MUTAKHIR: Bapa tuntut mayat Nurin

KUALA LUMPUR: Dengan linangan air mata, Jazimin Abdul Jalil, pagi ini menuntut mayat anaknya Nurin Jazlin, 8, dari Hospital Kuala Lumpur untuk dikebumikan selepas solat Jumaat.

Jazimin, 33, yang sebelum ini menafikan mayat itu adalah anaknya yang hilang diculik sejak 20 Ogos lalu walaupun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan sebaliknya, dilihat sebak dan berterusan mengalir air mata sepanjang proses menuntut mayat Nurin Jazlin, mangsa bunuh dan penderaan seksual.

Jazimin, yang berbaju Melayu merah jambu dan berseluar hitam dengan ditemani keluarga dan sanak saudaranya, dibenarkan membawa keluar mayat anak gadisnya itu pada jam 11.15 pagi ini, dan selepas bacaan doa lalu beredar keluar dengan sebuah van, sambil disaksikan sayu oleh orang ramai dan kakitangan hospital.

Di Seksyen Satu, Wangsa Maju di kediaman keluarga itu, ibu kanak-kanak itu, Norazian Bistaman, 35, menunggu suaminya untuk membawa pulang buat kali terakhir Nurin Jazlin yang lebih mesra dengan panggilan 'Kak Ngah' dalam kalangan keluarga dan jirannya.

Jenazah Nurin Jazlin akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Wangsa Maju selepas solat Jumaat ini.

Semalam, polis mengesahkan ujian DNA terhadap mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lalu adalah Nurin Jazlin yang hilang sejak sebulan lalu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, ibu bapa Nurin Jazlin sangsi dengan ujian itu dan meminta supaya dibuat ujian DNA kali kedua yang sepatutnya diketahui keputusannya Ahad ini.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju di sini.

Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas.

Bedah siasat mendapati pembunuh memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria, dan ini antara faktor yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu yang ditemui mati berkeadaan kurus kering selain mempunyai pelbagai kesan lebam pada badannya, dan ini menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya ketika membuat pengecaman pertama kali Isnin lalu. - Bernama

0 comments: