‘Seperti hidup kembali’

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM


CERIA... Tee Hui Yee yang beransur sihat mengangkat tangan menandakan isyarat kedamaian semasa mengadakan sidang akhbar buat pertama kali selepas menjalani dua pembedahan pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Raja Jaafar Ali.

KUALA LUMPUR 17 Okt. – “Seperti hidup kembali”. Itulah yang diluahkan Tee Hui Yee, 14, yang kini mula menikmati saat-saat kehidupan yang menyeronokkan sebagai remaja selepas dua minggu menjalani pembedahan pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Gadis itu yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun sudah boleh membuat panggilan telefon serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakan-rakannya untuk menyampaikan berita gembira mengenai perkembangan kesihatannya.

Hui Yee yang kelihatan ceria hari ini buat pertama kalinya selepas pembedahan dipertemukan dengan para wartawan di IJN di sini.

Dalam sidang akhbar selama setengah jam itu, dia yang masih memakai tiub saluran pemakanan bersemangat menceritakan apa yang dilaluinya.

“Saya sangat gembira kerana kesihatan saya sudah bertambah baik dan saya dapat bercakap.

“Saya ada menelefon kawan-kawan dan menghantar SMS kepada mereka memberitahu yang saya sudah beransur sihat,’’ katanya sambil tersenyum lebar.

Walaupun suaranya kedengaran tersekat-sekat, namun dia bersungguh-sungguh menjawab setiap soalan yang diajukan oleh wartawan yang teruja dengan sinar kegembiraan pada raut wajahnya.

Hui Yee berkata: “Saya sangat berterima kasih kepada penderma yang menderma jantung kepada saya walaupun saya tidak berpeluang berjumpa mereka.”

Tiada lagi air mata kesedihan seperti yang berlinang pada wajahnya dalam sidang akhbar di IJN pada 29 September lalu, iaitu empat hari sebelum pembedahan pemindahan jantungnya yang dijalankan pada malam 3 Oktober lepas.

Petang ini cuma perasaan gembira memenuhi hati pesakit jantung itu.

Sekali-sekala dia melambaikan tangan ke arah kamera krew televisyen bagi menunjukkan perasaan terhutang budinya kepada kakitangan IJN dan seluruh rakyat Malaysia yang menyokongnya untuk ‘hidup kembali’.

Gambar tangisan Hui Yee yang disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 17 hari lalu cukup menyayat hati dan mencetuskan keinsafan dalam diri sebahagian rakyat Malaysia mengenai nikmat hidup yang mereka kecapi selama ini.

Atas rasa prihatin, kempen Mencari Jantung Untuk Hui Yee dilancarkan oleh Utusan Malaysia bagi membantu gadis itu.

Pada 3 Oktober, tiga hari selepas kempen itu digerakkan, impian gadis itu menjadi kenyataan apabila dia menjalani pembedahan setelah menerima jantung daripada seorang remaja lelaki Melayu yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Sitiawan.

Namun, 36 jam kemudian pada awal pagi 5 Oktober, Hui Yee terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua setelah jantung pertama yang didermakan kepadanya tidak dapat diterima oleh tubuhnya.

Pembedahan pemindahan kali kedua itu berjaya. Jantung seorang pemuda Cina dari Johor berusia 20 tahun yang mati dalam satu kemalangan jalan raya dipindahkan ke dada Hui Yee.

Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu dan dia berada di IJN selama setahun menanti jantung yang sesuai untuk dipindahkan kepadanya.

Pada sidang akhbar hari ini dia ditemani oleh ibunya, Dina Bato Sam Bua dan bapanya, Tee Ah Soon.

Kata Hui Yee, dia tidak sabar untuk pulang ke rumahnya di Batu Pahat bagi menyambut Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Februari akan datang.

Dia juga mahu merasai semula kehidupan normal bergaul bersama ahli keluarga dan berpeluang untuk pergi ke sekolah seperti biasa.

Sambil mengesat air mata kegembiraan, Hui Yee meluahkan perasaannya: “Kalau boleh saya nak sambut Tahun Baru Cina di rumah serta dapat pergi ke sekolah dan belajar seperti rakan-rakan lain.’’

Mata gadis itu terpancar sinar kegembiraan ketika wartawan bertanya apakah perkara pertama yang dia ingin lakukan apabila dibenarkan pulang ke rumah nanti. Dia segera menjawab: ‘‘Saya ingin jumpa semua orang!’’

Sementara itu, Pengarah Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohammad Ezani Md. Taib berkata, beliau sangat berpuas hati dengan perkembangan Hui Yee yang telah menunjukkan reaksi positif terhadap jantung barunya.

“Dia kini tidak lagi menggunakan bantuan pernafasan serta boleh makan makanan biasa. Ini merupakan satu perkembangan yang baik,’’ katanya.

Menurut Mohammad Ezani, Hui Yee perlu menjalani satu rawatan biopsi bagi mengenal pasti sama ada dia dapat menerima jantung baru itu.

‘‘Melalui rawatan itu, kita akan mengambil secebis daging jantungnya untuk dihantar ke makmal bagi mengkaji sebarang jangkitan terhadap organ itu.

‘‘Rawatan ini akan dilakukan setiap minggu sebanyak tiga atau empat kali. Jika tiada jangkitan dan badannya dapat menerima jantung itu dengan baik, dia boleh pulang ke rumah,’’ katanya.

0 comments: