Mampukah ahli UMNO berubah?

Mampukah ahli UMNO berubah?

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


Hari ini bertambah satu hari lagi dalam kalendar usia UMNO ketika parti itu menyambut ulang tahun ke-63 semalam. Tarikh keramat 11 Mei dikatakan semakin jauh dari hati orang Melayu, apatah lagi untuk mengenang detik perjuangan UMNO sejak 1946 hingga hari ini.

Kelmarin, menjelang sehari sebelum ahli-ahli UMNO menyambut hari kelahiran parti yang menjadi wadah perjuangan politik mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan mereka supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu.

Pemimpin dan ahli UMNO kena terima hakikat bahawa kini semakin ramai pengundi terdiri daripada golongan pasca merdeka dan tidak pernah melalui peristiwa penting yang berjaya ditangani oleh UMNO mahupun komponen Barisan Nasional (BN).

Jadi, Presiden UMNO menggesa ahli-ahli parti itu berubah dari segi cara berfikir, strategi politik dan kaedah berkomunikasi dengan pengundi baru mengenai dasar yang diperjuangkan UMNO dan BN.

“Sekarang bukan zaman seperti UMNO mula-mula dilahirkan. Ramai kalangan generasi hari ini tidak berpengalaman melalui peristiwa penting seperti tragedi 13 Mei dan kegawatan ekonomi pada 1997.

“Jadi, kita tidak boleh bersandar kepada nostalgia dan sentimen kerana walaupun jasa menggunung tinggi, ia bukan jaminan untuk terus mendapat sokongan rakyat,” kata Najib.

Penganalisis politik, Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman setuju dengan kenyataan Najib itu kerana zaman sudah berbeza dan cita rasa rakyat sekarang juga berlainan.

Dulu kerajaan mengetahui segalanya. Kini rakyat Malaysia sudah berpengetahuan tinggi dan sudah terdedah kepada pengetahuan yang tidak lagi mempunyai sempadan. Kehendak sudah tidak serupa.

“Ahli-ahli UMNO harus berubah dan melakukan perubahan drastik mengenai diri sendiri. Kerakusan mendapatkan kuasa harus dihentikan. Ketamakan mencari harta untuk diri sendiri hendaklah ditukar ganti kepada membina harta dan kekayaan untuk rakyat.

“Ilmu menjadi teras kekuatan UMNO. Mempunyai kuasa dalam UMNO tidak menjaminkan kekuasaan pemerintahan negara secara menyeluruh,” kata Dr. Mohd. Zainul Fithri.

0 comments: