Soal Jawab: Pas tidak selamanya relevan di Kelantan
MUSTAPA bersalaman dengan ibu bapa di majlis khatam al-Quran anjuran Parlimen Kuala Krai di Dewan Utama SMK Laloh, Kuala Krai, baru-baru ini.
BAGI Umno dan Barisan Nasional (BN), peningkatan undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi penyuntik semangat, kalah undi tetapi menang moral. Pas pula cuba menyedapkan hati penyokongnya dengan kenyataan `menang, tetap menang' selepas hampir dimalukan dengan hanya bersandarkan majoriti 65 undi. Banyak pihak berpendapat peningkatan undi diraih calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai mesej bahawa rakyat mula kembali kepada Umno dan kian menolak Pas. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan Pengerusi BN dan Umno Kelantan yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed dan Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, mengenai kesan perkembangan di Manek Urai itu kepada politik Kelantan.
SEKALI lagi, BN tewas pada pilihan raya kecil pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Apa komen Datuk dari perspektif Umno dan BN.
Ia sebenarnya kemenangan moral kerana peningkatan mendadak bilangan undi calon BN. Undi majoriti Pas berkurangan daripada 1,352 kepada 65. Kita juga menang lima daripada sembilan peti undi, selain berjaya mendapatkan kembali sokongan pengundi muda dan pengundi luar.
Ini pilihan raya kecil yang pertama kita berjaya menambah undi dengan ketara berbanding pilihan raya kecil sebelum ini yang menyaksikan bukan saja majoriti undi pembangkang bertambah, tetapi juga kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN ditawan Pas. Keputusan di Manek Urai menggambarkan Umno semakin diterima rakyat. Beberapa pembaharuan yang dibawa Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri sudah memberi impak. Rakyat Kelantan semakin bosan dengan janji kosong dan retorik 'Membangun Bersama Islam' yang dicanang Pas dan mereka juga semakin kecewa dengan kepemimpinan Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Penduduk Manek Urai mahukan perubahan dan pembangunan. Tidak ada pihak lain yang mampu membantu mereka kecuali BN.
Sebelum hari pembuangan undi, apa sebenarnya harapan BN di Manek Urai kerana kawasan ini sememangnya diketahui menjadi kubu kuat Pas selama ini.
Sepanjang tempoh berkempen, saya dapat merasai sokongan kepada BN semakin meningkat, tetapi sehingga saat akhir saya kurang yakin kita boleh menang kerana sokongan kepada Pas yang masih kuat. Jumlah kehadiran penyokong mereka pada majlis ceramah dan pada setiap peti undi begitu ramai... semangat dan komitmen penyokong Pas sangat tinggi.
Malah, hampir semua orang penting atau `heavyweight' pakatan pembangkang turun ke Manek Urai... Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, semua turun berkempen. Nik Aziz juga banyak berceramah dan buat pertama kali, beliau sendiri turun ke peti undi pada hari pembuangan undi... sesuatu yang tidak pernah dilakukan beliau sebelum ini.
Ketika tempoh kempen, saya berjumpa bukan saja penyokong Pas, tetapi juga beberapa pemimpin parti itu di DUN Manek Urai. Mereka inginkan perubahan, tetapi tidak mahu mendedahkan diri atau mengisytiharkan keluar daripada Pas kerana takut ditekan oleh pemimpin dan penyokong Pas yang lain. Begitulah keadaan di Manek Urai sehingga ada yang mempunyai pandangan bahawa jika mereka mengundi BN, Nik Aziz akan dapat melihat perbuatan mereka itu.
Walaupun berminat menyokong BN, ada antara mereka yang takut mengundi BN. Ada juga yang berpendapat dengan hanya melihat gambar Nik Aziz saja, mereka akan dapat pahala... begitulah kuatnya pengaruh Pas, mereka taksub dan fanatik terhadap Pas dan saya terpaksa melalui laluan yang amat sukar. Jadi, keputusan pilihan raya ini tidaklah mengejutkan sangat walaupun kadangkala saya berasa kita mungkin (boleh) menang tipis kerana kerja kuat serta faktor bilangan ahli Pas yang kecewa dengan parti itu semakin besar.
Seperti biasa, isu agama dimainkan Pas dan ia antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan BN. Bagaimana pula dengan isu royalti minyak atau pergolakan dalam Umno Kelantan sendiri.
Isu utama ialah penggunaan agama untuk meraih sokongan politik. Penyokong Pas fanatik. Ramai menyatakan mereka sajalah mewakili perjuangan Islam, manakala Umno pula dituduh parti yang menolak Islam.
Isu lain pada saya tidaklah besar peranannya. Benar isu royalti minyak dibangkitkan oleh Pas, tetapi ia bukan isu besar khususnya bagi ahli Umno dan orang atas pagar. Mengenai pergolakan dalam Umno pula, kita berjaya mengurangkannya ke tahap paling minimum. Bagi saya, isunya bukan pergolakan, tetapi kurangnya komitmen pekerja parti. Pergolakan di Umno Bahagian Kuala Krai berikutan pertandingan dalam bahagian memang sering diperkatakan, tetapi saya berpendapat ia mempunyai kesan yang amat kecil.
Jika dilihat kepada undi rosak, jumlahnya lebih banyak berbanding undi majoriti. Mungkin ia tanda protes daripada ahli parti sendiri kepada calon BN.
Undi rosak sebanyak 117 dan undi majoriti pula 65. Saya mendapat laporan secara lisan bahawa ada pengundi yang tak suka kepada calon dan merosakkan kertas undi. Hakikatnya, BN menampilkan calon terbaik, iaitu Tuan Aziz Tuan Mat.
Bagaimana pula dengan sokongan bukan Melayu dan pengundi muda di Manek Urai kepada BN.
Manek Urai cuma mempunyai kira-kira 50 pengundi bukan Melayu. Pengundi Cina dan India memberikan sokongan padu kepada BN. Bagi pengundi muda pula, jelas kepada kita bahawa semakin ramai berpihak kepada BN dan inilah antara punca undi kita meningkat dengan mendadak. Golongan anak muda ini memerlukan pembelaan dari segi peluang pekerjaan dan peluang berniaga. Anak muda di Manek Urai inginkan perubahan supaya mereka mendapat peluang yang lebih dan kampung halaman mereka dapat dimajukan. Bagi pengundi muda (dari Manek Urai) yang berada di Lembah Klang, mereka dapat melihat secara dekat apa yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Kita yakin ini akan membawa kebaikan kepada Umno dan BN untuk PRU ke-13.
Peningkatan undi kepada BN memang cukup banyak jika dibandingkan pada PRU ke-12. Mungkin sudah bermula tiupan angin perubahan di Kelantan atau tiupan itu sekadar berkala di Manek Urai.
Angin perubahan bukan saja sudah mula bertiup di Kelantan, malah di seluruh negara. Jelas kepada kita bahawa Umno dan BN semakin diterima rakyat. Pada PRU ke-12, ada pengundi yang terlanjur... hanya ingin mengajar BN dan mengurangkan kerusi yang dimenangi kita. Bagaimanapun, kini ada yang menyesali perbuatan itu. Oleh yang demikian, kita perlu menggunakan kemenangan moral di Manek Urai ini untuk membawa perubahan di Kelantan serta seluruh negara. Kita yakin keputusan ini isyarat jelas mengenai kebangkitan Umno dan BN. Ini petanda baik sebagai persediaan untuk kita menghadapi PRU ke-13. Namun, perlu diingat kemenangan tidak akan datang bergolek... kita perlu bekerja keras.
Bagaimanapun, pembangkang mendakwa penurunan undi mereka kononnya disebabkan taktik kotor BN menggunakan wang dan menyalahgunakan agensi kerajaan sebagai alat berkempen.
Itu memang perangai pembangkang. Apa saja yang busuk dan buruk, kitalah (BN)... kita ini bodoh, mereka bersih, maksum, tak ada buat silap apa-apa. Memang alasan itu yang sering dimainkan oleh pembangkang. Kalau mereka kalah, akan kata macam-macam (alasan)... dulu masa mereka kalah, tuduh ada pengundi hantu (mengundi BN), tetapi bila mereka menang seekor hantu pun tak ada. Sebenarnya, kita pun ada terima maklumat bahawa pembangkang mengadakan perjumpaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan pengundi Manek Urai yang ada di ibu negara, menjanjikan habuan bagi mereka yang pulang mengundi. Selain itu, macam-macam benda turut diberikan kepada penduduk Manek Urai. Dalam hal kewangan ini, kita perlu ingat yang Pas sekarang bukan macam dulu lagi... Pas sekarang sudah kaya, ada banyak duit.
Bagaimana pula dengan janji BN untuk membawa pembangunan ke Manek Urai.
Saya sedang mengumpul semua permohonan berkaitan perkara itu dan kita akan kaji semuanya... ada yang kerajaan akan luluskan, tetapi keputusan itu akan dibuat mengikut kemampuan kewangan kerajaan. Mana yang kita mampu, kita akan bantu... kita tidak akan abai dan menganaktirikan Manek Urai, sebaliknya akan terus membawa kemudahan yang diperlukan oleh penduduk kawasan itu. Walaupun kalah pada pilihan raya kecil lalu, kita akan terus membela rakyat di sana kerana BN adalah parti dan kerajaan yang bertanggungjawab. Umno akan meneruskan tanggungjawab membawa kemudahan ke Manek Urai dan Kelantan. Kita menerima banyak permintaan daripada rakyat, antaranya permohonan bantuan membaiki rumah dan bantuan kebajikan masyarakat. Timbalan Perdana Menteri pun terima banyak permohonan termasuk bina masjid. Bantuan yang bakal disalurkan nanti bagaimanapun mesti bersesuaian dengan kemampuan Kerajaan Pusat dan kita berharap pada PRU ke-13 kelak, rakyat Kelantan dapat menilai keikhlasan kita.
Pada hari pembuangan undi tempoh hari, dilaporkan berlaku kekecohan. Apa saranan Datuk supaya kejadian seperti itu tidak berulang.
Kita amat dukacita dengan penyokong Pas yang bertindak di luar batasan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peria. Ada penyokong mereka yang terlalu emosional dan berlagak samseng, mereka `boo' dan menghina pemimpin serta penyokong BN. Saya percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis sudah membuat apa yang terbaik untuk pengundi, tetapi amat sukar untuk mengawal penyokong fanatik Pas yang bertindak secara tidak rasional. Saya ingin mencadangkan kepada SPR beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan ketegangan dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan seperti berikut:
# Proses penamaan calon dimansuhkan, sebaliknya mereka yang ingin bertanding boleh mendaftar dengan pegawai pilihan raya tanpa diiringi penyokong. Ini kerana di mana-mana pilihan raya, biasanya ribuan penyokong mengiringi calon hingga kadangkala timbul keadaan tegang. Ia juga membabitkan kos yang tinggi kepada kerajaan dan juga parti bertanding.
# Melaksanakan tempoh bertenang atau 'cooling off period' satu hari sebelum pilihan raya di mana sebarang bentuk kempen tidak dibenarkan.
# Pada hari pengundian, penyokong tidak dibenarkan berada di sekitar tempat membuang undi, jadi tidak akan berlaku laung-melaung serta ketegangan di kalangan penyokong, manakala perbelanjaan kerajaan juga boleh dikurangkan kerana sebarang kawalan keselamatan tidak diperlukan.
