Kedai nyanyian Shazrina

Kedai nyanyian Shazrina

Anak antara manusia terkaya di Malaysia, Shazrina Tan Sri Azman, mewarisi kemewahan cinta kepada muzik daripada ibu dan bapanya.




MASIH ingatkah anda kepada lagu Are We Rap Star Now?, Doodat dan Goodvibes yang popular sekitar 1999? Lagu yang didendangkan kumpulan Teh Tarik Crew atau TTC yang terdiri daripada Altimet, Mizz Nina, Fiquentional dan DJ Fuzz itu begitu terasa tenaganya.

Biarpun era itu sudah berlalu, pemilik suara wanita tunggal di dalamnya, Mizz Nina, atau Shazrina Azman, 29, masih tekad memperjuangkan muzik yang begitu dipercayainya itu.

Bagaimanapun, Shazrina sudah menukar 'kiblat' genre muziknya. Anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim, itu memilih untuk melatih suaranya menyanyikan lagu berentak jazz dan blues pula.

"Suara sama seperti mana-mana instrumen muzik yang lain. Ia boleh dan perlu dilatih. Kombinasi inilah yang menjadikan ramai penyanyi mempunyai suara yang sedap didengar," katanya.

Peminat Janet Jackson

Peminat setia Janet Jackson itu turut menekankan yang muzik bukan sekadar menyanyi dan mempunyai vokal yang hebat.


BUKTI kemampuan wanita dalam bidang pengurusan studio dan muzik.





Ungkapnya, muzik mampu membebaskan jiwa yang terperangkap, letih dan sakit.

"Ia adalah terapi terbaik untuk melegakan perasaan yang tertekan yang boleh dilakukan, dialami dan dihayati oleh semua peringkat umur," ujarnya.

Tambahnya, muzik juga dapat mengaktifkan semua deria terutama pendengaran.

"Kerana itulah, pembelajaran standard di mana-mana studio ialah mendengar. Kita akan diajar mendengar melodi. Memahaminya dan barulah menyanyi," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Menariknya, Shazrina berkongsi perspektif itu dengan bapa tersayang.

Azman, 70, yang turut dikenali sebagai Singing Banker, juga memilih untuk berehat dengan menyanyi di samping meluangkan hujung minggunya untuk bermain golf, menunggang kuda, jet ski, memandu bot berkuasa besar, kereta sport dan selam skuba.

Dinobatkan majalah Forbes sebagai lelaki ke-11 terkaya di Malaysia pada tahun lalu dengan harta beranggaran RM2.1 bilion, beliau pernah dipetik berkata: "Saya juga menyanyi untuk menghiburkan (pendengar).

"Walaupun saya lebih terdedah kepada lagu-lagu lama, saya juga gemarkan lagu nyanyian Michael Buble, Celine Dion dan Elton John."

Namun, pengaruh yang lebih besar ke atas minatnya itu datang daripada ibunya, Tunku Arishah Tunku Maamor.

"Sebagai anak bongsu, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan ibu yang amat gemar menyanyi. Setiap kali ibu berkumpul bersama-sama teman untuk menyanyi, saya akan turut serta. Secara tidak langsung minat saya terhadap nyanyian juga timbul," kongsinya yang mula terdedah kepada seni itu sejak berumur enam tahun.

The Singing Shop menjadi bukti cinta ibunya terhadap muzik dan nyanyian. Menubuhkan sekolah nyanyian itu sejak tahun 1988, kini Shazrina pula diamanahkan untuk menerajuinya selaku pengarah.


ILHAM dan aura yang dibangkitkan oleh ibu membuatkan Shazrina tidak menyesal meninggalkan bidang hebahan radio.


Mula serius dengan tugasnya sejak dua tahun lalu, anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, The Singing Shop kini sedang dilengkapi dengan peralatan dan kepakaran muzik yang terbaik seperti bilik audio, bilik rakaman, bilik latihan vokal dan nyanyian serta pentas.

"Walaupun sudah terasa lengkap, tetapi ia masih belum sempurna. Perkembangan teknologi yang pesat dan enigma dalam bidang ini membuatkan kami perlu sentiasa memberi perhatian terhadap arus perubahannya.

"Mujur kami mempunyai tenaga pengajar dan jurutera bunyi yang terbaik. Pendek kata, studio ini dapat memberi yang paling bagus kepada pelajar dari aspek pengajaran, latihan dan rakaman," jelas Shazrina.

Gadis yang boleh bermain drum ini pernah menjadi deejay selama tujuh tahun di beberapa stesen radio.

Malah, pengalaman bekerja bersama stesen radio Fly.FM cukup mengajar beliau erti sabar dalam menghadapi realiti kehidupan.

Tujuh tahun jadi deejay radio

"Paling mudah, disiplin diri. Berada di konti seawal pukul lima pagi mengajar saya supaya menghargai masa.

"Begitu juga dengan menyanyi. Di sini, saya menghargai suara saya dengan berlatih untuk menjadikannya lebih 'indah'," katanya.

Mendengar beliau mengalunkan beberapa bait lagu, terbukti nyanyiannya bukan kosong.

Secara peribadi, Shazrina tidak menganggap wujud perbezaan dari aspek gender apabila melibatkan pengurusan studio.

"Yang penting, peralatan dan tenaga kerjanya. Semuanya perlu profesional," ujarnya yang pernah mendapat pendidikan di International Council of Music (ICOM) pada tahun 2002.


SELESA dengan irama jazz, Shazrina membuktikan nyanyian bukan bidang picisan.


Menurutnya, secara teori, semua orang boleh menyanyi.

"Yang penting ialah cara suara itu dicorak dan digubah mengikut kemampuan seseorang itu. Justeru, tidak mustahil yang 'buta nada' juga mampu menyanyi dengan baik," katanya.

Peningkatan terhadap program realiti sedikit sebanyak memberi impak terhadap kemasukan pelajar ke sekolah nyanyian.

Katanya, meskipun kedatangan pelajar bermusim, beliau melihatnya sebagai tempat mengasah teknik nyanyian serta persembahan mereka.

"Macam Sharizan dan Cheryl Samad. Mereka tahu mereka sudah bagus dalam nyanyian tetapi mereka tetap mengambil inisiatif belajar di sini," katanya.

Dengan perancangan yang lebih teliti, Shazrina kini berusaha untuk membuka lebih banyak cawangan The Singing Shop terutama di Sabah.

0 comments: