Soal Jawab: Gelombang senyap di Manek Urai isyarat pengundi mahu perubahan

Soal Jawab: Gelombang senyap di Manek Urai isyarat pengundi mahu perubahan
Bersama Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak

BAGI Umno dan Barisan Nasional (BN), peningkatan undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi penyuntik semangat, kalah undi tetapi menang moral. Pas pula cuba menyedapkan hati penyokongnya dengan kenyataan `menang, tetap menang’ selepas hampir dimalukan dengan hanya bersandarkan majoriti 65 undi. Banyak pihak berpendapat peningkatan undi diraih calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai mesej bahawa rakyat mula kembali kepada Umno dan kian menolak Pas. Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, mengenai kesan perkembangan di Manek Urai itu kepada politik Kelantan.



PILIHAN raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menyaksikan BN tewas buat kali kelima pada pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12). Apa pandangan Prof berhubung perkara ini.

Pilihan kecil raya Manek Urai sangat menarik untuk dianalisis dalam konteks politik orang Melayu, khususnya pertarungan Umno-Pas di Kelantan. Kekalahan tipis Barisan Nasional (BN) bagi saya tidak begitu signifikan (penting) tetapi yang lebih utama adalah mengenai undi Pas yang merosot begitu teruk, sehingga Pas sebenarnya hampir kalah di Manek Urai. Inilah persoalan yang menjadi minat ramai orang.

Berdasarkan kepada kemenangan tipis Pas, adakah bermakna sokongan kepada BN mula meningkat terutama di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Manek Urai memperlihatkan dengan jelas dan nyata betapa sokongan kepada BN meningkat mendadak, dan pengaruh Pas pula merosot begitu teruk. Persoalannya, apakah fenomena ini hanya khusus bagi Manek Urai atau ia menjadi satu gelombang senyap baru yang sedang menjalar di bawah tanpa kita menyedarinya? Apakah masyarakat Melayu kini mula berubah sikap politik mereka selepas melihat apa yang berlaku dalam politik negara sejak setahun lalu? Kita memerlukan satu kajian perbandingan sebelum kesimpulan sebegini boleh dibuat. Barangkali jika ada satu lagi pilihan raya kecil di kawasan majoriti Melayu, maka perkara ini pasti akan menjadi semakin nyata. Jika tidak, ahli-ahli akademik harus membuat sedikit penyelidikan bagi melihat apakah ‘trend’ baru ini menyeluruh atau bersifat lokal. Yang pasti, kepemimpinan Najib mula memperlihatkan impak. Approval rating Najib juga sudah meningkat dengan signifikan. Rakyat mula serasi dan merasai ‘dampak’ kepemimpinannya

Apakah angin perubahan sudah mula bertiup di Kelantan atau tiupan itu terhad sekadar di Manek Urai.

Ternyata tiupan angin perubahan sudah bermula di Manek Urai, walaupun kalah dari segi bilangan undi, tetapi dari segi moralnya Umno telah berjaya di sana. Bukan mudah untuk menembusi kubu Pas, tetapi Manek Urai memperlihatkan ia tidak mustahil dilakukan. Lonjakan semangat sebeginilah yang Umno perlukan sangat-sangat sekarang untuk kembali bangkit selepas menerima pukulan teruk dalam pilihan raya umum lalu dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Sebenarnya kalau kita melihat dengan teliti, pilihan raya Parlimen Bukit Gantang sebelum ini pun memperlihatkan isyarat awal perubahan sikap dalam politik masyarakat Melayu. Sokongan orang Melayu kepada Umno meningkat dengan agak banyak di Bukit Gantang. Di Bukit Gantang, Pas menang kerana undi bukan Melayu. Tetapi apabila undi bukan Melayu tidak ada di Manek Urai, Pas hampir kecundang. Apa pun yang berlaku di Manek Urai mungkin akan didakwa sesetengah pihak sebagai kes terpencil tetapi saya melihat bahawa ini tidak seratus peratus tepat.

Adakah kekalahan ada kaitan dengan kempen Pas bahawa Umno tidak Islam, Pas lebih Islam dan isu royalti minyak atau disebabkan pergolakan dalam Umno Kelantan sendiri.

Saya melihat bahawa kekalahan tipis Umno kerana pengundi tradisi Pas yang masih taksub dan enggan berubah. Di Kelantan, malah di Terengganu juga, terdapat banyak kawasan pilihan raya yang mana kekuatan Pas dan Umno hampir seimbang. Ertinya pengundi atas pagar memainkan peranan sangat penting dalam menentukan kemenangan mana-mana parti. Jika sedikit saja penyokong setia Pas dapat dialihkan, Umno pasti menang. Begitulah sebaliknya kepada Pas. Inilah yang sangat sukar Umno lakukan kerana menarik pengundi setia Pas bukan satu kerja mudah. Masalah dalaman Umno mungkin lebih sesuai dijawab oleh orang lain. Tetapi saya melihat, ini masalah yang sedang diatasi dan boleh diatasi. Tetapi saya mendapat maklumat bahawa isu Pas tidaklah begitu signifikan di Manek Urai. Sebaliknya kegagalan Pas mengubah nasib penduduk Manek Urai telah memberi pukulan teruk kepada parti itu kerana Pas tidak mampu menjawab isu-isu ini dengan meyakinkan. Rakyat perlukan kemudahan asas yang Pas tidak mampu berikan.

Adakah kekalahan ini berkaitan rapat dengan faktor setempat yang mana Manek Urai adalah kubu kuat Pas.

Pengaruh Pas sememangnya kuat di Manek Urai. Sebab itulah walaupun ia telah diasak dengan begitu hebat oleh Umno, Pas masih mampu menang tipis. Pada 2004 ketika Umno berada dalam kedudukan yang sangat selesa, Umno cuma menang dengan majoriti 53 undi. Tetapi keupayaan Umno mengurangkan majoriti Pas lebih daripada 1,000 undi adalah satu pencapaian besar. Umno perlukan strategi jangka panjang untuk tawan semula kawasan ini dan kawasan lain yang seumpamanya di Kelantan. Tumpuan kepada pengundi muda perlu dibuat dan tambahkan ahli dan penyokong setia Umno di kawasan kritikal. Umno perlu bina perpaduan kental di setiap bahagian. Inilah pendekatan yang Umno perlukan dalam jangka panjang.

Jika dilihat kepada jumlah undi rosak, ia lebih banyak daripada majoriti diperoleh calon Pas. Apa yang menyebabkan perkara ini, adakah ia tanda protes kepada calon BN kerana jika tidak rosak, mungkin calon BN boleh menang dan bagaimana dengan jangkaan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa, calonnya akan kalah.

Saya kurang pasti apa sebenarnya punca undi rosak yang angkanya lebih besar daripada majoriti kemenangan Pas. Mungkin ia akibat kesilapan pengundi sendiri. Ramai pengundi warga emas di kampung kadang-kala tersilap ketika memangkah kertas undi. Mungkin ini mengakibatkan kertas undi mereka ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jangkaan Husam yang menyatakan calon Pas mungkin kalah adalah satu strategi politik ketika kempen. Itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pas dan penyokong Pas tidak lari. Mungkin juga, Husam cemas apabila melihat asakan Umno yang bertubi-tubi sehingga menembusi kubu Pas. Calon Pas juga tidak dapat mengatasi calon Umno dari segi latar belakang akademiknya. Jadi untuk mengatakan undi rosak kerana protes kepada calon BN, saya kira mungkin tidak begitu tepat.

Perlukah BN memfailkan petisyen di mahkamah untuk pengiraan semula undi di Manek Urai.

Saya kira kalau BN mempercayai ada asas yang kuat untuk bertindak demikian, maka tidak ada salahnya memfailkan petisyen di mahkamah. Di Kuala Sanglang, Perlis, petisyen pilihan raya Pas berhasil, dan calon pilihan raya Pas, Hashim Jassin diisytihar menang selepas keputusan mahkamah menyebelahinya. Jadi asas untuk membawa perkara ini ke mahkamah harus kuat. Jika ada kes, pastinya Umno boleh membawanya ke mahkamah jika mereka mahu.

Bolehkah kita terjemahkan kekalahan tipis BN di Manek Urai ini sebagai mewakili suara majoriti di Kelantan yang kian menolak Pas. Mungkinkah BN boleh merampas kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Saya melihat bahawa di Manek Urai, pengaruh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat walaupun masih ada, sudah mula dipersoalkan. Tanggapan bahawa Nik Aziz tidak boleh disentuh di Kelantan tidak seratus peratus benar. Di Manek Urai, sebahagian besar pengundi memilih untuk melihat perubahan taraf hidup mereka daripada memilih untuk ‘hidup-mati’ dengan Nik Aziz. Jika tidak undi Pas tidak akan merosot sehingga lebih 1,000 undi. Ertinya, keikhlasan Umno untuk mengubah nasib rakyat Kelantan mestilah diterjemahkan dengan menampilkan perubahan ketara. Cara bekerja Umno dan kaedah mendekati rakyat perlu berubah. Sekali lagi, pada saya ialah tumpukan kepada perpaduan Umno di bahagian dan fokus kepada pengundi muda. Di Kelantan tempoh 18 hingga 20 tahun adalah satu tempoh pusingan peralihan politik. Nik Aziz sudah terlalu lama menjadi Menteri Besar di Kelantan dan selama itulah Pas masih belum mampu menampilkan tokoh pelapis untuk menggantikannya. Husam belum mampu menandingi ketokohan Nik Aziz. Umno mempunyai ramai tokoh yang boleh mengimbangi Husam, kalaulah Husam pilihan Pas Kelantan untuk menggantikan Nik Aziz. Jadi pertarungan politik di Kelantan pasca Nik Aziz sangat terbuka. Umno boleh menang jika strategi dan tindakan taktikal mereka betul. Buatlah ‘pelaburan politik’ kepada pengundi muda secepat mungkin.

Bagaimana dengan pertembungan Umno-Pas dalam menawan pengundi Melayu selepas ini? Apakah isu perpaduan Melayu akan terus menjadi semakin penting sekarang? Di mana pula kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Umno dan Pas ialah dua parti Melayu yang penting di Malaysia. Tetapi tidak bagi PKR. Suatu ketika dulu Parti Gerakan diasaskan oleh orang Melayu iaitu Profesor Syed Husein Alattas. Ia ditubuhkan bagi memperjuangkan keadilan untuk masyarakat berbilang kaum dan menentang rasuah. Inilah latar dan asas perjuangan parti Gerakan dulunya. Tapi kini Gerakan menjadi parti pelbagai kaum yang didominasi etnik Cina. Apakah nasib sama akan menimpa PKR? Sekarang ini pun arah tuju dan wawasan politik PKR tidak jelas. Pengaruh golongan radikal bukan Melayu dalam PKR sangat kuat. Agenda Islam langsung tidak ada tempat dalam PKR. Unsur Melayu dalam PKR sudah semakin cair dan menipis. Kawalan pemimpin Melayu dalam PKR juga semakin longgar. Sesetengah orang Melayu melihat PKR lebih prihatin nasib bukan Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Malah ada orang Melayu yang merasakan sudah tidak ada bezanya antara PKR dan DAP. PKR mungkin menghadapi krisis selepas ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi hal yang sama tidak berlaku dalam Umno dan Pas. Walau apa pun krisis yang melanda, Umno masih kental dengan agenda Melayunya. Percubaan untuk merungkaikan agenda perjuangan Islam dan Melayu dalam Pas belum lagi berjaya sepenuhnya. Kekalahan puak Erdogan dan kemerosotan teruk undi Pas di Manek Urai mungkin menyedarkan Pas betapa mereka tidak boleh lari daripada perjuangan asas untuk menjaga Islam dan orang Melayu di Malaysia. Jika tidak, Pas akan dihukum orang Melayu.

0 comments: