai RM5.6 bilion menerusi dua pakej rangsangan ekonomi itu sudah dianugerahkan dan dilaksanakan.
Apa yang menjadi kelainan projek di bawah pakej ini ialah ia menyediakan laman web khusus bukan saja memaparkan maklumat terkini mengenai pengagihan peruntukan kepada setiap kementerian, malah turut menggalakkan interaksi dengan orang ramai yang boleh melayarinya dan bertanya soalan. Seperti kata Ketua Pegawai Operasi PMU, Datuk Mohamad Othman Zainal Azim, laman web yang diwujudkan khusus bagi kedua-dua pakej rangsangan itu mendapat maklum balas menggalakkan dengan menerima soalan daripada individu seluruh negara, termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Soalan dikemukakan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu mereka yang mahukan maklumat mengenai cara memulakan perniagaan, dalam dan luar negara; cara mendapatkan pinjaman memulakan perniagaan; persoalan mengenai perumahan, pengangkutan termasuk jalan kampung; dan biasiswa. Sepatutnya, semua projek pembangunan kerajaan dipantau rapi, selain memberi ruang kepada orang ramai untuk bertanya dan mengetahui statusnya, seperti dilakukan untuk projek di bawah dua pakej rangsangan ekonomi itu. PMU dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta agensi berkaitan dipertanggungjawabkan untuk memantau pakej rangsangan ekonomi itu, selain sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, juga ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek. Jawatankuasa itu bermesyuarat secara tetap dan melaporkan kepada Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri. Dengan itu, apabila projek diumumkan, ia dilaksana tanpa berlengah, selain dipantau rapi. Inilah dituntut rakyat dan ia juga selaras dengan pendekatan pentadbiran sekarang berkonsepkan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
0 comments:
Post a Comment