JOHOR BAHRU 22 Okt. - Empat belas penumpang feri Seagull Express 2 yang terbakar dan karam di Pulau Tioman pada 13 Oktober lalu, yang mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan empat lagi, akan menyaman pengusaha feri itu dan pihak yang berkaitan kerana cuai.
Mereka mahu menuntut pampasan bagi kematian, kecederaan dan trauma akibat kejadian itu yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari pada Hari Raya pertama semasa feri itu dalam perjalanan dari Mersing ke Pulau Tioman.
Mereka akan mendapatkan khidmat sebuah firma undang-undang dan memfailkan saman terhadap Seagull Express and Accommodation Sdn Bhd serta agensi kerajaan berkaitan yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap tragedi itu, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Song Sing Kwee kepada pemberita hari ini.
Sing Kwee, yang bertindak sebagai penasihat undang-undang mereka, berkata, mereka akan memfailkan saman itu selepas semua dokumen disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Jumlah saman itu belum ditentukan kerana ia berbeza satu sama lain.
Kumpulan itu, termasuk eksekutif jualan Fong Chun Gaik, 25, yang mengalami kesan terbakar di tangan kanan dan kakinya; dan Lee Yew Thiam, 48, yang ibunya, Haw Lee Maoi, 68, terkorban dalam kejadian itu, mengesahkan mereka masih belum ditawarkan sebarang pampasan oleh syarikat feri berkenaan. - Bernama
0 comments:
Post a Comment