Pakistan menuju krisis besar – Penganalisis

KARACHI 21 Okt. – Kepulangan berdarah bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto telah membawa Pakistan menuju krisis, termasuk politik dan juga perangnya ke atas Taliban dan Al-Qaeda.

Kematian 139 orang dalam serangan berani mati menyambut kepulangan beliau dari buangan selama lapan tahun turut menggambarkan ancaman baru ke atas republik yang mempunyai 160 juta penduduk tetapi sering diancam pelbagai musibah sejak merdeka enam dekad lalu.

Menurut penganalisis, serangan itu mampu mengeratkan perkongsian kuasa antara Benazir dengan Presiden Jeneral Pervez Musharraf yang menjadi sekutu utama Barat dalam perang keganasan.

Bekas Perdana Menteri wanita itu turut berikrar memerangi fahaman pelampau dan militan dalam ucapan selepas serangan berani mati itu dan tidak menyalahkan “negara atau kerajaan.”

Sementara itu, Pervez juga mungkin tidak menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan dalam tentera jika Mahkamah Agung membatalkan kemenangannya dalam pemilihan Presiden Pakistan baru-baru ini.

Populariti beliau merudum selepas gagal memecat Ketua Hakim Mahkamah Agung pada Mac lalu sementara tindakan mengarahkan serbuan ke atas Masjid Merah di Islamabad pada Julai lalu menyaksikan peningkatan serangan berani mati.

Pada masa yang sama golongan militan yang menguasai suku kaum di sempadan Pakistan menghadapi kesukaran untuk bergerak ke arah demokrasi kerana ia akan menggagalkan usaha membawa pemerintahan syariah ke negara ini.

“Kami menuju ke arah krisis yang lebih besar,” kata Moonis Ahmar, Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Karachi.

Menurut penganalisis, Pakistan kini berdepan dengan pilihan yang sama perlu dilakukan oleh Bhutto, berdepan dengan ancaman bahaya militan atau menyerah kalah kepada fahaman pelampau.

Menurut mereka, jika Pakistan memilih untuk menghadapi ancaman tersebut maka kerjasama politik amat penting.

“Benazir dan Pervez akan lebih terdesak jika memilih untuk berjuang secara berasingan,” kata Rasul Baksh Rais, Profesor Sains Politik di Universiti Pengurusan Sains Lahore.

Para penganalisis juga menyatakan, kedua-duanya kini dilihat oleh gerakan militan sebagai musuh dan sebab itu tidak akan wujud dialog antara mereka.

Mereka menambah, pilihan yang ada hanyalah menggunakan kekerasan tentera tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah.

– AFP

0 comments: