UMNO tetap berjuang demi kepentingan rakyat

UMNO tetap berjuang demi kepentingan rakyat

SYUKUR UMNO dipanjangkan umur hingga ke hari ini. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pucuk pimpinan UMNO seperti lazim menghadiri acara tahunan - majlis bacaan yassin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-63 semalam.

Barangkali ada kalangan ahli UMNO sendiri sudah lupa bahawa 11 Mei telah diisytiharkan Hari UMNO.

Kemelut politik yang melanda negara dan melibatkan parti UMNO cukup mencabar dalam mempertahankan kewujudannya melalui sokongan rakyat.

UMNO yang disebut-sebut sebagai parti keramat kini diancam hilang pengaruh dan kuasa. Apatah lagi UMNO kini dibelenggu pelbagai persepsi negatif.

Sejauh mana UMNO mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh orang Melayu?

Bagaimana formula pembaharuan dan perubahan yang dianjurkan oleh Presiden parti itu? UMNO perlu perubahan drastik dan holistik.

Kita percaya UMNO mampu menempuh cabaran dan halangan pada masa kini dan tahun-tahun mendatang.

Sesungguhnya UMNO perlu mencari 'aura' sebagai parti perjuangan yang semakin hilang dalam diri sesetengah ahlinya.

Parti ini mempunyai ramai pemimpin yang berwibawa dan sudah tentu mereka mempunyai formula untuk kembali bangkit.

UMNO tidak boleh menjauh dan dijauhi rakyat. UMNO perlu kembali sebagai parti perjuangan yang agresif memperjuangkan isu-isu rakyat dan bukannya tebal dengan karakter sebagai parti pemerintah yang terlalu streotaip dengan peranan sebagai jurucakap kerajaan.

Najib dalam beberapa ucapannya tentang UMNO telah bersikap realistik dalam melakarkan hala tuju dan transformasi perjuangan parti dengan mengakui kelemahan-kelemahan UMNO.

Beliau juga dapat menghidu kelemahan di semua peringkat yang kerap kali menjadi asas kepada penilaian rakyat terhadap UMNO selama ini.

Sebab itu, UMNO tidak boleh sentiasa menagih sokongan rakyat dengan mengungkit jasa-jasa parti dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia.

Sebaliknya, UMNO perlu sentiasa ke depan dalam menampilkan agenda-agenda baru supaya ia sentiasa segar, relevan dan seiring dengan tuntutan zaman.

Bagi menjayakan agenda transformasi perjuangan ini, sudah tentu UMNO perlu sentiasa bersama dengan rakyat.

Sesungguhnya agenda perjuangan UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik Melayu lain. Kebanyakan parti politik lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut resmi lalang di mana pendiriannya mengikut rentak manusia dan politik semasa.

UMNO sudah menjangkau usia 63 tahun. Maka di bawah saf kepimpinan Najib, ia diharap menjadi titik permulaan kepada usaha mewujudkan satu parti yang proaktif, menitikberatkan aspirasi ahli-ahli di peringkat akar umbi dan paling diutamakan rakyat yang menjadi penentu hidup atau mati politik UMNO.

Secara amnya, UMNO belum pudar atau hilang pengaruhnya di kalangan rakyat. Sebab itu UMNO perlu sentiasa relevan dan dilihat sedemikian. Majoriti rakyat masih mengharapkan UMNO yang memimpin Barisan Nasional terus memainkan tanggungjawab dalam memperjuangkan masa depan rakyat Malaysia.

0 comments: