Selepas berita kematian Nurin, saya terus bergegas mendapatkan anak..

Azamin Amin
Fri | Sep 21, 07 | 2:09:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Sebaik sahaja menatap dan menonton berita RTM jam 5.30 tentang kematian Nurin Jazimin Abdul Jalil, saya tanpa berlengah lagi terus mandi lantas bergegas segera turun ke bawah daripada rumah pangsapuri tingkat tiga saya untuk menemani anak-anak yang sedang leka bermain di bawah laman.

Alhamdullillah, kelibat dua orang anak saya berumur masing-masing 5 dan 4 tahun masih kelihatan. Masih tersenyum dan leka ketawa bermain bersama rakan sebayanya.

Sebenarnya sudah lebih tiga bulan, saya dengan tidak 'bertanggungjwabnya' membiarkan anak-anak saya bermain-main tanpa pemerhatian dan pantauan saya. Sebenarnya saya begitu kepenatan setelah pulang daripada pejabat manakala isteri saya pula sibuk mengurus hal-ehwal dapur dan si kecil bongsu.

Mulai sekarang, sepenat mana saya sekalipun, tidak sekali-kali akan membiarkan keadaan ini berlaku. Saya tidak sanggup untuk 'kehilangan' anak-anak saya angkara manusia gila, jauh sekali tidak terdaya untuk menerima usungan jenazah mereka seperti yang berlaku pada keluaraga Nurin.

Nampaknya Malaysia bukanlah negara selamat seperti diuar-uarkan.Tidak seperti zaman dahulu, mak ayah begitu yakin membiarkan anak-anaknya seperti saya bermain sepuas-puasnya tanpa rasa bimbang seperti sekarang.Saya mengajak para ibu ayah jangan abaikan tanggungjawab ini, kerana kelak sesal tiada gunanya.

Demikianlah antara petikan salah satu email yang diterima mengulas lanjut berhubung isu kehilangan Nurin yang berakhir dengan tragedi kematiannya dalam keadaan memilukan.

Seorang pemanggil yang begitu kecewa dan marah dengan kes menyayat hati ini meminta dengan bersungguh supaya kerajaan khususnya pihak berkuasa benar-benar serius dengan peristiwa ini dan mengambil langkah drastik walaupun dilihat agresif namun demi keselamatan awam dapat dilindungi.

"Hukuman biar perit dan menakutkan, supaya menjadi pengajaran bagi yang lain dan jangan hanya bersikap bermusim sahaja sikap prihatin ini," katanya yang mahu dikenali sebagai Badjrul Amat.

Kejadian tragis dan sadis Nurin ini mengulangi trauma serta kengerian lama tragedi 17 Januari 2004 yang turut mengundang kemarahan masyarakat apabila Murid Tahun 4, Nurul Huda Abd Ghani, meninggal dunia selepas dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelaki, termasuk seorang pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan di Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg. Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu.

Setelah tragedi berlaku, pelbagai resolusi, cadangan, pertemuan, seminar dan pelbagai aktiviti cuba dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu antaranya melibatkan pihak berkuasa, masyarakat dan pemimpin parti politik bagi mengelak kejadian ini berulang namun, dilihat seumpama bermusim dan berlegar-legar sekitar lebih sebulan sahaja, kemudian seperti 'diam seribu bahasa'.

"Malah ramai pula yang tampil jadi hero tempelan kononnya sebagai penyelamat dan pencegah keadaan," kata seorang pemanggil, Kassim Razali 34, yang kesal dengan fenomena 'pasang-surut' ini.

Kemudian isu ini bangkit lagi, dan mengelodaklah negara sehingga Perdana Menteri sendiri begitu kecewa dan geram dengan situasi yang berlaku.

Namun ramai yang mengharapkan agar ianya tidak sekadar omongan dan tinggal begitu sahaja dan hanya menanti kecelakaan baru menjelma dan semakin bertambah jenazah kanak-kanak di Malaysia lantaran kealpaan orang dewasa baik ibu bapa, pihak berkuasa dan pemimpin negara.

Dilaporkan ujian DNA telah mengesahkan mayat yang ditemui dalam sebuah beg di sebuah kedai di PJS1, Petaling Jaya Utama Isnin lepas sebagai mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak sebulan lepas.

Difahamkan selepas solat Jumaat hari ini, jenazah kanak-kanak yang tidak berdosa ini akan dikebumikan setelah keluarganya menuntut kembali jenazah daripada Hospital Kuala Lumpur - mr

0 comments: