Kes Nurin: 'Hukum segera pembunuh Nurin'

Oleh Amirullah Andi Nur

Pelbagai pihak kutuk perbuatan kejam, anggap �haiwan� tak berperikemanusiaan

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mengutuk pembunuh Nurin Jazlin Jazimin yang mayatnya ditemui dalam beg pakaian, di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada Isnin lalu.

Mereka menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan mahu pihak berkuasa menangkap pembunuh berkenaan serta dikenakan hukuman setimpal.

Sebagai bukti keprihatinan mereka terhadap nasib malang mangsa, sebuah persatuan menawarkan ganjaran wang tunai RM5,000 kepada sesiapa yang dapat membantu polis menangkap pembunuh kejam itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, berkata beliau dan keluarga terkejut dan marah apabila dimaklumkan dengan berita pengesahan mayat itu adalah Nurin dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Namun, beliau yakin polis akan menyelesaikan kes itu dan membawa pembunuh Nurin ke muka pengadilan untuk diadili dan dijatuhkan hukuman setimpal.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sangat sedih berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan menyifatkan pihak bertanggungjawab melakukannya seperti binatang.

�Bagi saya, kes ini sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku di negara kita. Sesiapa juga yang melakukannya, ia tidak ubah seperti binatang,� katanya selepas pertemuan dengan jawatankuasa pusat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Gombak, dekat sini, semalam.

Nurin dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya yang disumbat dalam beg pakaian. Beg itu ditemui berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama.

Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa dibunuh kurang dari 24 jam sebelum mayatnya ditemui dengan kematian berpunca daripada jangkitan kuman dalam kemaluannya, selain usus pecah akibat penderaan seksual.

Murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Pengesahan identiti kanak-kanak itu dibuat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan diumumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut senada dengan Azalina menyifatkan pihak yang melakukannya sebagai tidak berakal dan berperwatakan binatang.

"Bagi saya, ini perbuatan orang kurang siuman dan gila seks, apatah lagi menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa," katanya.

Presiden Abim, Yusri Mohamad turut mengutuk pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit.

"Tidak terlintas kepada kita bahawa perkara seperti ini boleh dilakukan. Namun, pada masa sama kita perlu bersedia menerima keadaan ini sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi," katanya.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, pula berkata, pihaknya mengeji dan mengutuk perbuatan pembunuh bertopengkan haiwan itu.

"PPIM menggesa semua pihak membantu memastikan manusia bertopengkan haiwan ini ditangkap serta dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Noor Nirwandy berkata, pihaknya sedia memberi ganjaran RM5,000 kepada sesiapa berjaya membantu polis menangkap pembunuh kejam itu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, semalam menyatakan rasa sedih dan kesal berhubung kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Sambil meminta masyarakat berdoa supaya kes sedemikian tidak berulang, beliau berkata ibu bapa perlu menjaga anak masing-masing dan memberi sepenuh kasih sayang.

"Ini kes yang amat menyedihkan...semua ibu bapa sayangkan anak mereka dan saya percaya tiada satu pun mahu kejadian seumpama ini berlaku. Sukar untuk nyatakan apakah nasihatnya, tetapi yang penting kita perlu menyayangi mereka," katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan kumpulan sokongan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), semalam.

0 comments: