Puteri bantu pesakit paru-paru

Oleh Srihanasham Noordin


PERLU BANTUAN: Noraslina bersama rombongan Puteri Umno Johor (dua dari kanan) melawat Siti Salmah sambil ditemani ibunya, Sabariah Mustafa (kiri) di rumah datuknya di Felda Taib Andak, Kulai, semalam.

KULAI: Puteri Umno Johor akan membantu pesakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, untuk mendapatkan paru-paru baru yang sesuai dengan kadar segera menerusi senarai penderma organ yang berdaftar dengan pergerakan itu.

Ketua Puteri Umno Johor, Noraslina Zainal Abidin, berkata pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pergerakan itu menjalankan program mendaftarkan penderma organ dan menyimpan senarai nama berkenaan.

Katanya, pihaknya berharap ada penderma yang bersesuaian untuk membantu Siti Salmah yang hanya mempunyai jangkaan hayat dua tahun, jika tidak menjalani pembedahan pemindahan paru-paru baru secepat mungkin.


"Puteri akan menyemak semula senarai nama penderma yang mendaftar dengan Puteri pada perhimpunan lalu untuk mengesan penderma paru-paru yang bersesuaian untuk Siti Salmah supaya pembedahan dapat dijalankan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum itu, Noraslina dan rombongan Puteri Umno Johor melawat Siti Salmah di rumah datuknya di Felda Taib Andak, di sini, semalam, untuk menghulurkan bantuan hari raya.

Noraslina berkata, Puteri Umno Johor juga akan berusaha menjalankan kempen untuk menghebahkan penderitaan Siti Salmah supaya akan ada penderma yang sudi tampil membantu pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra itu.

Siti Salmah, yang menghidap penyakit itu sejak kecil diberikan jangka hayat hanya dua tahun lagi jika gagal menjalani pembedahan pemindahan paru-paru secepat mungkin.

Beliau yang kini bergantung kepada kepada bantuan tangki oksigen dan mengambil ubat seperti Bosenpan, Iloprost dan Sildenafil untuk bertahan semakin terdesak untuk mendapatkan paru-paru baru kerana sejak hampir dua tahun lalu, beliau belum menemui penderma sesuai dan penyakitnya yang dihidapi sejak kecil itu mula memberi kesan buruk kepada jantungnya.

0 comments: