Malaysia sokong usaha wakil PBB di Myanmar

Oleh Anwar Hussin


CARI PENYELESAIAN: Abdullah berjabat dengan Gambari ketika tiba di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Asean perlu main peranan penting selesai krisis politik: Gambari

KUALA LUMPUR: Malaysia memberi sokongan penuh kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk terbabit secara lebih aktif bersama Asean bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada kemelut politik Myanmar.

Utusan Khas PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari, berkata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah penting bagi Asean memberi sokongan kepada usaha badan dunia serta serantau itu mencari penyelesaian mengatasi kemelut Myanmar.

Gambari yang dalam rangka lawatan ke Asia berkata, beliau akan sekali lagi melawat Myanmar pada pertengahan bulan depan dalam usahanya memujuk negara itu menamatkan segera penahanan aktivis prodemokrasi.


Ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam kunjungannya ke negara itu, beliau berkata: "Saya berharap untuk dapat bertemunya".

Gambari mengakhiri lawatan dua hari ke negara ini dan bertemu Perdana Menteri di Putrajaya, semalam akan mengunjungi Indonesia dan seterusnya India, China serta Jepun. China adalah antara rakan dagang terbesar dan penyokong Myanmar.

Utusan Khas PBB ke Myanmar itu tiba di negara ini kelmarin untuk bertukar pendapat dengan pemimpin negara dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada kemelut politik di Myanmar.


Gambari berkata, dalam pertemuannya dengan Abdullah, beliau menjelaskan mengenai perkembangan terbaru terhadap usahanya menyelesaikan kemelut Myanmar dan Perdana Menteri menyatakan komitmen Asean menyokong inisiatif itu.

Beliau berkata, lawatannya ke Myanmar bulan depan dibuat sebagai susulan kepada usaha menggalakkan Myanmar ke arah menjayakan proses pemulihan demokrasi.

Bagaimanapun, Gambari berkata, PBB tidak pernah memaksa Asean menyingkir Myanmar sebagai anggotanya, tetapi mahu Asean memainkan peranannya dengan lebih proaktif untuk menamatkan kemelut di negara itu.

Katanya, Asean adalah pertubuhan yang amat penting di rantau ini dalam mengekalkan kestabilan serta keamanan di rantau itu.

"PBB mahu kerajaan junta Myanmar membebaskan segera semua tahanan aktivis prodemokrasi dan pemimpin dalam buangan kerana ia adalah satu perkembangan yang membimbangkan.

"Laporan penahanan baru aktivis yang juga pemimpin pelajar, prosedur soal siasat dan tindakan provokasi oleh junta amat membimbangkan dan ia jelas bertentangan dengan persetujuan bersama antara PBB dan Myanmar. Semua tindakan ini harus ditamatkan segera," katanya.

0 comments: