Oleh Sahlina Sahkirin
DITEMUI: Pasukan penyelamat menurunkan mayat Wong Soong Leng, di Jeti Tanjung Gemok, Rompin. (Gambar kecil) Sen Mey Ying ditenangkan selepas mayat suaminya ditemui. |
Wong Soong Leng terapung dekat tempat kejadian
MERSING: Satu daripada tiga mangsa yang hilang dalam kejadian feri Seagull Express 2 yang terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman, pada tengah hari Sabtu lalu sudah ditemui pagi semalam.
Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Cif Inspektor Abd Rahman Abd Jalil, berkata sebaik menyambung semula operasi bermula jam 9 pagi, pihaknya menemui satu mayat dalam keadaan terapung berhampiran tempat kejadian, kira-kira jam 11.30 pagi.
Beliau berkata, mayat berkenaan adalah Wong Soong Leng, 37, salah seorang mangsa yang hilang dalam tragedi kebakaran feri, kira-kira jam 1.30 tengah hari, Sabtu lalu.
"Mangsa dikenal pasti berdasarkan pakaian yang dipakai pada hari kejadian itu ditemui anggota penyelamat kira-kira jam 11.30 pagi tadi (semalam) kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.
"Mayat mangsa yang dinaikkan di Jeti Tanjung Gemok, Rompin kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Mersing, di sini untuk dibedah siasat dan sudah dicamkan oleh isteri mangsa, Sen Mey Ying, petang tadi (semalam)," katanya.
0 comments:
Post a Comment