Negara bangga misi pertama sempurna

DARI MUKA 1

menyaksikan peristiwa pendaratan angkasawan negara dari Pusat Kawalan Misi (MCC) di sini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan Astro.

Pada sidang media sejurus selepas Soyuz diumumkan selamat mendarat, Timbalan Perdana Menteri berkata, negara bersyukur kerana angkasawan pertama negara selamat mendarat dan berjaya melakukan misi dengan sempurna.


“Kejayaan misi ini adalah satu peristiwa bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia kerana ia membuka satu lagi lembaran baru dalam kejayaan negara, khususnya dalam sektor penerokaan angkasa lepas,” katanya.

Terdahulu, kejayaan misi angkasawan Malaysia ke ISS diraikan di MCC dengan Najib diberi penghormatan meletakkan lencana rasmi Program Angkasawan Negara di bilik kawalan sambil diperhatikan pengurusan Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) diketuai Presidennya, Anatoli Perminov.

Perjalanan pulang angkasawan negara bermula apabila Soyuz bergerak meninggalkan ISS dan mendarat di bumi menggunakan mod automatik (pendaratan normal) sejak jam 8.15 pagi waktu tempatan.


Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada krew Ekspedisi ke-16 di ISS, Dr Sheikh Muszaphar, Yunchikin dan Kotov memasuki Soyuz serta menutup selak yang menghubungkan kapal angkasa itu dengan komponen kargo milik Russia di ISS, dikenali Zarya.

Tepat jam 11.15 pagi, komander penerbangan mendapatkan kebenaran pengawal pusat kawalan udara Russia di MCC, untuk melepaskan cangkuk dan selak bagi memisahkan Soyuz dan Zarya. Enjin Soyuz kemudian dihidupkan untuk menjarakkannya dari ISS.

Enam minit kemudian, Soyuz bergerak 20 meter menjauhi ISS dan komander (Yunchikin) menghidupkan lagi enjin selama 15 saat untuk meninggalkan pusat itu.

Dua jam setengah kemudian, pada jarak 19 km dari ISS, komputer mengaktifkan dorongan Soyuz untuk keluar orbit. Enjin dihidupkan selama empat minit memperlahankan penurunan kapal angkasa dan mengeluarkannya dari orbit dan mula memasuki atmosfera.

Setengah jam selepas itu, jejak pertama atmosfera bumi mula dikesan dan komputer memisahkan tiga modul kapal angkasa Soyuz dengan modul pendaratan (tengah) yang dihuni angkasawan, menjajar ke plat pelindung kepanasan bagi meminimumkan kesan haba.

Lapan minit kemudian payung terjun Soyuz diaktifkan dengan dua payung kecil, disusuli satu unit yang lebih besar dikeluarkan bagi memperlahankan kelajuan kapsul pendaratan daripada 220 meter sesaat kepada 80 meter sesaat.

Tali payung terjun pada kapsul diputuskan beberapa minit sebelum mendarat bagi menegakkan kembali modul pendaratan dengan kelajuan penurunan berkurang kepada tujuh meter sesaat, dan pada tahap itu, sistem komputer mengaktifkan penyerap hentakan kerusi krew.

Dua saat sebelum pendaratan, enam enjin di bawah Soyuz dihidupkan bagi mewujudkan dorongan ke atas, yang memperlahankan kelajuan kapsul kepada 1.5 meter sesaat ketika modul pendaratan hanya 0.8 meter dari tanah.

Tepat jam 2.37 petang (6.37 petang, Malaysia), selepas tiga jam 23 minit perjalanan dari ISS, Soyuz selamat mendarat. Pasukan mencari dengan konvoi enam helikopter dan 12 kenderaan amfibia tentera Russia kemudian menemui kapsul pendaratan dengan semua angkasawan disahkan selamat.

Angkasawan Malaysia itu dijadualkan berada di sini untuk tempoh dua minggu lagi bagi tujuan kuarantin, sebelum kembali ke tanah air.

0 comments: