ALOR STAR 21 Okt. – Pekarangan bangunan pejabat Majlis Bandar Raya Alor Star (MBAS) di Jalan Kolam Air, di sini pagi ini kelam kabut apabila lebih 50 wakil penduduk dari beberapa buah taman di sekitar bandar raya ini membawa plastik berisi sampah untuk menemui Datuk Bandar.
Tindakan mereka membawa plastik berisi sampah sarap termasuk air ikan itu adalah sebagai tanda protes terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut yang didakwa lemah dalam menangani masalah sampah di kawasan masing-masing.
Bagaimanapun tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam situasi tersebut yang turut diawasi oleh beberapa anggota polis.
Apabila tiba di hadapan bangunan pejabat MBAS, tiga daripada wakil penduduk itu kemudian dibenarkan masuk untuk menemui Datuk Bandar, Datuk Abdul Mukhti Abdullah selama kira-kira 20 minit bagi melahirkan kekesalan mereka mengenai masalah berkenaan.
Seorang wakil penduduk, Mohd. Nasir Mustafa, 39, dari Taman Inang, Mergong memberitahu, mereka terpaksa mengambil tindakan itu kerana kecewa dengan kelemahan MBAS dalam melaksanakan tanggungjawab membersih dan mengangkut sampah sarap.
Ekoran kelemahan PBT itu, dakwanya, kawasan tempat tinggal mereka bukan sahaja tercemar dengan bau busuk, tetapi sampah sarap yang dibiar berselerak hingga mendedahkan penduduk dengan risiko penyakit seperti demam denggi.
Katanya, sebagai rakyat yang membayar cukai pintu, mereka tidak patut dibebani dengan masalah longgokan sampah sarap gara-gara kelemahan MBAS menunaikan tanggungjawabnya.
“Kami tidak mahu masalah ini berterusan dan meminta MBAS mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya,” jelas beliau.
Justeru menurut Mohd. Nasir, jika masalah mereka itu tidak dapat diatasi dalam tempoh sebulan dari sekarang, pihaknya akan terus membawa plastik berisi sampah ke bangunan MBAS secara lebih kerap sebagai tanda kekesalan mereka dengan PBT terbabit.
Sementara itu, Abdul Mukhti berkata, MBAS sedang giat melaksanakan operasi mengangkut sampah dan membersihkan sekitar kawasan perumahan lebih-lebih lagi berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Apa yang menjadi masalah kepada MBAS pada masa sekarang, menurut beliau, ialah PBT itu tidak mempunyai ‘kekuatan’ mencukupi untuk mengangkut sampah malah lori sedia ada juga tidak semua boleh digunakan kerana sudah ‘uzur’.
Menurut beliau, pihaknya juga menghadapi masalah kewangan untuk membeli jentera baru berikutan tunggakan cukai pintu yang kini mencecah RM21 juta.
Namun begitu, katanya, MBAS telah mendapatkan bantuan dari beberapa PBT dari daerah-daerah lain di negeri ini bagi menangani masalah itu.
0 comments:
Post a Comment