Pil babi pula pilihan remaja

TUMPAT: Selepas pil kuda, syabu, ganja dan pelbagai jenama dadah diguna oleh penagih, kini muncul pula jenama baru pil yang dipercayai dapat memberi kesan lebih cepat serta lebih khayal iaitu ‘pil babi’.

Pil menyerupai pil kuda itu, dikesan dan boleh didapati di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dikatakan memberi kesan dua kali ganda lebih mengkhayalkan berbanding pil kuda.

Ketua Daerah Polis Tumpat, Superintendan Azizan Anan, berkata pihaknya menerima beberapa laporan mengenai penggunaan pil babi di kalangan remaja di daerah itu kebelakangan ini.

Walaupun belum melihat sendiri rupa bentuk pil itu, beliau difahamkan pil itu seakan-akan pil kuda dan digunakan penagih untuk khayal.

“Kita sedang siasat perkara itu untuk mendapat kepastian bagi memastikan remaja tidak terjebak dengan budaya buruk itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pil babi yang dibawa masuk dari negara jiran, dipercayai digunakan untuk meningkatkan rangsangan seksual babi oleh penternak babi Kelantan.

Seorang penduduk yang ditemui, Yusoff Said, 56, berkata mereka yang ingin mendapatkan pil itu perlu ke sempadan kerana di situ bahan berkenaan mudah diperoleh, tetapi hanya menerusi orang tertentu. – Bernama

0 comments: