Oleh FAUZI JAAFAR
SIBU 17 Okt.– Mayat dua mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian perahu karam di Sungai Batang Igan di sini, Ahad lalu ditemui di Sungai Kut, kira-kira dua jam perjalanan menggunakan bot dari sini, hari ini.
Mayat Harni Hasri, 18, ditemui pada pukul 11.38 pagi tadi dalam keadaan terapung manakala mayat rakannya Asmah Samdin, 21, ditemui kira-kira pada pukul 4 petang selepas operasi disambung semula.
Ketua Operasi Pencari dan Penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Sibu, Hii King Teng berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan mula mereput menyebabkan mayat sukar untuk dikenal pasti.
Menurutnya, setelah pengecaman oleh ahli keluarga mangsa dilakukan, mayat pertama yang ditemui pagi ini disahkan sebagai Harni.
Katanya, pasukan pencari berdepan dengan halangan untuk menemui mangsa kedua selepas tenggelam dan dihanyutkan arus.
“Pasukan penyelamat menemui Harni dan Asmah tidak jauh antara satu sama lain. Tapi ketika usaha menaikkan mayat Harni ke atas bot, mayat Asmah tenggelam dan hanyut.
“Mayat Asmah akhirnya ditemui berhampiran Daro, kira-kira lima jam selepas operasi disambung semula,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Semalam, pasukan pencari menemui mayat mangsa pertama tragedi perahu karam, Jusman Satu, 20, pada pukul 3.45 petang dalam keadaan lengkap berpakaian berhampiran Rumah Panjang Simon, dekat sini.
Ketiga-tiga hilang selepas perahu panjang yang dinaiki bersama enam lagi rakan mereka yang berasal dari Indonesia itu terbalik dan karam dalam kejadian pukul 8 malam, Ahad lalu.
Kejadian berlaku ketika semua pekerja ladang kelapa sawit itu pulang dari mengunjungi rumah saudara-mara sempena Hari Raya Aidilfitri di seberang sungai itu.
Operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, JPA3, kakitangan Lembaga Air Sibu dan penduduk kampung.
King Teng berkata, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Besar Sibu di sini, untuk bedah siasat.
“Usaha membawa mayat mangsa ke hospital memakan masa memandangkan tempat mangsa ditemui jauh dari pusat gerakan pasukan mencari di Sibu,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa sedih dengan kehilangan mangsa yang disifatkan sahabat baik apatah lagi kesemua mereka merupakan teman sekampung dari Kampung Buluh Kumbar, Sulawesi.
Abdul Ghafar Samadin, 31, iaitu abang kepada Asmah, berkata, dia sedih kerana kehilangan adiknya yang mempunyai seorang anak lelaki di kampung asal mereka di Sulawesi.
Menurutnya, dia belum membuat keputusan sama ada mahu mengkebumikan adiknya di kampung asal mereka di Sulawesi atau di Sibu.
“Saya akan berbincang dengan suami mangsa untuk urusan pengkebumian adik saya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment