20 kota diramal tenggelam

Bangkok, Jakarta antara diancam kenaikan air laut, banjir akibat pemanasan global

KHUN SAMUT CHIN: Peningkatan paras air laut dan banjir yang makin kerap berlaku diramal bakal menyebabkan ibu negara Thailand, Bangkok tenggelam pada abad ini, jika tiada usaha dilakukan untuk mengatasinya, kata pakar.

Bangkok adalah antara 13 daripada 20 bandar raya terbesar dunia yang paling menghadapi risiko tenggelam, ketika paras air laut makin meningkat menjelang abad akan datang, kata Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim dalam mesyuarat, di sini semalam.

"Fenomena ini juga akan dirasai di banyak tempat di seluruh dunia dan kita dapat melihat dengan lebih jelas di Thailand," kata Lisa Schipper, seorang penyelidik pemanasan global dari Amerika ketika melawat sebuah kampung di selatan Bangkok.


Beliau berkata, kehilangan Bangkok akan memusnahkan jentera ekonomi negara dan hab utama bagi pelancongan wilayah di Thailand.

Bandar lain yang terancam termasuk Dhaka, Bangladesh; Buenos Aires, Argentina; Rio de Janeiro, Brazil; Shanghai dan Tianjin di China; Iskandariah dan Kaherah di Mesir; Mumbai dan Kolkata di India; Jakarta, Indonesia; Tokyo dan Osaka-Kobe di Jepun; Lagos, Nigeria; Karachi, Pakistan dan New York serta Los Angeles di Amerika Syarikat.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Bagi Pentadbiran Amaran Bencana Kebangsaan Smith Dharmasaroja, berkata perkembangan alam sekitar yang dihadapi Bangkok membimbangkan berikutan ia menjadi pusat kepada hampir semua kegiatan di negara itu.


"Jika nadi Thailand ditenggelami air, kegiatan lain akan terhenti. Kami tidak mempunyai masa untuk memindahkan ibu negara kami dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang dan perlu melakukannya sekarang tetapi nampaknya kami makin terlambat," katanya.

Beliau berkata, semua pihak termasuk kerajaan, saintis dan kumpulan pencinta alam sekitar, bersetuju Bangkok berdepan dengan masalah, tetapi pihaknya masih membincangkan bila ia sebenarnya akan berlaku.

Bandar raya yang diasaskan di atas kawasan tanah liat itu juga didapati mendap pada kadar yang lebih cepat berbanding biasa iaitu 10 sentimeter setiap tahun, ketika pembangunan makin pesat, manakala sektor perkilangan yang mengepam kira-kira 2.5 juta padu air bawah tanah secara haram memburukkan lagi keadaan.

"Semua pihak dapat melihat lebuh raya, jalan dan bangunan yang tidak ditanam cerucuk makin mendap, begitu juga dengan keadaan tanah, manakala paras air laut kian meningkat. Kami menjangka Bangkok akan berada di bawah paras laut secara kekal dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi," katanya. � AP

Bangkok yang pernah mendapat jolokan sebagai 'Venice Timur' diasaskan 225 tahun lalu di atas kawasan paya Sungai Chao Phraya..

Bagaimanapun, menjelang 1950-an, atas nasihat agensi pembangunan antarabangsa, kebanyakan terusannya ditimbus untuk pembinaan jalan dan menghapuskan malaria, sekali gus memusnahkan sistem perparitan semula jadi yang mengawal banjir monsun tahunan di bandaraya itu. � AP

0 comments: