Dunia kecam serangan di Lubnan


CARI BUKTI: Tentera Lubnan memeriksa kawasan serangan yang membunuh Ghanem dan enam yang lain di Beirut, kelmarin.

Syria dipersalahkan, Damsyik didakwa mahu lewatkan pemilihan Presiden



BEIRUT: Masyarakat antarabangsa semalam mengecam serangan bom di tengah-tengah kawasan Kristian di ibu negara Lubnan kelmarin yang membunuh seorang Ahli Parlimen anti-Syria dan lima yang lain dan mengancam melewatkan pemilihan Presiden yang dijadualkan minggu depan.

Antoine Ghanem, seorang anggota parti Christian Phalange berusia 64 tahun yang kembali daripada pelarian hanya dua hari sebelumnya, adalah individu kelapan anti-Syria dan Ahli Parlimen keempat daripada gabungan pemerintah yang dibunuh dalam tempoh kurang tiga tahun

Anggota gabungan menyalahkan Syria, manakala Damsyik pula menafikan terbabit dalam serangan Rabu lalu seperti yang terjadi sebelumnya dalam pembunuhan tujuh yang lain termasuk pengeboman maut 2005 bekas Perdana Menteri Rafik Hariri - pembunuhan yang mencetuskan protes besar-besaran yang memaksa Syria menarik balik tenteranya selepas pendudukan selama tiga dekad.

Pegawai keselamatan berkata sekurang-kurangnya 71 orang cedera dalam letupan kelmarin, separuh daripadanya sudah meninggalkan hospital. Letupan itu berlaku ketika waktu puncak di jalan sibuk di daerah Sin el-Fil, menyebabkan beberapa bangunan musnah teruk, beberapa kereta terbakar dan menumpahkan darah bersama sisa runtuhan di sepanjang jalan.

Pakar letupan dilihat memeriksa enjin kereta Ghanem, yang terpelanting lebih 50 meter. Seorang pegawai keselamatan berkata, bom itu kemungkinan diletupkan oleh alat kawalan jauh berhampiran kereta Ghanem.

"Saya tidak pernah melihat rejim penakut selain daripada Bashar Assad," kata Ahli Parlimen Saad Hariri, menyalahkan Presiden Syria terhadap kematian Ghanem. Hariri menggantikan bapanya, bekas Perdana Menteri yang dibunuh sebagai ketua tentera anti-Syria, yang kini memegang majoriti dalam Parlimen.

Anggota Kabinet Ahmed Fatfat turut menyalahkan Syria terhadap serangan itu, sambil mengatakan Damsyik mahu melewatkan usaha pemimpin majoriti dan pembangkang untuk memilih presiden di Parlimen Selasa ini.

"Ia satu-satunya rejim yang tidak mahu pilihan raya presiden di Lubnan diadakan," kata Fatfat kepada The Associated Press.

Presiden Emile Lahoud, sekutu Syria, turut mengecam pembunuhan Ghanem dan berkata ia bertujuan menggagalkan pemilihan Presiden.

Sementara itu, Amerika Syarikat mengetuai kecaman antarabangsa terhadap serangan itu dengan Washington memberi amaran kepada Syria dan Iran supaya tidak menggugat kestabilan di negara jiran masing-masing.

"Saya kecam sekeras-kerasnya serangan bom yang membunuh ahli parlimen Antoine Ghanem," kata presiden AS, George W Bush. � AP

0 comments: