Sekatan terhadap blog, internet tindakan 'jelek'
Oleh Imlan Adabi
imlanabadi@nstp.com.my
KETIKA melawat Tembok Berlin tiga dekad lalu, Presiden Soviet Union, Leonid Brezhnev memberitahu sekutunya di Jerman Timur supaya memintas penyebaran maklumat. Kebebasan media, baik dilihat dari perspektif apa pun adalah suatu penentangan terhadap rejim yang pernah didokong oleh Stalin di Kremlin.
Soviet Union yang ketika itu paksi kepada blok timur dikenali Pakatan Warsaw amat bimbangkan kebebasan media. Dia tidak mahu media menelanjangi kebobrokan rejim komunis yang bertapak di Soviet Union, Albania, Jerman Timur, Poland, Czechoslovakia dan Hungary. Dia juga tidak mahu media mendedahkan keseronokan budaya Coca Cola secara berleluasa hingga menyebabkan fungsi rakyat kepada negara terabai.
Pergeseran antara Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan Pakatan Warsaw menimbulkan ketegangan global. Perang dingin memungkinkan ledakan nuklear bila-bila masa. KGB dan CIA � dua agensi perisikan utama dunia bagai bergeser secara terbuka. Perang propaganda menjadi satu bentuk maklumat cara baru.
Di Amerika Syarikat yang sering melaungkan kebebasan media dan dianggap pejuang hak asasi manusia, kebebasan ada masanya membolehkan media menceroboh hak peribadi seseorang. Elizabeth Taylor bagai tidak mempunyai diri lagi apabila segala bentuk skandal peribadi diperdagangkan.
Percintaan, pelukan, babak intimnya sering mengalahkan lakonan sendiri di Hollywood . Puteri Diana dan Elvis Presley juga tidak terkecuali. Media sudah masuk ke kamar tidur. Mereka ditelanjangi sebegitu rupa. Michael Jackson juga terus diperkata, walaupun mayatnya masih tersimpan di dalam peti bawah tanah di sebuah gereja yang banyak dikunjungi kaum kulit hitam.
Kebebasan ada kalanya menjadi lesen untuk membunuh. Sesiapa saja boleh gunakan kebebasan untuk melenyapkan seseorang. Bagi seteru politik, kebebasan wahana terbaik untuk mengusir pihak lawan. Skandal Watergate membuktikan media ada kalanya langsung tidak bersimpati.
Apa dicatatkan Bob Woodward dan Carl Bernstein dalam The Final Days bukan sekadar menghalau Richard Nixon dari Rumah Putih pada 9 Ogos 1974, bahkan mendedahkan skandal orang di sekitar Kongres yang berkepentingan. Buku mereka dianggap 'The worldwide number one bestseller from the authors of All The President's Men'.
Skandal Watergate juga singgah di pawagam seluruh dunia dengan judul All the President's Men yang dibintangi pelakon kacak Robert Redford. Jualan pita videonya 20 juta unit dalam masa lima hari. Dunia bagai terpesona bagaimana kebebasan digunakan untuk mendedahkan skandal terburuk dalam sejarah pentadbiran Rumah Putih.
Orang awam juga bagai tersentak betapa media sudah berjaya menentukan hala tuju dasar pentadbiran sesebuah negara. Hari ini, makna dan takrif kebebasan begitu lunak diperkatakan. Selepas 8 Mac 2008, kita bagai diserang sindrom kebebasan. Media tradisional dan internet begitu rancak menghuraikan kejadian yang dikaitkan kebebasan bersuara dan bermaklumat.
Khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak terkecuali dengan peranan tersendiri. Jika 15 tahun lalu budaya surat layang begitu menggila, hatta menjelang pemilihan pucuk pimpinan Umno, hari ini SMS, internet dan blog mengambil tempat dengan pelbagai citra dan intrig tersendiri.
Bagi mereka yang mahu merayakan teknologi maklumat dan kebebasan individu, inilah masanya untuk mendengar suara dari pelbagai arah. Ledakan internet dan blog selepas penangkapan dan tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 begitu berleluasa. Pertuduhan dan penghakiman ada waktunya cukup sekadar melalui internet.
Hakim, pendakwa dan peguam bela juga hidup dan berwatak melalui skrin komputer. Segala-galanya terjadi apabila kebebasan bermaklumat dijadikan azimat untuk berkata apa saja. Hari ini ada yang tidak segan silu mempersendakan institusi Raja. Ada juga yang boleh mengajak orang ramai keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan berarak ke Istana Negara.
Blogger juga bagai kebal undang-undang, boleh berkata apa saja. Mereka boleh menuduh sesiapa saja yang dirasakan tidak secocok. Mereka juga boleh menghukum dan menghantar seseorang ke neraka.
Ada waktunya, kebebasan yang melampau menyebabkan ketakutan awam. Mao Zedong ketika berkuasa, di sebalik Tembok Besar China sering mengarahkan tentera revolusi mengintip rakyat yang menyimpan radio. Baginya, alat komunikasi adalah musuh revolusi. Penyebaran maklumat secara berleluasa menentang aspirasi rakyat. Apakah kita juga mahu menentang kebebasan bermaklumat?
Persoalan ini amat menarik untuk direnungi. Ketika dunia sedang merayakan kehidupan bermaklumat tanpa batasan, ada yang berasakan maklumat perlu disekat. Internet dan blog perlu dikawal supaya suaranya hanya satu arah.
Tindakan itu tentunya sesuatu yang jelek jika dilakukan selepas 20 tahun komunis runtuh di Eropah Timur. Brezhnev sudah lama menjadi mainan sejarah. Soviet Union hanya tinggal Russia dan beberapa wilayah kecil. Tembok Berlin sudah tiada lagi. Kebebasan sudah menjadi perayaan sejagat.
Apabila ada usaha menyekat internet, ia bagaikan kita menolak perjalanan waktu ke belakang. Tidak mungkin kita memaksa masyarakat hanya sependapat dengan pendirian peribadi. Kebebasan bermaklumat dan berpendapat perlu diutamakan.
Negara kita mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengawal segala tindakan bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum. Akta Komunikasi Multimedia di bawah Seksyen 233 bersedia menangani penipuan, pornografi, ancaman dan suasana menjejaskan keselamatan awam.
Blogger tidak kebal undang-undang. Tindakan keterlaluan boleh dihukum. Akta Hasutan boleh bertindak terhadap pengendali maklumat yang tidak bertanggungjawab. Tindakan undang-undang terhadap mereka bukan bermaksud menyekat dan mengawal blog.
Hari ini, hampir di seluruh dunia kebebasan internet dan blog diperkatakan. Apakah kita juga mahu diperkatakan sebagai bangsa yang menyekat maklumat?
0 comments:
Post a Comment