Proses pengundian adalah proses yang suci dan tidak harus dicemari oleh mana-mana pihak. Langkah yang disarankan ini bukan saja dapat mengurangkan perbelanjaan, tetapi juga mengekalkan keharmonian di kalangan penyokong parti.
Jika mengambil kira perkembangan dan peningkatan sokongan rakyat di Manek Urai, mungkinkah BN boleh merampas kembali Kelantan pada PRU ke-13 nanti.
Semakin ramai rakyat Kelantan menolak Pas. Pas diberi peluang hampir 20 tahun memerintah di Kelantan dan orang muda serta pengundi luar dapat membuat penilaian mengenai kelemahan Pas... mereka bukan maksum, ada yang menyeleweng dan mengumpul kekayaan. Yang penting, kita perlu menampilkan tokoh agama yang berwibawa untuk menangkis dakyah Pas. Kita perlu mengenal pasti lebih ramai orang berilmu yang boleh meyakinkan rakyat bahawa Umno adalah parti Islam yang menegakkan syiar Islam. Kita perlu memperhebatkan 'psy-war' atau perang saraf.
Ini semua bergantung kepada komitmen dan kesungguhan. Kita sudah membina landasan di Manek Urai dan kita perlu memperkuatkan landasan itu untuk memastikan sokongan kepada Umno dan BN meningkat dan momentum ini terus digerakkan.
Pada masa ini, saya rasa kita belum dapat mendabik dada yang kita boleh menang pilihan raya di Kelantan, tetapi apabila langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri semakin banyak dilaksanakan dan dengan pendekatan mesra rakyat serta program memfokuskan kepada rakyat atau 'people centric', saya yakin rakyat Kelantan dan Malaysia akan menerima BN serta semakin selesa dengan BN.
Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada beberapa perkara seperti berikut;
# Kepemimpinan yang berwibawa pada peringkat bahagian dan cawangan.
# Komitmen ahli parti dan kesungguhan tinggi untuk meraih kemenangan.
# Calon pilihan raya yang berwibawa dan disenangi rakyat.
# Disiplin di kalangan ahli parti supaya apabila keputusan (berhubung calon pilihan raya) dibuat oleh Presiden parti, semua mesti akur kepada pilihan yang diputuskan.
# Pengurusan kerja yang lebih cekap pada peringkat bahagian dan cawangan.
# Jentera penerangan dan perang saraf yang berkesan supaya kerja baik yang kita lakukan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk undi dan dalam gerakan ini, tokoh agama yang berwibawa perlu dibabitkan.
Apakah nasihat Datuk kepada rakyat Kelantan yang masih menolak kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan di negeri itu.
Saya nasihatkan rakyat Kelantan supaya menilai sendiri perkembangan 20 tahun di bawah pemerintahan Pas dan saya rasa, memang rakyat Kelantan sudah dapat menilai. Selama dua dekad Pas diberi peluang untuk membawa perubahan di Kelantan, tetapi yang ada hanyalah slogan dan janji kosong hingga rakyat pun sudah letih mendengar janji Pas dan mula timbul keraguan mengenai kemampuan kerajaan negeri untuk melaksanakan agendanya. Ringkasnya, Pas tidak bermaya dan tidak berupaya memenuhi janji yang dibuat, tetapi terserahlah kepada rakyat Kelantan untuk menilai.
Bagi BN, kita adalah parti dan kerajaan yang bertanggungjawab dan jangan sekali-kali mempertikaikan keikhlasan kita dalam menunaikan tanggungjawab itu. Kini, ada konsep 1Malaysia yang membela rakyat pada semua peringkat... janganlah pertikaikan keikhlasan kita dalam menjayakan agenda 1Malaysia. Kita akan membela penduduk miskin, rakyat di luar bandar, orang Melayu dan semua bangsa mengikut kemampuan kewangan kita. Tidak ada yang dianaktirikan dan kita tidak sekali-kali menzalimi mana-mana pihak.
0 comments:
Post a Comment