Apa formula MCA?

Apa formula MCA?

Awang menyertai banyak pihak mengharapkan kemelut MCA berikutan pemecatan Timbalan Presiden, Chua Soi Lek dapat ditangani segera.

Penyingkiran Soi Lek menjadi kontroversi. Dari satu segi Awang setuju tindakan pemecatannya demi menjaga imej parti. Tetapi persoalannya mengapa sekarang, selepas beliau naik pangkat daripada Naib Presiden kepada Timbalan Presiden atas kehendak perwakilan pada pemilihan MCA lalu.

Bukan sekali MCA diuji isu yang sebegini panas dan menggegar. Parti itu pernah melaluinya beberapa kali termasuk situasi lebih teruk dalam krisis antara Neo Yee Pan dan Tan Koon Swan hampir dua dekad lalu.

Dalam isu terbaru ini, kedudukan Presiden MCA, Ong Tee Keat agak goyah. Beliau dilihat tiada cengkaman dalam partinya. Imej Tee Keat juga terjejas kerana dikaitkan dengan isu kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Seandainya Menteri Pengangkutan itu menampakkan keyakinan, mampu meningkatkan sokongan mendadak dalam masa terdekat dan menerima dokongan banyak pemimpin MCA, beliau akan melepasi cabaran tersebut.

Awang yakin MCA akan bangkit semula tetapi apa formulanya? Antaranya peranan orang tengah dan perhimpunan agung khas selain mengkaji semula keputusan pemecatan Soi Lek. Tetapi untuk menarik balik pemecatan Soi Lek rasanya tidak wajar dan akan membuka ruang pembangkang memanipulasi isu tersebut. Jika semua formula itu tidak berkesan, MCA boleh diselamatkan dengan pilihan terakhir jika kedua-dua pemimpin utama iaitu Tee Keat dan Soi Lek berundur. Bersediakah?

Awang Selamat

0 comments: