Gambar akhbar punca rusuhan

Gambar akhbar punca rusuhan

Natrah hidup dalam jiwa orang Melayu. Natrah menjadi lambang kasih sayang orang Melayu terhadap Islam. Sekiranya Natrah tidak Islam, belum tentu Natrah begitu dikasihi dan layak mendapat pengorbanan jiwa orang-orang Melayu.

Maka kerana penyatuan Islam dalam diri Natrah, orang Melayu sanggup menggadaikan nyawa, sanggup menggadaikan masa depan mereka. Bagi orang Melayu Natrah adalah anak kecil yang wajar dilindungi, wajar dipelihara kerana agama yang disayangi mereka ada bersama Natrah!.

Walaupun singkat hidup Natrah di dunia Melayu, namun Natrah adalah seorang Islam dan mengamalkan budaya Melayu. Orang Melayu pada zaman itu sangat berbangga dapat memelihara 'anak Mat Salleh'. Ia dianggap satu kejayaan dan harga diri bangsa yang dijajah. Apa lagi sekiranya mereka dapat bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan syariat Islam.

Hati orang Melayu akan menjadi cair melihat anak-anak berambut blonde dan bermata biru bercakap Melayu! Latar sejarah zaman itu juga mempengaruhi apa yang terjadi dalam isu Natrah. Zaman kemunculan Natrah adalah zaman kebangkitan semangat menentang penjajah di kalangan orang-orang Melayu. Parti-parti politik Melayu, seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), UMNO, Hizbul Muslimin dan akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Melayu Raya menjadi pencetus dan penyubur semangat menentang penjajah.

Tokoh-tokoh politik dan intelektual Melayu seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Dato' Onn, A. Rahim Kajai, A. Samad Ismail, Ishak Hj Muhammad, Zaaba, (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi yang tidak tersebut namanya adalah orang yang berjaya menyemarakkan erti perjuangan kemerdekaan dalam dada orang Melayu melalui ceramah-ceramah politik dan tulisan mereka di akhbar setiap hari.

Dalam kehangatan semangat anti penjajah inilah Natrah tiba-tiba muncul. Jadi orang-orang Melayu memberikan sepenuh sokongan kepada orang-orang yang terlibat dalam isu ini seperti Natrah, Mansor dan Che Aminah. Orang Melayu menganggap isu Natrah dan kejayaan memperolehi kembali Natrah adalah kejayaan bangsa Melayu menentang penjajah.

Natrah menghadapi dua kali perbicaraan mahkamah. Sewaktu kali pertama Natrah berjaya dan bebas tinggal dengan Che Aminah. Kejayaan perbicaraan ini membawa Che Aminah menikah gantungkan Natrah yang berumur 13 tahun dengan anak kawan baiknya Che Wok, bernama Mansor Adabi berumur 21 tahun.

Pernikahan ini tidak dirujuk pun oleh Che Aminah kepada peguamnya, Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Tun Saadon Jubir.

Pernikahan ini mendapat liputan luas antarabangsa dan menjadi sebab kepada wujudnya gerakan besar-besaran di Belanda di bawah Jawatankuasa Khas Bertha Hertogh untuk memperjuangkan Natrah dibawa balik ke Belanda. Atas kepentingan politik dan maruah diri bangsa yang menjajah, Natrah mesti dikembalikan kepada mereka. Mereka berasa terhina anak bangsa mereka dipelihara oleh penduduk yang pernah mereka jajah!

Menunggu

Sementara menunggu perbicaraan kedua atas isu hak penjaga anak di bawah umur, kerana Natrah berumur 13 tahun pada masa itu yang tidak sepatutnya berkahwin, Natrah ditempatkan di Gereja St Mary di Singapura.

Di gereja ini, Natrah dijinakkan dengan Bible, patung Virgin Mary, alat muzik seperti piano dan lagu-lagu gospel. Natrah dipisahkan dengan kejam daripada ibu angkatnya Che Aminah dan suami yang baru dikahwininya Mansor Adabi.

Akhbar The Straits Times dan Utusan Melayu memainkan peranan yang kontra dalam isu Natrah. The Straits Times yang dimiliki oleh penjajah Inggeris berlagak bagus dengan membuat provokasi mengatakan bahawa Natrah gembira di gereja.

Sementara akhbar Utusan Melayu mengeluarkan kisah Natrah menangis memeluk pemberita Utusan Melayu meminta beliau mengeluarkannya dari gereja itu. Orang Melayu sudah pasti dapat membaca isi hati Natrah!

Sebelum dan semasa perbicaraan berlangsung, akhbar Utusan Melayu menggerakkan Tabung Kes Perbicaraan Natrah. Masyarakat Melayu diminta memberi derma untuk membiayai kos mahkamah yang tinggi.

Sesiapa yang menderma mendapat hadiah gambar perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi. Kecantikan Natrah dan ketampanan Mansor Adabi sampai ke hati orang-orang Melayu ke seluruh pelosok Tanah Melayu.

Kesannya orang Melayu bercerita dari mulut ke mulut dengan penuh simpati, menanam kebencian yang meluap-luap terhadap penjajah generasi demi generasi!

Semasa keputusan mahkamah di bawah undang-undang sivil yang memihak kepada ibu bapa kandung Natrah, dan pernikahan Natrah-Mansor terbatal orang-orang Melayu tidak membantah walaupun kecewa. Orang Melayu dapat menerima keputusan itu walaupun marah. Tidak ada rusuhan berlaku di persekitaran mahkamah walaupun ketika itu begitu banyak gerombolan orang-orang Melayu memenuhi pekarangan mahkamah.

Akhbar The Straits Times esoknya menyiarkan keputusan mahkamah dan menunjukkan gambar Natrah melutut kepada patung Virgin Mary. Inilah kemuncak rasa marah orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin politik sudah tidak dapat menahan lagi kemarahan orang-orang Melayu. Rusuhan berlaku pada 12 disember 1950. Oleh kerana musuhnya adalah satu iaitu penjajah, maka orang-orang Cina dan India turut mengambil kesempatan merusuh. Rusuhan berdarah ini memakan korban yang begitu ramai - 18 terbunuh, 173 cedera dan beratus dipenjarakan. Singapura diisytiharkan darurat selama dua hari dua malam!

Natrah dilarikan dari gereja semasa darurat diisytiharkan dan diterbangkan segera ke Belanda tanpa sempat bertemu suaminya atau Che Aminah. Di Belanda Natrah disambut oleh beribu-ribu orang umpama wira perang! Barangkali satu kemenangan bagi bangsa Belanda, namun kehancuran bagi jiwa Natrah.

Kepada orang Melayu generasi lalu Natrah mempunyai kedudukan yang istimewa. Natrah akan sentiasa dikenang sebagai anak gadis yang manis yang dianggap masih utuh imannya, kerana itulah rupa gambar yang masih ada dalam simpanan orang-orang Melayu.

Malangnya kini kedua-dua mereka telah kembali mengadap Allah yang menjadikan mereka dan mencipta takdir sedih cinta tidak kesampaian untuk mereka berdua.

Yang tinggal menjadi sejarah adalah rasa cinta yang suci antara mereka berdua. Yang tetap menjadi rakaman dan perlu diingati oleh generasi baru kini adalah nilai cinta orang-orang Melayu yang agung terhadap agamanya yang tidak sanggup gadis kecilnya dimurtadkan.

Menggadaikan

Tanpa berfikir panjang, mereka sanggup menggadaikan nyawa kerana agama. Pada zaman itu orang Melayu tidak rela melihat Islam dimurtadkan. Pada zaman kini benarkah orang Melayu murtad secara sukarela?

Demikian kental semangat orang-orang Melayu memperjuangkan agamanya. Itu berlaku dalam latar zaman penjajah, ketika masyarakat Melayu serba serbi dalam kesusahan. Kini setelah 59 tahun tragedi rusuhan itu berlalu, sekental manakah daya juang kita dalam mempertahankan agama?

Persoalannya apakah yang kita perjuangkan dalam setting zaman serba mewah dan serba serbi di hujung jari? Sejauh manakah kita boleh menyuburkan iman - kepercayaan kepada yang tidak boleh dipegang dan tidak boleh dilihat iaitu Allah dalam konteks zaman yang serba mudah dan serba mewah ini?

Inilah cabaran generasi zaman kini. Semakin banyak, semakin mudah kita boleh memegang, melihat dan mengejar maklumat terkini, semakin luntur kepercayaan kepada kuasa mutlak yang tidak kelihatan dan tidak boleh disentuh ini, padahal itulah kekuatan orang-orang Melayu yang bergadai nyawa kerana Natrah! Semoga generasi baru kini telah menemui asas penting pembentuk jati diri mereka ...

Al-Fatihah untuk yang terkorban kerana isu Natrah. Semoga Allah menerima mereka sebagai as-syuhada. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mansor Adabi, Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Saadon Jubir. Untuk mendiang Natrah, semoga Allah menerima kesengsaraan jiwa Natrah dengan keampunan jua. (Terima kasih membaca tulisan saya, sila layari blog atau e-mel saya untuk berkongsi pandangan anda).

(minggu hadapan: natrah dalam perspektif cinta).

Fatini Yaacob

Penulis yang membuat kajian mengenai Natrah ialah
Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

e-mel: ttin5@yahoo.com
blog: natrahfatini.blogspot.com

0 comments: