Sampai bila Samy...

Sampai bila Samy...

Secara rasminya, Samy Vellu dinobatkan sebagai Presiden MIC pada Perhimpunan Agung parti itu pada minggu lalu. Sebelum ini, Samy sudah pun menang tanpa bertanding kerana pencalonan pencabar bagi jawatan itu ditolak pada Mac lalu. Ia membolehkan beliau menyandang jawatan berkenaan sehingga 2012. Kalau sebelum ini beliau membayangkan hasrat untuk melepaskan jawatan selepas pemilihan parti pada September ini iaitu sebelum penggal kepimpinannya berakhir 2012, pendiriannya kemudian berubah. Beliau sebaliknya mahu menamatkan tempoh itu atas alasan untuk menangani isu dalaman berkaitan perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Nampaknya Samy menjadi Presiden parti politik paling lama dalam sejarah tanah air. Ketika Awang memulakan kerjaya sebagai wartawan lebih 25 tahun lalu, beliau sudah pun bergelar Presiden MIC dan menteri. Samy mula menerajui parti tersebut pada tahun 1979 (memangku) dan secara rasmi (1981), kesemuanya memakan tempoh 11 penggal.

Ketika UMNO dan MCA sudah dua kali melalui peralihan kepimpinan dalam tempoh enam tahun dan sekali peralihan melibatkan Gerakan, MIC masih di takuk lama. Walaupun MIC mempamerkan prestasi paling buruk pada pilihan raya umum lalu dengan beliau sendiri tewas di kubu kuatnya Sungai Siput, Samy tetap mahu menjadi Presiden lagi. Malah jika ada yang berpendapat beliau sebagai liabiliti kepada BN, MIC dan masyarakat India sekalipun, itu tidak menjadi hal. Beliau hanya menutup telinga kepada segala kritikan. Pedulikan soal responsif kepada rakyat, yang penting jawatan dipertahankan dengan mencari apa sahaja kewajaran. Maka harapan banyak pihak sama ada dalam MIC, kalangan masyarakat India dan rakyat agar beliau berundur dalam masa terdekat, tidak kesampaian.

Pada Awang, Samy memang politikus yang hebat. Bukan calang-calang pemimpin mampu bertahan sebegitu lama. Rasanya tiada orang lain boleh mencabar rekod beliau.

Tanpa mahu menafikan sumbangan beliau kepada negara terutama masyarakat India, Awang merasakan bekas Menteri Kerja Raya itu perlu segera berpijak kepada realiti politik hari ini. Lagi lama Samy memimpin MIC, selagi itulah BN berada dalam situasi yang sukar. Jangan lupa MIC tidak bergerak dalam entiti yang bersendirian, ia adalah komponen BN. Jika Samy menyatakan beliau mahu kekal bagi membantu memulihkan MIC dan BN, itu sebenarnya tidak membantu. Pengundurannya sahaja dapat membantu BN. Jika beliau enggan berundur, pembaharuan yang sedang digerakkan oleh BN di bawah kepimpinan Najib Tun Razak kelihatan tidak lengkap. Lagipun Awang tidak nampak masyarakat India ketandusan pemimpin. Mengapa tidak diberi peluang dan keyakinan kepada yang lain?

Maka Awang sekali lagi membawa suara rakyat mencadangkan Samy bersara sebaik sahaja selepas pemilihan parti, bulan depan. Serahkan kepada sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Timbalan Presiden untuk memangku jawatan Presiden. Tiga calon yang bertanding ialah penyandang jawatan G. Palanivel, bekas Timbalan Presiden S. Subramaniam dan bekas Naib Presiden, S. Sothinathan. (Anehnya, bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden, beliau terang-terang mengambil pendirian memihak kepada calon tertentu sehingga hadir menunjukkan sokongannya pada hari penamaan calon. Tindakan beliau menerima kritikan dalam parti tetapi seperti biasa beliau naik angin khususnya kepada Subramaniam. Ternyata tindak-tanduknya tidak mencerminkan semangat demokrasi - begitulah Samy.) Awang harap Samy berjiwa besar untuk berundur lebih awal. Banyak pihak berpendapat sebarang gesaan apa lagi rayuan untuk Samy berundur kemungkinan besar tidak akan sedikitpun memberi kesan kerana beliau dilihat terlalu mencintai jawatan itu sehingga terlupa hakikat di sekeliling. Selain itu, Samy dikategorikan sebagai tidak boleh disentuh atau untouchable. Tanggapan itu mungkin benar tapi persoalannya sampai bila....

Awang Selamat

0 comments: