KUALA LUMPUR 21 Okt. – Gadis yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, mungkin tidak dapat menduduki satu kertas peperiksaan akhir tahun di sekolahnya minggu depan kerana menjalani pemeriksaan kesihatan di sini.
Ibunya, Sabariah Mustaffa, 49, berkata, anaknya itu sepatutnya menduduki kertas peperiksaan akhir tahun itu minggu ini tetapi ia telah ditunda ke minggu depan.
Dia bagaimanapun tidak dapat memastikan matapelajaran kertas peperiksaan yang mungkin tidak dapat diambil anaknya itu.
“Minggu depan Siti Salmah akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan rutin paru-parunya. Jadi kita tengoklah macam mana selepas itu, mungkin pihak sekolah boleh berbuat sesuatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Sabariah, anaknya dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan selama sehari di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara (IJN) pada 29 Oktober ini.
Siti Salmah merupakan pelajar tingkatan enam rendah, Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor.
Sabariah berkata, walaupun menghadapi masalah kesihatan, Siti Salmah sentiasa bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.
Siti Salmah masih menyimpan harapan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat universiti sekiranya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Biasanya dia mengulang kaji pada waktu subuh kerana waktu itu tenang. Kalaupun dia tidak dapat ke sekolah, cikgu-cikgu amat memahami dan sentiasa memberinya sokongan moral.
“Kawan-kawan juga selalu datang melawat dan membantunya melakukan kerja sekolah. Saya sekeluarga amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada ramai orang,” katanya.
Sabariah berkata, dia sekeluarga sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar Siti Salmah mendapat penderma organ paru-paru secepat mungkin.
“Tiap-tiap hari Utusan Malaysia tulis cerita pasal Siti Salmah dan saya amat berterima kasih kerana ia akan membantu anak saya itu mendapatkan penderma dengan segera,’’ katanya.
Siti Salmah berada dalam senarai pesakit yang mendaftar untuk pemindahan paru-paru sejak tahun 2005.
Penyakitnya itu mengakibatkan tekanan darah dalam paru-paru terlalu tinggi hinggakan badannya sering letih dan mengalami kesukaran bernafas.
Keadaan itu akan memberi kesan buruk kepada jantungnya dan boleh meragut nyawa Siti Salmah pada bila-bila masa.
Penyakit Hipertensi Pulmonari yang dihidapi Siti Salmah kini berada pada tahap empat yang memaksanya bergantung kepada tangki oksigen bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seharian.
0 comments:
Post a Comment