Iran sedia lancar roket jika diserang

TEHERAN: Iran mampu membedil 11,000 roket ke arah pangkalan musuh dalam masa beberapa minit pertama jika diserang, stesen televisyen kelolaan kerajaan memetik komander atasan Pengawal Revolusi sebagai berkata kelmarin.

Komander peluru berpandu unit elit itu, Jeneral Mahmoud Chaharbaghi, berkata Iran mengenal pasti semua kedudukan musuh dan bersedia memberi tindak balas tidak sampai seminit kepada sebarang serangan.

"Pangkalan musuh dan kedudukan sudah dikenal pasti. Tentera darat Pengawal Revolusi akan membedil 11,000 roket ke kedudukan musuh yang dikenal pasti dalam masa beberapa saat pertama selepas serangan terhadap wilayah Iran," televisyen memetik Chaharbaghi sebagai berkata.


Chaharbaghi tidak menyebut secara khusus pangkalan atau musuh dan tidak merujuk kepada Israel atau Amerika Syarikat dengan menyebut nama kedua-dua negara itu.

Namun, Amerika mempunyai 40,000 anggota di merata pangkalan di negara Teluk Parsi lain dan 20,000 di perairan Asia Barat. Tambahan 160,000 lagi berada di Iraq dan 25,000 di satu lagi negara jiran Iran, Afghanistan.

Agensi berita separuh rasmi Iran, Fars, juga memetik Chaharbaghi sebagai berkata bahawa roket yang dapat mengelakkan radar meliputi keseluruhan Teluk Parsi dan sempadan Iran-Iraq.

Chaharbaghi dipetik oleh Fars sebagai berkata roket yang meliputi jarak 248 kilometer akan diserahkan kepada tentera darat unit itu tidak lama lagi.

Iran meningkatkan amaran berhubung kemungkinan perang, terutama apabila Barat berbincang mengenai sekatan selepas Teheran menolak permintaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan proses memperkayakan uranium. � Agensi

0 comments: