Mampukah kemaafan melenyapkan kekejaman?

Mampukah kemaafan melenyapkan kekejaman?

PADA 16 Mac, Leftenan William Calley mengetuai satu pasukan tentera Amerika masuk ke sebuah kampung di Vietnam bernama My Lai lalu membunuh kira-kira 500 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pada 19 Ogos, 2009 setelah lebih 41 tahun lamanya - Calley menyampaikan mohon maafnya dalam satu majlis Kiwanis Club: "Setiap hari berikutnya saya menyesali apa yang berlaku di May Lai. Saya berasa sedih bagi orang-orang Vietnam yang telah dibunuh itu, bagi keluarga mereka, bagi askar-askar Amerika yang terlibat dan keluarga mereka, I am very sorry".

Calley, kini 66 tahun berpangkat Leftenan ketika dibicarakan oleh mahkamah tentera pada tahun 1971 di markas Fort Benning kerana peristiwa itu. Seperti dilaporkan: "Askar-askar Amerika itu dalam keadaan kecewa ketika sampai di My Lai setelah diperintah mencari dan membunuh gerila-gerila Vietnam''. Tiada tembakan-tembakan daripada pihak musuh. Namun, askar-askar Amerika itu terus menembak orang-orang kampung dan membakar rumah-rumah mereka.

Peristiwa itu mengejutkan rakyat Amerika dan menjejaskan sokongan mereka kepada perang yang berlaku. Calley dihukum penjara seumur hidup, tetapi hanya menjalani tahanan di rumah selama tiga tahun, iaitu setelah Presiden Nixon meringankan hukuman.

Setelah dibebaskan Calley menetap di bandar Columbus dan bekerja di sebuah kedai emas kepunyaan bapa mertuanya sebelum berpindah ke bandar Atlanta.

menjawab

Calley berucap dengan suara perlahan dan menjawab beberapa pertanyaan dari kira-kira 50 ahli Kiwanis Club. Sebelum itu Calley enggan sama sekali diinterviu oleh akhbar.

Akhirnya seorang sahabat memujuknya supaya berucap memenuhi permintaan begitu lama dari ahli-ahli kelab." Demikian laporan agensi berita AP Amerika.

Sebelum ini, pada bulan April 2004, majalah Weekend Australian Magazine menyiarkan laporan mengenai peristiwa May Lai yang pada mulanya dirahsiakan. Ia kemudian dibongkar dan didedahkan oleh wartawan Amerika. Saymour Hersh dan laporan lanjut oleh majalah-majalah Life, Time, Newsweek iaitu setahun selepas kejadian. Berikutan itu barulah Calley dibicarakan atas desakan orang ramai.

Dalam pada itu Weekend Australian mendedahkan peristiwa yang diberi tajuk Silence Of The Tigers. Ceritanya mengenai pasukan Tiger Force bertindak di kawasan-kawasan pedalaman Vietnam pada tahun 1971: "Mereka membunuh, menyiksa dan mencacatkan anggota orang-orang awam. Bom-bom tangan dilemparkan ke dalam tempat-tempat persembunyian bawah tanah ketika ramai keluarga berlindung di situ. Sebagai kenangan, ahli-ahli Tiger Force memotong telinga-telinga mangsa-mangsa mereka."

Laporan dipetik dari sebuah akhbar Amerika, bernama Toledo Blade. Editornya menyatakan rasa kesal kerana tiada sorotan lanjut oleh akhbar-akhbar ternama. Lalu disebut mengenai 18 ahli pasukan Tiger Force disiasat dan terbukti telah melakukan beberapa jenayah, tetapi tiada tindakan diambil.

Juga dicatat ialah pengakuan seorang bekas Sarjan, bernama William Doyle "membunuh sebilangan ramai orang awam, saya tak terkira pun berapa ramai, kami sepasukan hidup dari sehari ke sehari. Kami tak menduga masing-masing panjang umur semasa berperang."

Melanjutkan perbicaraan ialah kisah yang ditulis oleh Maureen Dowd dalam New York Times yang mengenang kembali peristiwa My Lai, iaitu sesuatu yang berlaku dalam masa Perang Iraq. Beliau menyebut mengenai askar-askar Marin Amerika membunuh lebih 20 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak dari dua keluarga.

membunuh

Seorang kanak-kanak bernama Eman Waleed berumur 9 tahun memberitahu betapa ia melihat askar-askar Marin membunuh ayahnya yang sedang membaca al-Quran dan kemudian menembak neneknya. Juga menjadi korban ialah ibunya. "Tersingkap semula kisah sedih My Lai," Dowd menulis.

Satu peristiwa baru ialah pengampunan bagi orang warga Libya, Abdul Baset al-Megrahi yang dihukum penjara seumur hidup kerana meletupkan sebuah pesawat Amerika dan 270 orang menjadi korban. Peristiwa berlaku di Scotland pada tahun 1998.

Al-Megrahi hanya menjalani hukuman penjara 8 tahun. Beliau diampuni kerana menghidap sakit kanser dan diduga hidup beberapa bulan lagi. Setelah diampuni beliau dibawa balik dengan pesawat Libya.

Ketika tiba di Libya beliau disambut oleh ratusan warga Libya dan sebilangan tokoh. Lalu kemudiannya Amerika membantah pengampunan bagi al-Megrahi.

Tetapi seperti dinyatakan oleh Setiausaha Kehakiman Scotland, Kenny MacAskill: "Ada luka-luka yang sama sekali tidak boleh sembuh. Ada luka-luka yang tidak boleh hilang. Mereka yang berdukacita kerana apa yang berlaku tidak akan lupa, apatah lagi mengampuni. Namun, al-Megrahi ini menghadapi hukuman dari kuasa atasan yang lebih besar.

Pelbagai pertanyaan timbul: Kenapa peristiwa My Lai dirahsiakan selama setahun? Kenapa Presiden Nixon mengampuni Calley? Apakah al- Megrahi lambat laun akan memohon maaf nanti?

Antara nasihat cerdik pandai pula: Kita tidak boleh lari dari apa yang kita lakukan.

- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Tokoh Wartawan Negara 2001.

0 comments: