JOHOR BAHRU 17 Okt. – Jabatan Laut Wilayah Selatan akan berusaha mempercepatkan siasatan terhadap kes feri Seagull Express yang terbakar ketika membawa 103 penumpang termasuk tiga anak kapal Sabtu lalu.
Pengarahnya, Hazman Hussein berkata, tiga pegawai termasuk dari Jabatan Laut Wilayah Tengah sedang giat menjalankan siasatan dan mengumpulkan maklumat mengenai insiden itu yang mengorbankan empat penumpang.
Beliau berkata, siasatan yang dilakukan menyentuh semua aspek terutama punca tragedi itu berlaku dan cara-cara penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan air termasuk feri.
‘‘Kita diberi tempoh selama dua minggu mulai Isnin lalu untuk membuat siasatan berhubung kejadian kebakaran feri Seagull Express yang berlaku kira-kira tujuh batu nautika dari perairan Pulau Tioman.
‘‘Walaupun diberi tempoh dua minggu, pegawai-pegawai kita akan cuba untuk mempercepatkan proses siasatan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan hasil siasatan, satu laporan penuh akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy.
Beliau berkata, beberapa maklumat dan dokumen berhubung feri berkenaan telah diperoleh dan para pegawai masih meneruskan siasatan bagi mengumpul lebih banyak maklumat.
Sabtu lalu, pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, feri Seagull Express yang dalam perjalanan dari Mersing ke Pulau Tioman terbakar di tengah laut iaitu kira-kira 11 kilometer dari Pulau Tioman.
Maklumat awal mendapati bahagian enjin feri tersebut terbakar dan mengeluarkan asap tebal.
Ekoran itu, penumpang bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri tanpa memakai jaket keselamatan. Tragedi itu mengorbankan lima nyawa.
Hazman berkata, pihak penguat kuasa masih lagi menahan tiga feri yang berdaftar di bawah nama syarikat berkenaan setelah didapati permit untuknya beroperasi telah tamat tempoh sejak 2004.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan selama mana feri-feri berkenaan akan ditahan daripada beroperasi.
0 comments:
Post a Comment