MUSA HITAM : Ubah pendekatan lapuk

Ubah pendekatan lapuk


MUSA Hitam ketika diwawancara (dua dari kiri) Zin Mahmud, Zulkiflee Bakar dan Hafizahril Hamid di Kompleks Antarabangsa, Kuala Lumpur.


MINGGUAN: Mungkin Tun boleh nyatakan kenapa Tun dilihat agak menyepikan diri sekian lama?

MUSA : Saya sebenarnya sudah lama tidak mahu diwawancara oleh mana-mana akhbar sama ada media cetak atau media elektronik. Lebih-lebih lagi selepas pilihan raya 2004 dan 2008 kerana saya bosan dengan politik yang berlaku dalam negara. Saya ingin bercakap terus terang, saya bosan dengan apa yang terjadi di kalangan UMNO sendiri yang mana saya sendiri pernah memegang pelbagai jawatan dan menjadi ahli berpuluh-puluh tahun dan masih menjadi ahlinya hingga kini.

Kebosanan saya ini adalah bagaimana kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkecamuk begitu teruk hinggakan kita kalah banyak sama ada di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya berpendapat tidak guna saya mengadakan sebarang wawancara kerana dibimbangi akan menyuarakan kritikan yang keras. Ini kemudiannya pasti akan mendapat bantahan dari ahli-ahli UMNO sebagai seorang ahli yang tidak setia. Ini kerana kesetiaan kepada UMNO adalah sangat penting.

Waktu saya bercanggah pemikiran dengan Tunku Abdul Rahman bersama dengan Dr. Mahathir apabila saya membuat pengumuman untuk berhenti sebagai Timbalan Menteri selepas tahun 1969, saya telah diminta untuk mengangkat sumpah menyatakan kesetiaan kepada Tunku. Tun Razak telah meminta saya pergi berjumpa Tunku meminta maaf dan menyatakan kesetiaan. Tun Razak begitu rapat dan menjaga saya maka saya bersetuju untuk pergi. Tun Razak mahu ikut tetapi saya tidak mahu beliau turut serta. Namun saya akan tetap menyampaikan pendapat saya. Ini prinsip hidup saya.

Apabila saya meletak jawatan, kenyataan saya ialah akan terus setia kepada parti, bangsa dan negara. Tidak saya sebutkan tentang pemimpin. Tidak ada yang peribadi tetapi itu soal prinsip hidup saya. Bagi saya apabila seseorang pemimpin melakukan sesuatu tindakan yang salah dan tidak boleh diterima rakyat, saya tidak akan menyokongnya. Tidak ada istilah absolute loyalty kepada pemimpin bagi saya. Itu prinsip saya dalam politik.

Maka apabila saya melihat keadaan UMNO yang berkecamuk itu saya melihat adalah lebih baik saya mendiamkan diri. Tidak payahlah saya membuat sesuatu yang menarik perhatian kepada saya sendiri. Namun begitu saya juga memainkan peranan saya dalam diam. Lebih baik begitu dari mengeluarkan kenyataan terbuka kepada umum yang boleh memesongkan rakyat tentang isu sebenar yang berlaku pada waktu itu. Cara saya berbeza, contohnya bila saya berjumpa dengan penganjur penting saya akan luahkan pandangan saya.



Lahirkan Melayu berkualiti

Tetapi kebebasan yang diberikan dikatakan menimbulkan banyak masalah lain termasuklah dari segi perkauman?

MUSA: Masalah yang timbul ialah kejutan budaya kerana semua itu tidak pernah berlaku dalam kepimpinan sebelum ini, banyak sangat yang tidak boleh. Dengan semua kebebasan atau kerajaan terbuka oleh Tun Abdullah dan ditambah pula dengan kemudahan teknologi seperti internet dan blog, kita lebih bebas. Namun masalah ini yang tidak disedari oleh kebanyakan pemimpin UMNO. Mereka masih bergantung kepada idea media arus perdana.

Pemikiran untuk terlalu mempertahan hak dan kedudukan Melayu sudah semakin hilang dan tidak lagi begitu relevan. Golongan muda Melayu atau saya panggil Melayu baru sudah berfikiran berbeza dan tidak lagi bergantung kepada semangat kemelayuan yang tingg

Mereka sudah yakin untuk bersaing. Kita terlalu didedahkan dengan cerita bahawa orang Melayu masih lagi ketinggalan, lemah dan tidak boleh. Walhal dalam tempoh masa 20 ke 30 tahun kebelakangan orang Melayu sudah membuktikan mereka berjaya.

Apa yang perlu dilakukan ialah terus menyedarkan orang Melayu bahawa mereka boleh melakukan semua perkara dan saya tidak bersetuju bahawa orang Melayu masih lagi tidak cukup itu dan ini.

Ramai orang Melayu telah membuktikan mereka boleh berjaya dalam pelbagai bidang melalui pendidikan yang diberikan oleh UMNO dahulu dan kita kena terus membuktikan Melayu boleh melakukan apa saja di dunia ini.

Mungkin Tun ada pesanan khusus terhadap orang Melayu mengenai perkara ini

MUSA: Saya berpesan janganlah diperbesarkan tentang isu kuantiti tetapi kualiti dalam hal orang Melayu. Kenapa orang Cina di negara ini yang jumlahnya lebih kecil atau orang Yahudi yang juga kuantitinya kecil di dunia boleh menguasai pelbagai bidang dari ekonomi, teknologi dan sebagainya. Ini semua adalah soal kualiti dan orang Melayu pun boleh berjaya jika kita tekankan soal kualiti. Jika kita naikkan kuota atau penguasaan orang Melayu sehingga 60 atau 80 peratus pun tetapi kualiti menurun sehingga 20 atau 10 peratus, apa gunanya.

Itulah kita terlalu memainkan sentimen nasib dan masa orang Melayu akan gelap namun sebenarnya kita perlu memberi keyakinan dan menunjukkan orang Melayu sememangnya boleh berjaya. Sentimen orang Melayu sentiasa ketinggalan ini tidak boleh diterima oleh pengundi-pengundi baru yang satu ketika dahulu UMNO yang beri pelajaran kepada mereka. Oleh itu kita harus menerima hakikat bahawa orang Melayu sekarang sudah bertukar pemikiran mereka. Maka dengan itu UMNO perlu sedar bahawa golongan Melayu baru ini sudah terpisah daripada mereka dan mereka perlu menarik mereka kembali.

Caranya ialah dengan pergi menghampiri mereka dan kita perlu menyesuaikan diri serta faham apa hasrat dan aspirasi mereka. Jika kita mahu jadi parti politik yang benar-benar mewakili sesuatu kaum atau masyarakat secara keseluruhan maka kita perlu fahami mereka dan bertindak memenuhi apa yang mereka mahukan.

Apakah Tun yakin gabungan pembangkang ini mampu menjadi alternatif kepada rakyat dalam pilihan raya akan datang?

MUSA: Mereka mampu menjadi alternatif kepada rakyat. Namun begitu sama ada Pas, DAP dan PKR mampu bekerjasama antara satu sama lain, itu satu soal lain. Pada hemat saya melalui apa yang saya lihat sekarang ia tidak boleh menjadi. Cuma di luaran sahaja namun dalam isu yang lebih mendalam ia sangat sukar kerana tidak ada persamaan dari segi dasar, ideologi dan sebagainya.

Namun begitu kita jangan lupa sebelum kemerdekaan bagaimana keadaan UMNO, MCA dan MIC. Parti-parti ini mampu bekerjasama walaupun dilihat agak mustahil untuk terjadi, namun ia berjaya. Ia dipanggil sebagai muafakat kerana kepentingan. Tidak mustahil untuk berlaku di kalangan pembangkang. Kita jangan ambil mudah tentang kerjasama antara pembangkang ini.

Kita perlu melihat kepada kelemahan diri kita dahulu untuk kembali berjaya. saya lihat Datuk Seri Najib telah mula tahu dan sedar tentang kelemahan ini bukan sahaja dengan deklarasi dan sebagainya namun beliau memang buat apa yang perlu dilakukan.

0 comments: