Mangsa kelima nahas feri ditemui

MERSING 17 Okt. – Operasi mencari dan menyelamat mangsa feri terbakar di perairan berhampiran Pulau Tioman Sabtu lalu menemui mayat salah seorang penumpang berhampiran Pulau Tokong Bahara di sini pukul 10.30 pagi ini.

Mayat Wong Soong Leng, 37, dilihat terapung oleh Unit Udara Polis Diraja Malaysia kira-kira dua batu nautika arah timur Pulau Tokong Bahara dalam operasi yang memasuki hari kelima.

Ketua Koordinasi Operasi Menyelamat, Kapten Maritim Tan Kok Kwee berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tangan cuba berpaut pada segelung tayar selain meletakkan satu lagi tayar pada pinggangnya.

“Kami percaya mangsa cuba menyelamatkan diri menggunakan kedua-dua tayar itu,” katanya.

Nahas feri Seagull Express yang terbakar dan karam di perairan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman kini meragut lima nyawa.

Kini operasi diteruskan untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.

Empat mangsa yang telah disahkan terbunuh ialah Hoo Lee Han, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 51, dan Teh Siew Lian,52, dari Klang serta Tee Moi@Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Ketika kebakaran berlaku Sabtu lalu, Seagull Express membawa 103 penumpang dan tiga krew.

Menurut Kok Wee, pihaknya menggunakan kapal peronda K M Sipadan milik Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk membawa naik mayat Soong Leng ke Jeti Tanjung Gemuk, Rompin, Pahang pada pukul 11.30 pagi ini.

“Ketika ditemui, mangsa masih lagi memakai baju T dan seluar pendek berwarna hijau dengan tangan kirinya hanya tinggal paras siku kerana reput,” katanya.

Beliau memberitahu, mayat mangsa telah disahkan oleh ahli keluarganya di Jeti Tanjung Gemuk dan kemudian dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat.

Kok Wee menjelaskan, operasi diteruskan untuk mencari dan menyelamat dua lagi mangsa iaitu Choon Yoong Kim, 43, dan Wong Hann Wenn, 29.

“Kami kini menumpukan operasi mencari dan menyelamat di kawasan sekitar Pulau Tokong Bahara berdasarkan penemuan terbaru ini.

“Dengan bantuan logistik dan jumlah anggota pasukan yang besar, kami yakin dua lagi mangsa yang masih hilang akan berjaya ditemui sedikit masa lagi,” ujarnya.

Operasi yang dijalankan itu melibatkan 140 anggota daripada Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta APMM.

0 comments: