Rahsia dapur Kraton Yokyakarta

Rahsia dapur Kraton Yokyakarta


RESTORAN Bale Raos yang terletak di dalam Kraton Yokyakarta menyajikan hidangan istana yang menjadi kegemaran beberapa Sultan Hamengkubuwono.


SEBELUM ini penulis memaparkan keunikan makanan golongan bawahan seperti Pecelele dan Nasi Kucing, hinggalah kepada meminum darah ular tedung untuk tujuan perubatan.

Penulis rasa tidak lengkap jika tidak menulis tentang makanan istana sultan di Indonesia atau dikenali sebagai Kraton.

Ketika membuat liputan di Yogyakarta baru-baru ini iaitu kali kedua ke Kota Nasi Gudeg dan batik, penulis telah menggunakan sepenuhnya untuk mengungkap rahsia dapur Kraton Yokyakarta.

Penulis berasa cukup teruja apabila diberitahu akan menikmati makan malam di Restoran Bale Raos yang terletak di dalam Kraton Yogyakarta yang kini menjadi istana kepada Sri Sultan Hamengkubuwono X yang juga Gabenor Yogyakarta.

Peluang tersebut seolah-olah terhidang bagaikan makanan yang memang telah lama ditunggu-tunggu.

Difahamkan restoran berkenaan merupakan antara beberapa restoran yang dibuka di dalam kawasan Kraton serta dibuka kepada orang ramai bagi memberi peluang menjamah makanan diraja.

Pegawai Pelancongan Yogyakarta, Putu Kertiyasa ketika ditemui berkata, tujuan restoran itu dibuka adalah bagi membolehkan orang ramai lebih memahami institusi Kraton yang sebelum ini penuh dengan misteri dan rahsia.

Jadi apakah agaknya rahsia dapur raja ini? Ya, sebenarnya lidah raja-raja Jawa juga lidah manusia Jawa biasa yang suka nasi, lombok dan berbagai minuman berasaskan herba.

Hanya yang berbeza adalah resepi yang digunakan untuk menyediakan hidangan itu adalah turun-temurun dan terus menjadi sebahagian daripada rahsia istana.

Tidak hairanlah pelbagai kenamaan dari Malaysia dan artis antarabangsa seperti Lord Carrington, Steven Seagal dan David Bowie tertarik untuk merasai makanan Raja-raja Jawa itu.

Makanan-makanan itu bukan sahaja mempunyai rasa yang luar biasa, tetapi mempunyai sejarah dan cerita yang panjang seperti contohnya Nasi Blawong, misalnya merupakan menu khas raja Yogya dan hanya disajikan pada ulang tahun naik takhta dan hari keputeraan sultan.

Makanan diraja dihidang di dalam pinggan khas yang diberi nama Kanje Kiai Blau dan ia dahului dengan salah Jawa, timun dipotong tipis yang dihidang bersama daging yang dimasak resepi khas.

Bahan yang digunakan untuk menyediakan Nasi Blawong antaranya adalah bawang merah, rempah dan di tambah gula.

Seperkara yang dapat dilihat daripada makanan berkenaan, raja Jawa gemar makan makanan yang manis.

Minuman yang paling popular adalah Bir Jawa. Ia bukan minuman beralkohol, tetapi minuman yang panas yang terhasil daripada campuran herba antara lain bunga cengkih, kulit kayu manis, halia dan serai.

Minuman ini menjadi minuman khusus sultan ketika menyambut para tetamu dan cukup digemari oleh Sri Sultan Hamengkubuwono I dan X yang merupakan sultan pada masa ini.

Menu lain yang turut dihidangkan di Bale Raos ialah Gudeg Jogja yang terkenal di seluruh dunia.

Hidangan khas Kraton Yogyakarta kini menjadi sajian alternatif bagi pengunjung di kota berkenaaan selain daripada menikmati pelbagai jenis makanan Jawa yang lain.

Bale Raos terletak di kawasan kompleks Kraton Yogyakarta (tepatnya di Jl. Magangan Kulon No.1 Kraton Yogyakarta). Kedudukannya di bahagian belakang Kraton iaitu berdekatan dengan Sarinah iaitu pusat batik dan kraftangan.

Hidangan Utama antaranya adalah Sayur Klenyer (Menu kegemaran HB IX), Daging Lombok Kethok (Menu kegemaran HB VII-IX), dan Rendang Ragi yang menjadi kegemaran HB IX.

0 comments: