Geopark Global Langkawi kekal pembangunan lestari masa depan

Geopark Global Langkawi kekal pembangunan lestari masa depan
Oleh Ibrahim Komoo


LANGKAWI diiktiraf Unesco sebagai geopark global pertama di Asia Tenggara.

Konsep pemuliharaan warisan secara integrasi turut babitkan komuniti setempat

SAYA baru pulang dari Beijing menghadiri mesyuarat penting mengenai pembangunan geopark di China. Mewakili Biro Jaringan Geopark Global Unesco, kami membincangkan isu dan perkembangan terkini mengenai 138 geopark kebangsaan dan 20 geopark global yang berada di sana.

Pada masa sama, kami turut membincangkan persediaan untuk menganjurkan Persidangan Jaringan Geopark Asia Pasifik ke-2 yang akan berlangsung di Global Geopark Taishan, China Ogos ini dan Persidangan Antarabangsa Unesco Global Geopark keempat yang bakal berlangsung di Langkawi Geopark di Malaysia pada tahun depan.

Langkawi bertuah kerana diiktiraf Unesco sebagai Geopark Global pertama di Asia Tenggara dan kini diberikan penghormatan besar untuk menganjurkan persidangan penting yang diadakan dua tahun sekali dengan semua 56 Geopark Global yang mewakili 18 negara akan hadir memperbaharui jaringan serta membincangkan peluang baru untuk memajukan geopark.

Apa itu geopark? Ramai masyarakat Malaysia dan komuniti antarabangsa masih belum mengenali geopark. Geopark adalah inisiatif terbaru Unesco yang diperkenalkan pada 2004 bertujuan memperkasa konsep 'pembangunan lestari' dalam gagasan pemuliharaan warisan semula jadi.

Geopark mempunyai sedikit kesamaan dengan Tapak Warisan Dunia, suatu inisiatif Unesco yang diperkenalkan pada 1972. Kini hampir 900 Tapak Warisan Dunia diiktiraf di lebih 140 negara di seluruh dunia. Yang terbaru ialah, Kota Melaka dan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia bagi mewakili warisan peninggalan penjajah di perairan Selat Melaka.

Geopark berbeza dengan Tapak Warisan Dunia, ia bukan saja memberikan tumpuan kepada keperluan pemuliharaan warisan geologi dan landskap berkepentingan antarabangsa, malah geopark turut memberikan perhatian serius mengenai pembangunan sosioekonomi komuniti tempatan yang menjadi khalifah kepada warisan itu.

Malah sesuatu kawasan tidak boleh dikenalkan sebagai geopark sekiranya ia tidak mampu membangun taraf hidup masyarakat setempat.

Perhatian utama diberikan kepada pemuliharaan warisan secara integrasi. Walaupun tumpuan diberikan kepada pemuliharaan warisan geologi dan landskap, kepentingan warisan kepelbagaian biologi dan budaya perlu diberikan penekanan yang sama pentingnya.

Di samping memperkenalkan komponen pemuliharaan baru seperti tapak dan monumen geologi, pendekatan pemuliharaan sedia ada seperti taman negeri dan negara, hutan simpan dan rekreasi dan tapak sejarah dan arkeologi adalah bahagian yang terintegrasi dalam konsep geopark ini.

Konsep geopark memberikan perhatian khusus terhadap pembabitan dan peluang komuniti setempat mengambil peluang daripada pembangunan geopark. Berbeza dengan kebanyakan kawasan pemuliharaan sedia ada, suatu geopark turut membabitkan kawasan penempatan, pertanian dan industri yang mana aktiviti komuniti setempat berinteraksi dengan kawasan pemuliharaan adalah sebahagian daripada geopark.

Dalam keadaan begini, komuniti berada dalam geopark dan mempunyai peluang untuk menjalankan pelbagai aktiviti sosioekonomi yang berkaitan dengan pembangunan geopark. Lebih penting lagi, komuniti setempat boleh diberikan tanggungjawab dan terbabit secara aktif dalam pemuliharaan warisan semula jadi dan budaya.

Aktiviti geopark memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan sumber pelancongan di sesuatu kawasan yang masih kurang dibangunkan. Sumber warisan alam semula jadi dan budaya boleh dijadikan asas untuk mengembangkan aktiviti pelancongan bersifat lestari, iaitu pelancongan yang memberikan perhatian kepada penggunaan sumber tanpa musnah sambil memulihara alam sekitar.

Warisan geologi dan landskap kini sudah berjaya dibangunkan sebagai sumber pelancongan baru yang dikenali sebagai 'geopelancongan'. Warisan alam � geologi, biologi, budaya dan tradisi setempat � kini dapat dilihat sebagai sumber penting yang boleh dibangunkan bagi memperkenalkan pendekatan pelancongan yang lebih kreatif dalam konteks 'pelancongan berasaskan ilmu'.

Penduduk Langkawi bertuah kerana pada 2006, kerajaan Kedah mengisytiharkan keseluruhan kepulauan ini sebagai geopark Langkawi. Ia menjadi lebih istimewa apabila satu tahun berikutnya Jaringan Global Geopark Unesco menerima Geopark Langkawi sebagai ahli Global Geopark yang ke-52, dan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Ini adalah satu penghormatan terbesar masyarakat dunia dan mereka percaya Langkawi mempunyai kualiti dan keindahan alam yang menakjubkan. Kepulauan Langkawi mempunyai beberapa keistimewaan bertaraf global sehingga berjaya di angkat menjadi Geopark Global.

Di kepulauan ini tersimpan rekod sejarah perkembangan bumi di Asia Tenggara yang paling lengkap sejak 500 juta tahun lampau. Setiap lapisan batu-batuan yang terdedah sepanjang pesisiran pantai dan di tebing bukit-bukaunya menyimpan rekod peristiwa kelahiran bumi Malaysia, proses pembentukan permukaan bumi serta keadaan iklim dan jenis hidupan pada masa lampau.

Keistimewaan Langkawi paling ketara ialah keunikan landskapnya. Landskap batu kapur yang membentuk bukit-bukau dan pulau-pulau kecil di kawasan Kilim dan Pulau Dayang Bunting adalah pemandangan luar biasa dan jarang dijumpai di tempat lain di dunia.

Landskap batu kapur tropika atau lazimnya dikenali sebagai 'topografi kars' mempamerkan bukit-bukit batuan bertebing curam dengan puncak bergerutu. Di Langkawi, bukit-bukit kars disulami hutan paya bakau menjadikan pemandangan di sekitar Kilim dan Pulau Dayang Bunting sangat luar biasa dan sungguh mempersonakan.

Langkawi juga terkenal dengan kepelbagaian fauna dan floranya. Lebih 50 peratus permukaan buminya diliputi rimba hujan tropika yang masih terpulihara di bawah naungan Hutan Simpan Kekal. Hutan tropika di kawasan Gunung Matchinchang umpamanya, boleh dianggap hutan tropika tertua di dunia kerana ia masih belum terganggu dan berada pada kawasan batuan tertua di Asia Tenggara.

Kajian saintifik yang sudah dan sedang dijalankan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan Langkawi memiliki banyak tumbuhan dan haiwan yang endemik dan hanya dijumpai di kepulauan ini.

Walaupun Langkawi tidak mempunyai rekod sejarah tamadun manusia yang panjang, ia memiliki cerita legenda yang sungguh menarik. Cerita mengenai pergaduhan antara Mat Raya (Gunung Raya) dan Mat Cincang (Gunung Matchinchang) menarik perhatian ramai penduduk Malaysia dan pelancong antarabangsa.

Selain itu, aktiviti komuniti tempatan yang dianuti turun-temurun, terutama sebagai nelayan dan petani membolehkan Langkawi dilihat sebagai pulau yang kaya dengan warisan tradisi setempat. Semua ini � geologi, landskap, kepelbagaian biologi, legenda dan tradisi setempat � adalah komponen utama geopark, dan sekiranya digembleng secara terintegrasi menjadi sumber tarikan pelancong dan sumber kekayaan komuniti tempatan.

Geopark Langkawi bukannya nama baru kepulauan ini. Langkawi masih boleh dikenali sebagai 'Langkawi � 99 Paradise Islands', pulau Legenda, pulau Bebas Cukai, dan kini yang terbaru 'Langkawi Permata Kedah.'

Geopark ialah konsep pembangunan wilayah yang memberikan tumpuan kepada integrasi antara pemuliharaan sumber asli dan budaya, pembangunan komuniti setempat dan peningkatan potensi pelancongan. Semua agensi berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing.

Bagaimanapun, konsep geopark menekankan keperluan penyelarasan antara agensi untuk menyokong gagasan geopark yang memberikan perhatian kepada pembangunan lestari. Lembaga Pembangun Langkawi (Lada) sudah mengambil tanggungjawab untuk menyelaras aktiviti geopark, sementara agensi lain seharusnya memberikan sokongan padu untuk merealisasikan mimpi murni ini.

Geopark Global Langkawi adalah pengiktirafan Unesco kepada wilayah yang sangat istimewa, ia adalah 'jenama berkualiti antarabangsa' yang boleh menjadikan Langkawi destinasi pelancongan unggul menyokong konsep kelestarian � suatu aspirasi baru pelancongan untuk masa depan.

Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Ahli Biro Jaringan Geopark Global Unesco dan Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM.

0 comments: