KUALA LUMPUR: Segelintir guru dipercayai memanfaatkan hari tertentu di luar waktu kerja bagi mengatur perjumpaan antara bekas ahli al-Arqam dalam cubaan mereka menghidupkan semula fahaman Aurad Muhammadiah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, yang mendedahkan perkara itu, berkata mereka yang bergerak dalam kumpulan dipercayai mengadakan pertemuan termasuk ketika cuti hujung minggu bagi mencari jalan menyebarkan semula dakyah fahaman yang diharamkan itu.
Beliau berkata pergerakan guru bersama beberapa golongan profesional yang dipercayai berselindung di sebalik nama Rufaqa Corporation sukar dijejaki kerana cara pemakaian tidak lagi melambangkan mereka seperti ahli al-Arqam.
"Kami masih menyiasat sama ada mereka cuba mempengaruhi murid sekolah menyertai mereka. Sebagai guru, pengaruh mereka dikalangan pelajar dan masyarakat amat cukup kuat dan kami bimbang penyelewengan al-Arqam menular semula.
"Kami juga belum mendapat laporan sama ada perjumpaan turut membabitkan penyertaan murid. Namun, kita akan pantau serta cuba menjejaki lokasi rahsia pertemuan mereka," katanya kepada Berita Harian semalam.
Kelmarin, NUTP mendedahkan ada guru termasuk Penolong Kanan cuba menghidupkan semula fahaman Aurad Muhammadiah yang diasaskan Ashaari Muhammad, bekas pemimpin al-Arqam yang diharamkan.
Selain itu, Anuar berkata, sehingga kini belum ada laporan mengesahkan mereka mengambil kesempatan menyebarkan fahaman itu ketika sesi pembelajaran di sekolah.
Sementara itu, pengikut al-Arqam yang masih setia dengan Ashaari didakwa bergerak aktif dengan mensasarkan golongan berpengaruh dalam parti politik atau masyarakat menyertai ajaran Aurad Muhammadiah.
0 comments:
Post a Comment