berselipar mengadap Sultan

berselipar mengadap Sultan

Saya dijadualkan bertugas secara rasmi di Kuala Lumpur pada 27 Mei 1963 berikutan pertukaran dari Alor Setar tetapi telah diberikan dua tugas penting sehari sebelumnya iaitu pada Ahad 26 Mei 1963. Tengah hari menemui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Kelab Lumba Kuda Jalan Ampang dan petangnya mengadap Sultan Selangor di Istana Selangor di Kuala Lumpur.

Ini adalah berpunca dari berita utama muka satu Utusan Zaman 26 Mei yang bertajuk "Sultan Selangor tuduh kerajaan mungkir janji, soal tanah di Lake Garden jadi punca"

Berita itu yang ditulis oleh Ketua Penyunting Utusan Melayu, Harun Mohd Hassan melaporkan Sultan Selangor Sultan Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah telah menuduh kerajaan mungkir janji dan memperkecilkan kuasa baginda sebagai raja kerana mengenakan syarat khas kepada baginda untuk mendapatkan sepuluh ekar tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Harun Hassan telah hadir pada sidang akhbar baginda mengenai perkara itu kerana istana meminta dihantar seorang wartawan kanan.

Harun menulis "di dalam keadaan murka Sultan Selangor telah menyatakan beberapa syarat yang dikenakan oleh kerajaan untuk mendapatkan tanah itu tidak berpatutan walaupun permohonan diluluskan."

Syarat syarat yang dikenakan ialah:

l Rumah yang didirikan di atas tanah itu tidak boleh disewa.

l Tidak boleh bertukar tangan dan tidak boleh dijual.

Baginda murka kerana syarat yang sama tidak dikenakan kepada beberapa orang kenamaan lain ''Kenapa beta sahaja yang dikenakan syarat khas sedangkan orang lain dikecualikan?'' tanya baginda.

Baginda menyebutkan di antara orang yang tidak dikenakan syarat itu ialah Datuk Nik Mohd Kamil, Y.T. Lee dan A.D.York.

''Beta bukan mendapat tanah ini dengan percuma tetapi dengan mengeluarkan wang dari saku beta sendiri seperti juga yang dilakukan oleh orang lain,'' katanya.

Saya telah diarahkan untuk mendapat reaksi Tunku terhadap kenyataan Sultan Selangor itu yang ketika itu Tunku diketahui sedang berada di Kelab Lumba Kuda Jalan Ampang.

Pada mulanya Tunku melepaskan marahnya dengan berseloroh menyatakan sesuatu yang pada pertimbangan saya sangat sensitif dan tidak boleh saya tulis untuk siaran. Kemudian beliau menyatakan kesal dan sedih ''kerana baginda Sultan membuat kenyataan terbuka''.

Kata Tunku: ''Baginda boleh berkata apa sahaja dan saya pun boleh menjawab tetapi tidak ada gunanya''.

Tunku memberitahu bahawa beliau akan merunding perkara itu dengan timbalannya Tun Abdul Razak dan juga Menteri Besar Selangor Datuk Bakar Baginda.

Sebaik sahaja pulang daripada menemui Tunku, Harun telah mengajak saya menemaninya untuk mengadap Sultan Selangor kerana yang terpampang di muka satu akhbar Utusan Zaman penulisnya ialah Harun Mohd Hassan.

Harun seorang yang lucu dan melucukan, tidak serius dan suka berjenaka tetapi pada hari itu dia tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan ketakutannya. Dia mundar mandir dalam pejabat . ''Aku takut Zam, engkau mesti temankan aku'' dia memberitahu saya sambil mengangkat baju kemeja luar yang dipakainya yang menunjukkan dia menggunakan tali pinggang dari kain buruk yang dipintal. Semua yang melihatnya ketawa.

Saya tidak dapat menolak ajakannya kerana dia adalah ketua saya. Dia tidak menghiraukan walaupun saya memberitahu saya mempunyai berita yang belum ditulis.

Pada setiap hari minggu anggota jabatan pengarang tidak berpakaian kemas. Kebanyakan mereka berkemeja dan memakai selipar dan demikianlah keadaan saya dan Harun Hassan pada hari itu. Saya datang ke pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin pada hari minggu untuk sekadar menemui rakan-rakan dan tidak menduga untuk diberikan tugas.

Oleh kerana jadual mengadap ialah pada jam 4.30 petang saya tidak berkesempatan untuk pulang menukarkan pakaian

Kenderaan

Kenderaan Utusan yang membawa kami ke Istana adalah sebuah van tua dan sudah buruk dari jenis Peugeot yang bunyi enjinnya mungkin boleh didengar satu kilometer jauhnya. Sesampai di Istana, pegawai pegawai Istana telah menunggu di luar Dewan Persidangan. Mereka nampak terkejut melihat pakaian kami, tetapi tidak berkata apa-apa sebaliknya memberitahu kami supaya menyembah bila masuk mengadap.

Alangkah malu dan kekoknya kami bila melihat Sultan bukan keseorangan tetapi dikelilingi di kiri dan kanan meja berbentuk 'U' oleh kerabat kerabat diraja, orang-orang besar negeri, pegawai-pegawai kanan Istana dan orang-orang besar daerah. Sultan berdiri di hujungnya (di muncung 'U') dan dua kerusi diletakkan di tengah-tengah untuk kami.

Semua orang kecuali Sultan adalah berpakaian Barat lengkap dan juga pakaian kebangsaan. Sultan hanya berpakaian santai. Kami menyembah dan duduk di tengah dalam keadaan berselipar dan berkemeja di luar.

Sebelum kami mengadap semua orang orang besar negeri yang diketuai oleh Tunku Badlishah Tengku Laksamana Selangor telah pun mengadap baginda untuk berbincang mengenai kemurkaan baginda terhadap syarat kelulusan tanah yang tersiar di muka satu Utusan Zaman itu.

Ketika kami mengadap jurucakap rombongan itu yang memegang Utusan Zaman memberitahu bahawa kemurkaan baginda itu ditujukan khusus kepada ahli Majlis Kerja Kerajaan Selangor dan tidak melibatkan Tunku Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan.

Sambil menunjukkan berita besar muka depan Utusan Zaman mengenainya, jurucakap tersebut menyatakan bahawa baginda mahu menjelaskan hal yang sebenar.

Sultan Selangor sendiri kemudiannya memberitahu ''Beta sendiri akan menemui ahli-ahli Majlis Kerja Kerajaan Negeri untuk mendapatkan penjelasan mengenai syarat yang dikenakan ke atas beta''.

Sepanjang masa pertemuan dengan kami itu, Sultan Selangor langsung tidak menunjukkan perasaan marah sebaliknya bertitah dengan nada suara yang biasa ''Beta hendak membetulkan kenyataan beta.'' Dari pengalaman saya dan orang lain, Sultan Selangor Almarhum Sultan Abdul Aziz memang seorang yang baik dan bertimbang rasa.

Sehari selepas pertemuan kami dengan baginda Sultan, Menteri Besar Selangor Datuk Abu Bakar Baginda telah memanggil sidang akhbar untuk menegaskan keputusan kerajaan negeri tidak akan berganjak daripada mengenakan syarat di atas tanah yang telah dijualkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Persidangan akhbar itu dihadiri bersama oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Haron Idris dan Lukman Yusuff.

Datuk Bakar berkata ''Adalah suatu hal yang malang bagi baginda merasakan layak untuk mengemukakan hanya satu aspek sahaja berkait dengan permintaan baginda atas tanah di Jalan Duta tanpa menyatakan keadaan yang sebenarnya di bawah peraturan mana tanah itu diberikan''.

Katanya lagi "syarat-syarat yang dikenakan kepada baginda itu bukanlah satu perkara luar biasa sebaliknya memang telah dikenakan dalam semua urusan tanah kerajaan di mana kerajaan mempunyai kepentingan di atas tanah itu.

''Pemberian tanah itu tidaklah dibuat kepada baginda sebagai Sultan negeri Selangor tetapi adalah atas nama diri baginda sendiri''.

Berikutan dengan itu suatu pertemuan diadakan pada 28 Mei 1963 di antara Sultan Selangor dengan rombongan ahli Majlis Kerja Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Datuk Abu Bakar Baginda Menteri Besar Selangor yang berakhir dengan penyelesaian.

Dalam suatu persidangan akhbar bersama antara Sultan Selangor dan Menteri Besar selepas pertemuan itu, baginda menyatakan "Sebagai Raja beta sedia menurut perlembagaan.''

''Setelah beta mendengar keterangan dari menteri dan ahli ahli Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan maka beta merasa puas hati yang kerajaan mengenakan syarat hanyalah sebagai cagaran sementara atas pinjaman wang kerajaan.''

Titah

Titah baginda lagi ''Salah faham di antara beta dengan ahli-ahli Majlis Kerja Kerajaan beta tidak ada lagi dan sebagai raja beta sedia menurut perlembagaan.''

Apabila saya terbaca kembali tulisan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Yang Dipertua UMNO Kedah dalam buku Utusan Melayu 10 tahun saya dapati perkara sensitif yang saya tidak tulis yang disebutkan oleh Tunku dalam pertemuan saya dengannya, sebenarnya telah pun ditulis oleh Tunku sekembalinya dari London setelah menamatkan pengajian undang-undangnya.

Jelas tulisannya itu menampakkan Tunku sebagai seorang keturunan raja yang berjiwa rakyat yang senantiasa sedar perlunya pematuhan kepada undang undang dan hak rakyat.

Antara lain tulisan Tunku itu menyatakan "Sejarah dunia telah menunjukkan rakyat boleh menjatuhkan raja dan boleh menaikkan raja. Rakyat boleh menjatuhkan kerajaan dan boleh mendirikan kerajaan.

''Yang Maha Mulia King Farouk Raja Mesir dua tahun yang lepas ada memberi kenyataan kepada wakil surat khabar Inggeris. Di antara lain baginda berkata, ''Saya menjadi raja kerana rakyat berkehendakkan kepada saya tetapi hanya Tuhan sahajalah yang dapat mengetahui berapa lama rakyat berkehendakkan saya.''

''Pada pandangan saya, di dalam masa ke hadapan ini akan ada lima raja sahaja dalam dunia iaitu Raja Great Britain, Raja Lekok, Raja Deman, Raja Sepit dan Raja Kelawar."

Tunku menyebutkan kepada saya nama raja-raja yang akan kekal itu dalam nada berseloroh apabila saya menemuinya untuk mendapatkan reaksinya terhadap kenyataan Sultan Selangor.

Minggu depan: Agen indonesia dalam utusan melayu.

- Zainuddin Maidin -

0 comments: