"BAGAIMANA dengan demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur?" Lelaki ini bertanya ketika kami sedang menuju ke pekan Bentong, Pahang untuk makan tengah hari. Walaupun ketika itu proses perkenalan belum berlaku secara mendalam, namun soalan itu telah dipilih olehnya sebagai pembuka bicara.
"Ia datang dan pergi," jawab saya ringkas kerana belum dapat menduga apakah yang bermain di fikirannya. Dia sekadar menggeleng sambil melepas nafas kecewa. Namun, tujuan pertanyaan itu sebenarnya hanya dapat saya fahami seusai pertemuan dengan warga emas berusia 82 tahun ini.
"Berhenti di kedai nombor 15. Di situ ada sambal petai dan tauhu sambal yang saya suka makan," cadangnya dalam nada lembut dan santun persis seorang bangsawan Amerika. Uniknya bangsawan yang meminati petai!
Benarlah orang putih ini bukan asing dengan masyarakat, makanan dan budaya tempatan. Saat keluar dari kereta, terdengar para pelayan kedai begitu ramah menyapanya dengan panggilan 'Sir' dan 'Mr.'.
Melihat kelibat Ted Miles bukan lagi asing buat orang tempatan. Beliau mula-mula menjejakkan kaki ke Malaya pada tahun 1951 atas kontrak misionari Methodist selama tiga tahun dan dihantar berkhidmat di Methodist Boys School, Kuala Lumpur.
"Pada masa yang sama, saya mendapat tahu tentang sebuah sekolah kendalian Methodist di Bentong yang hampir hendak dihentikan operasinya gara-gara kekurangan tenaga pengajar. Saya rasa terpanggil untuk berkhidmat di situ," ujarnya sejurus perbualan bersambung di ke kediamannya.
Tuan rumah agam era kolonial yang terletak di atas bukit itu menambah, kerana azamnya untuk membela nasib pelajar di daerah terpencil itu, dia tidak mengeluh apabila terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Bentong setiap hari.
"Kebanyakan pelajar di Sekolah Inggeris Methodist (MES) di Bentong itu adalah mereka yang tercicir daripada sekolah kerajaan kerana gagal dalam peperiksaan.
"Di situ, mereka diberi peluang kedua dengan memperkenalkan kelas kemahiran seperti menaip, trengkas dan simpan
kira-kira untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan," terang Miles yang menekankan bahawa para guru pada zaman itu sangat dedikasi terhadap tugas mereka.
"Kami mengajar bukan kerana nama atau gaji. Betapa akrabnya hubungan antara guru dan pelajar membuatkan kehidupan sosial kami seronok dan sihat.
"Tanpa televisyen atau komputer, segala aktiviti yang dianjurkan di sekolah seperti sukan, karnival dan konsert mendapat sambutan. Malah, aktiviti di sekolah menjadi tumpuan komuniti setempat," katanya.
Langit mendung jadi cerah
Apabila tamat tempoh kontraknya, Miles kembali ke Amerika untuk menyambung pengajian di Washington State University. Begitupun, kepulangannya itu tidak lama. Nalurinya yang dirantai rindu di Bentong membuatkan Miles kembali ke Malaya pada awal Ogos tahun 1957 sebagai pendidik bebas.
Pada malam sebelum bertukarnya tarikh keramat 31 Ogos 1957, Miles sudah pun berada di Kuala Lumpur atas jemputan seorang anak murid yang menawarkan tempat bermalam di rumah saudaranya di Kampung Baru.
"Saya mahu bersama-sama dalam sambutan bersejarah itu. Saya masih ingat lagi orang ramai sudah bersedia sejak dinihari kerana tidak mahu ketinggalan mendapatkan tempat di dalam stadium. Malah, ada yang tidak lena tidur!
"Namun, pagi itu semua orang ragu-ragu tentang keadaan cuaca mendung dan diikuti hujan gerimis pagi itu," kata Miles yang masih menyimpan baik tiket tempat duduk di Stadium Merdeka, sampul surat pertama Hari Merdeka serta keratan-keratan akhbar lama.
Baginya, tiada kata dapat menggambarkan perasaan tatkala melihat bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan kibaran cantik berwarna biru kuning dan berjalur merah putih. Negara yang baru sudah lahir!
"Sejurus ulangan kata 'Merdeka' selesai dilaungkan, cuaca yang mendung pun bertukar. Ia saat yang sangat indah untuk semua orang kerana matahari tiba-tiba memancar cerah," imbasnya yang turut mengabadikan suasana itu dalam tulisannya dalam ruangan sebuah akhbar Inggeris tempatan.
Dalam tulisannya itu, Miles menyentuh tentang latar budaya majmuk negara, perpaduan dan keistimewaannya. Kepelbagaian agama, kelazatan makanan dan tatasusila orang tempatan juga tidak putus disanjungnya. Miles sudah jatuh cinta.
"Saya berasal dari sebuah rumah ladang di Missouri. Namun, suasana desa di Bentong ini lebih memikat hati saya. Mungkin tidak banyak beza dari segi persekitaran, melainkan di sini lebih hijau.
"Walau sedikit 'pening' dengan keadaan cuacanya, saya nekad mahu terus tinggal di sini," kata Miles yang sedikit-sebanyak boleh bercakap bahasa Melayu dan membaca tulisan jawi.
Tahun 1961 begitu menggembirakan Miles. Genap 10 tahun menjalankan khidmat dan mengenali bumi Malaya, beliau layak memohon kerakyatan negara ini. Walau sedikit gusar terhadap prosedurnya, Miles lulus menjalani ujian bahasa kebangsaan dan beberapa proses lain.
"Sebagai proses akhir, saya memerlukan tandatangan pegawai daerah yang malangnya, ketika itu mempunyai urusan di tempat lain. Dalam mengejar masa, saya telah bertemu dengan seorang timbalan pegawai daerah yang juga begitu sibuk untuk melayan urusan tersebut.
"Akhirnya saya sempat bertemu dengannya. Dalam keadaan tergesa-gesa, matanya melilau melihat muka borang sokongan itu sambil bertanya, 'where do I sign this?'. Saya terus menunjukkan ruang untuk ditandatangani itu dan berkata - di sini!" cerita Miles seraya tersenyum.
Cucu bernama Merdeka
Miles yang berkahwin dengan seorang wanita berketurunan Cina pada tahun 1972 dikurniakan seorang anak lelaki, Charles Kim. Membesar dengan mewarisi semangat apresiasi budaya global bapanya, Charles yang sampai seru berumah tangga telah memberi kejutan besar untuk Miles.
|
|
"Dia mahu menamakan anak perempuannya Merdeka. Charles memberi alasan, dia amat menyukai perkataan 'merdeka' kerana maknanya yang sangat besar. Saya terkejut tapi tidak dapat menolak kerana itu kehendaknya," kata Miles.
Pada mulanya, Miles sendiri tidak percaya dengan keputusan anaknya itu. Malah beliau pernah mengasak pertanyaan kepada Charles untuk menguji sama ada dia benar-benar mahu menggunakan nama tersebut.
"Nama cucu saya itu ialah Merdeka Kathleen Li-Yean. Kami memanggilnya Deka. Nama Li-Yean di penghujung itu adalah sebagai lambang warisan Cina dalam keluarga ini. September ini, Deka menginjak usia enam tahun. Dia sangat comel," ujar si datuk penuh bangga.
Melepaskan kerakyatan asal untuk menjadi warga Malaysia pastinya bukan suatu kesalan. Hati Miles banyak kali berbisik bahawa di bumi yang dipijaknya kini adalah rumah sebenarnya.
"Kehidupan saya di Amerika juga seronok. Tapi rakyatnya seperti tidak terhubung dengan perkembangan dunia luar. Pendekkata, Amerika hanya memandang 'dirinya' sendiri.
"Sekarang kita tunggu sama ada polisi Presiden Barrack Obama akan lebih menunjukkan keterbukaan yang dunia harapkan," ujarnya penuh makna.
Miles sebaliknya menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai perspektif yang lebih luas dan bertuah kerana mengecapi kebebasan.
"Malang sekali, makna kebebasan itu boleh disalah erti. Sebenarnya, kita tidak perlu pertikaian berunsur politik seperti demonstrasi jalanan. Ia tidak membawa kebaikan menyeluruh.
"Majoriti rakyat sudah memilih pemerintah untuk negara ini, maka biarkanlah pemerintah yang dipilih itu melaksanakan perkara yang difikirkan terbaik untuk rakyatnya.
"Kalau hendak menghormati demokrasi, itulah maksud yang perlu kita hayati," pesannya.
0 comments:
Post a Comment