Pegawai kanan polis disiasat

Oleh Hardi Effendi Yaacob

BPR selidik dakwaan miliki harta RM9j, dipercayai terbabit kegiatan meragukan

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Superintendan disoal siasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana memiliki harta kira-kira RM9 juta, dipercayai diperoleh dengan cara meragukan.

Sumber memberitahu Berita Harian, pegawai berusia 40-an yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, dipercayai terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram.

“Pegawai terbabit menyerah diri di Ibu pejabat BPR Putrajaya kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) untuk disoal siasat. Segala keterangannya sudah direkodkan bagi membantu siasatan, termasuk dakwaan pembabitannya dalam lima kes penggubahan wang haram di Johor,” katanya.

Siasatan itu menjadikan sekurang-kurangnya dua pegawai kanan Bukit Aman sedang dalam siasatan BPR berhubung pemilikan harta melebihi tahap kemampuan sebagai penjawat awam, selain dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, seorang pegawai kanan polis yang dikaitkan dengan pemilikan harta RM27 juta dipanggil agensi terbabit untuk mengisytiharkan hartanya berikutan dakwaan berkenaan.

“Pegawai terbabit hanya mengisytiharkan hartanya semalam (Rabu) iaitu hari terakhir tempoh diberikan kepadanya untuk berbuat demikian. Beliau mengisytiharkan harta kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP) di Putrajaya seperti yang diarahkan sebelum ini,” katanya.

Sumber berkata, siasatan terhadap pegawai kanan polis berpangkat Komisioner itu masih dijalankan bagi mengenalpasti kesahihan dakwaan terhadapnya, termasuk pemilikan harta yang dikatakan diperoleh melalui amalan salah guna kuasa.

Selain rumah, kenderaan dan wang tunai, pegawai terbabit dikatakan memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perladangan di Lahad Datu, Sabah yang terbabit dalam projek ladang sawit di kawasan berkenaan yang mendapat bantahan penduduk setempat.

Berikutan itu, pegawai terbabit dikatakan menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan penduduk yang membuat bantahan ditangkap kerana mengganggu kelancaran projek syarikat perladangan terbabit.

0 comments: