Negara lain turut guna kepakaran angkasawan kita

MOSCOW 17 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bukan sekadar menjalankan kajian untuk saintis Malaysia di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malah turut terlibat dengan penyelidikan agensi negara lain.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, agensi-agensi tersebut ialah Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun (JAXA).

Menurutnya, penglibatan Sheikh Muszaphar dalam kajian luar itu turut tertumpu mengenai kesan keadaan mikrograviti dan radiasi solar terhadap perubahan sistem badan angkasawan ketika berada di angkasa.

‘‘Mengenai kerjasama bersama ESA, Sheikh Muszaphar terlibat dalam penyelidikan kesan mikrograviti terhadap bahagian belakang badan, persepsi pergerakan, daya ketahanan sebelum dan selepas penerbangan ke ISS serta kestabilan penglihatan dan badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai kajian bersama JAXA pula, Zulkeffeli berkata, kerjasama yang dilakukan tertumpu kepada penyelidikan mengenai pengukuran paras pendedahan angkasawan terhadap radiasi angkasa lepas.

‘‘Terdapat satu alat yang dibangunkan oleh JAXA diletakkan dalam poket baju angkasawan itu untuk mengkaji paras radiasi,” ujarnya.

Menurut beliau, kesihatan Sheikh Muszaphar yang berada di ISS ketika ini adalah baik dan beliau dapat melaksanakan segala penyelidikan yang diamanahkan dengan sempurna.

Katanya, waktu tidur angkasawan pertama negara itu juga sudah stabil iaitu lapan jam sehari berbanding enam jam sebelum ini dan beliau dapat melaksanakan tugas termasuk bersolat dengan baik.

‘‘Namun, beliau ada menyatakan mengalami sedikit sakit di bahagian belakang badan,” jelasnya.

Ditanya mengenai proses kepulangan Muszaphar ke Bumi, Zulkeffeli berkata:

‘‘Persiapan untuk pulang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mulai esok. Sama-samalah kita doakan semoga beliau selamat pulang.”

Sementara itu, Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, sekembalinya Sheikh Muszaphar dari ISS yang dijangka pada 21 Oktober ini, segala hasil kajian yang dilakukannya di angkasa akan terus dibawa ke makmal sama ada di Rusia, Jepun dan Malaysia untuk dianalisis.

‘‘Bagi kajian yang dibuat dengan kerjasama Rusia, ia akan dibawa ke Institute of Biomedical Problem (IBMP) di Moscow manakala kajian dengan kerjasama pihak Jepun akan dibawa ke Jepun.

‘‘Dua orang penyelidik Malaysia termasuk saya akan membuat analisis seterusnya di Malaysia,” tambahnya.

0 comments: