Perginya pejuang sejati Amerika Syarikat

Perginya pejuang sejati Amerika Syarikat


TED Kennedy bergambar bersama abangnya John (kiri) dan Robert (tengah) di Hyannis Port, Massachusetts.


Setelah lebih setahun bertarung dengan kanser otak, akhirnya Senator Ted Kennedy meninggal dunia pada 25 Ogos lepas. Pemergiannya itu sesungguhnya mendapat perhatian ramai memandangkan keluarga Kennedy telah dianggap sebagai keluarga bangsawan di Amerika Syarikat (AS). Malah selepas kematian abangnya John F. Kennedy yang juga Presiden AS yang ke-35, beliau telah dilihat sebagai penerus legasi keluarga Kennedy.

Ted merupakan adik bongsu kepada John dan Senator Robert F. Kennedy yang kedua-dua mereka mati akibat dibunuh. Seorang anaknya Patrick J. Kennedy merupakan ahli Kongres AS. Ted dilahirkan 7 November 1962 di St. Margaret's Hospital di daerah Dorchester, Boston Massachusetts. Beliau merupakan anak bongsu dari sembilan beradik.

Beliau bersekolah di Milton Academy sebelum melanjutkan pelajaran di Harvard. Ted turut melanjutkan pelajaran ke Universiti Virginia dalam bidang undang-undang pada 1956 dan Hague Academy of International Law pada 1958.

Ted pernah menyertai perkhidmatan tentera pada 1951 dan berkhidmat dalam polis tentera sebelum dihantar berkhidmat ke Eropah. Namun berikutan dari pengaruh politiknya bapanya, beliau tidak dihantar berkhidmat dalam Perang Korea. Beliau menamatkan perkhidmatan pada 1953.

Penglibatan beliau dalam politik pada mulanya sebagai membantu abangnya John yang bertanding dalam pilihan raya Presiden pada 1960. Beliau menguruskan kempen pilihan raya abangnya di bahagian barat AS namun setelah kemenangan John, beliau terpaksa mengosongkan kerusi Senat Massachusetts yang dipegangnya. Ted mengambil alih kerusi Senat tersebut dua tahun kemudian dari sahabat baik keluarganya, Ben Smith kerana had umur yang dibenarkan untuk jawatan tersebut adalah 30 tahun.

Maka bermulalah perjuangan beliau dalam politik yang mana beliau dilihat sebagai seorang ahli politik Amerika yang paling penting dan berpengaruh.

Beliau telah dilantik memegang jawatan Senator sebanyak sembilan kali dan memegang jawatan tersebut sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir Selasa lepas. Beliau merupakan Senator kedua paling senior memegang jawatan tersebut dan menduduki tempat ketiga sebagai Senator paling lama berkhidmat dalam sejarah AS.

Beliau sememangnya dikenali sebagai Senator yang paling efektif dan lantang bersuara.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Ted Kennedy sebagai pemimpin yang mempunyai kesabaran untuk mendengar pelbagai pandangan, membina kesepakatan merentasi banyak kepentingan politik yang berbeza-beza dan menggubal undang-undang yang masuk akal kepada rakyat Amerika.

Kehebatan beliau berhujah dan meyakinkan kawan dan lawan sememangnya mengkagumkan malah beliau telah digelar sebagai The Lion of the Senate atas kehebatannya ini. Sepanjang perkhidmatannya, lebih 300 rang undang-undang telah ditulis dan dilulus sebagai undang-undang. Beliau memainkan peranan penting dalam undang-undang berkaitan dengan imigresen, kajian kanser, insurans kesihatan, insurans kesihatan kanak-kanak, hak-hak sivil, penjagaan Aids dan pelbagai lagi.

Beliau sememangnya dilihat sebagai antara calon presiden AS namun akibat dari insiden di Pulau Chappaquiddick pada 18 Julai 1969, ia telah memusnahkan peluang tersebut. Insiden kemalangan yang berlaku selepas satu parti, di mana beliau sedang memandu bersama seorang wanita, Mary Jo Kopechne sebelum terbabas ke dalam sungai. Ted bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri namun kesilapannya ialah meninggalkan wanita tersebut di tempat kejadian dan tidak melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Namun pihak berkuasa menemui mayat Kopechne keesokkan harinya.

Beliau mengaku salah kerana meninggalkan tempat kejadian namun menafikan memandu dalam keadaan mabuk. Ted dijatuhkan hukuman penjara dua bulan tetapi kemudian ditangguhkan. Berikutan dari insiden ini, ia telah menjejaskan peluang beliau untuk bertanding jawatan presiden seumur hidupnya.

Namun begitu kelantangan beliau yang pastinya akan dikenang ialah keberanian Ted mengkritik kesilapan melancarkan perang di Iraq.

Beliau kerap kali mengkritik perang di Iraq sebagai sesuatu yang salah dan menyifatkan dasar pentadbiran Bush di Iraq sebagai sudah 'hanyut' tanpa haluan.

Kerana keberanian beliau inilah, Ted layak digelar sebagai seorang pejuang sejati dalam arena politik AS.

0 comments: