JOHOR BAHRU 17 Okt. – Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadot hari ini meminta umat Islam membantu Siti Salmah Jasni, 18, mendapatkan organ paru-paru untuk menyelamatkan nyawa gadis itu.
Beliau berkata, umat Islam tidak harus ragu-ragu untuk mendermakan paru-paru atau lain-lain organ badan walaupun kepada orang bukan Islam.
Menurutnya, ganjaran besar dunia dan akhirat menanti individu yang melakukan pengorbanan mulia itu.
‘‘Sesiapa yang kematian anggota keluarga akibat kemalangan sedangkan paru- parunya masih boleh dimanfaatkan, dermakan organ itu kepada pelajar berkenaan.
‘‘Islam juga tidak pernah memandang dan membezakan warna kulit, agama dan bangsa seseorang yang memerlukan organ,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mufti Johor itu berkata demikian ketika mengulas penantian Siti Salmah dari Kulai dekat sini untuk mendapatkan paru-paru sejak 2005 tetapi sehingga kini masih gagal memperolehnya.
Mohd. Nooh juga meminta umat Islam mengadakan solat hajat bagi memohon kepada Allah agar Siti Salmah yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari berjaya mendapatkan paru-paru baru daripada penderma.
‘‘Solat hajat harus diadakan dalam usaha menyelamatkan nyawa pelajar itu yang memerlukan pemindahan organ paru-paru.
‘‘Jabatan Mufti Johor sendiri akan mengeluarkan pekeliling kepada semua Pejabat Agama meminta agar setiap masjid dan surau di Johor mengadakan solat hajat itu,’’ katanya.
Sambil menyifatkan penderma organ sebagai melakukan ‘pengorbanan mulia’, beliau berharap akan ada insan yang tampil segera untuk menyelamatkan pelajar berkenaan.
‘‘Solat itu juga bertujuan membuka hati umat Islam untuk tampil menyempurnakan permintaan serta menyembuhkan sepenuhnya penyakit pelajar itu,’’ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment