Bukan salah Akta Keselamatan Dalam Negeri

Bukan salah Akta Keselamatan Dalam Negeri

Oleh ABDUL RASHID ABDUL AZIZ


PEMBEBASAN tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kali kedua di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sejak 4 April lalu.

Pembebasan terbaru membabitkan 13 individu yang dilihat oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak lagi memberikan ancaman kepada negara. Ia juga menunjukkan sifat prihatin kerajaan terhadap perspektif keperluan dan mengimbanginya dengan kesan penahanan ke atas negara.

Yang menjadi isu utama terhadap laungan sesetengah pihak yang lantang mengkritik penahanan di bawah ISA, datangnya apabila sesuatu penahanan dilakukan ke atas individu yang dilihat sebagai berkepentingan tertentu terhadap agenda politik.

Bagi ahli politik, ISA dilihat sebagai "ancaman" kepada gerakan dan aktiviti berpolitik. Mereka melihat ISA dalam perspektif bahawa kerajaan mampu menyalahgunakan kedudukan atas kuasa eksekutif untuk menahan mereka.

Isu utama bukan soal hak asasi. Jika hak asasi, adakah mereka yang ditahan terbabit tidak diberikan makanan, tempat berteduh atau didera? Tetapi yang menjadi keutamaan pihak yang menentang ISA termasuk beberapa individu dalam pembangkang dan juga majlis guaman ialah soal 'hak politik'.

Jangan menggunakan alasan hak asasi untuk berselindung di sebalik kegiatan dan hak politik bangkangan yang mereka perjuangkan. Jika mahu memperjuangkan hak politik, maka nyatakan dengan jelas dan nyata.

Hak politik berbeza daripada hak asasi. Secara jelas di Malaysia, siapa yang dinafikan hak asasinya? Jika negara ini mengamalkan sistem autokratik dalam hal hak asasi, isu rempit, ragut dan jenayah serta pelbagai percakapan bersifat menentang kepada pemerintah pastinya telah awal-awal disekat dan dikenakan tindakan 'tatatertib' tertentu.

Malahan dengan sikap 'lembut' kerajaan, maka sesetengah 'hak asasi' telah menjadi terlalu bebas dan liberal pengamalan serta tindakannya.

Malaysia sama sekali tidak bersifat negara tentera atau polis. Malahan dalam isu gejala sosial, lihat sahaja ancaman untuk mengenakan saman ke atas kerajaan negeri Perlis dahulu yang mahu menguatkuasakan larangan remaja keluar malam. Ia 'menafikan' hak kerajaan dalam menggunakan kuasa eksekutif untuk mengadakan larangan tertentu walaupun ia baik untuk mendisiplinkan remaja.

Namun, atas alasan hak perundangan dan 'hak asasi' maka tindakan yang dilakukan kerajaan terbatas atas kapasiti menghormati undang-undang. Akhirnya gejala akibat perjuangan 'hak asasi' berlaku dan tidak dapat dibendung.

Mujurlah atas keprihatinan kepimpinan negara dahulunya yang memikir jauh ke hadapan dalam sebuah negara majmuk. Maka ISA bukan sahaja digubal malahan dikekalkan aplikasinya sehingga kini. Lihat sahaja keberkesanan ISA yang telah menyelamatkan negara daripada ancaman subversif.

Betapa ISA juga berjaya memberikan keinsafan kepada beberapa tahanan agar terus mencintai negara. ISA jgua menyelamatkan bukan sahaja bakal mangsa, malah individu berpotensi ganas daripada terjebak dalam kancah keganasan.

Adakah masyarakat di negara ini mampu menyatakan bahawa biarlah sesuatu kegiatan keganasan mahupun tindakan yang mampu memusnahkan kehidupan mana-mana individu malah negara dibiarkan sehingga tindakan ancaman itu benar-benar berlaku dan telah ada outputnya. Adakah ini yang dimahukan?

Dalam bahasa mudah, seseorang itu secara nyata telah diamati akan melakukan pembunuhan. Maka untuk membuktikan dia melakukanya, maka adakah kita perlu menanti saat dia membunuh mangsanya, dan ketika itulah penahanan oleh pasukan keselamatan boleh dilakukan?

Maka dengan mudah, difahami bahawa fungsi negara dan pasukan keselamatan untuk mengenakan tindakan awal sebelum sebarang tindakan agresif berlaku akan dinafikan.

Akibatnya, negara tidak mampu memberi perlindungan awal kepada rakyatnya. Fungsi keselamatan dalam perspektif hak asasi adalah apabila kerosakan telah dilakukan dan terbukti, barulah penahanan boleh dilaksanakan. Kuasa negara ke atas potensi jenayah yang lebih besar hingga merosakkan negara ke kancah anarki juga tidak akan dapat dikawal atas nama 'hak asasi manusia'.

Akhirnya dengan hak asasi manusia maka negara yang makmur dan bersatu padu boleh musnah. Lihat sahaja Pakistan yang bergelut dengan pertentangan dalam negara sehingga tiada kawalan, atas alasan demokrasi dan hak asasi.

Kita sepatutnya tidak terbawa-bawa dengan pendemokrasian yang dilaungkan oleh pemimpin politik pembangkang. Biarlah corak serta amalan ISA dikekalkan. Selama mana kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan negara terjamin - itu adalah perkara paling utama.

Apa gunanya memerintah jika rakyat tidak lagi dapat diselamatkan. Kerajaan perlu berhati-hati dengan agenda 'hak asasi' yang mampu menggugat keselamatan negara.

Tidak semua rakyat faham dengan jelas bagaimana dan apa bentuk ISA. Hakikat, daripada hampir 27 juta penduduk negara ini, tidak sampai 0.01 peratus (2,700) rakyat yang ditahan ISA. Hanya mereka yang 'popular' sehingga mampu meragut kestabilan negara sahaja berpotensi 'dirawat' di bawah akta ini.

Kenapa digubal, dilaksanakan serta kepentingan ISA terhadap negara turut tidak difahami dengan jelas atas asas kepentingan keselamatan Malaysia. Kebanyakan rakyat, termasuk ahli akademik serta pemimpin masyarakat hanya memahaminya dari sudut perspektif yang dilontarkan oleh 'pegawai penerangan' yang bukan daripada pasukan keselamatan dan kerajaan.

Akibatnya, salah tafsir terhadap ISA rataratanya terbina dalam kotak fikiran rakyat termasuk segelintir para peguam dan ahli akademik yang sibuk kini berpolitik dan membangkang.

Jadi bila sahaja ISA disebut, bagi sesetengah orang - yang tidak pernah ditahan di bawah ISA - pasti menyamakannya dengan penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang ditahan di kem tahanan tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba.

Akibatnya, ISA dan kerajaan disalahkan sehingga mahu dibubarkan atau diliberalkan penggunaan perintah ISA itu.

Kerajaan dan pasukan keselamatan perlu memperbetulkan persepsi tentang ISA. Jika kerajaan hendak meliberalisasikan ISA, wajarlah dilaksanakan dahulu penerangan bersepadu kepada rakyat tentang ISA dan potensi ancaman kepada negara jika ISA tidak dilaksanakan sejak merdeka.

Penulis ialah ahli akademik yang kini melanjutkan pengajian peringkat Ph.D di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia

0 comments: