Sejauh manakah peraturan pemilikan yang dipraktikkan sedekad lalu memberi kesan buruk kepada pengguna Malaysia?
PADA 26 Julai lalu, Kuantan menjadi saksi kemeriahan perayaan sambutan Hari Pengguna peringkat kebangsaan. Mengangkat tema Kuasa Pengguna - 1 Pengguna 1 Suara, sambutan Hari Pengguna 2009 yang diadakan di negeri Tok Gajah itu diisi dengan bermacam-macam acara untuk meningkatkan kesedaran pengguna yang sedang diasak dengan pelbagai isu konsumerisme.
Melihat trend dan gaya hidup pengguna hari ini, maka salah satu desakan konsumerisme yang semakin hangat diperkatakan adalah budaya berhutang bentuk baru iaitu kad kredit.
Ia dilaporkan semakin bercambah malah, ada yang mengklasifikasinya sebagai situasi serius dan boleh menjadi barah jika terus dibiarkan.
Lantaran itu, penggunaan perkataan satu dalam tema Hari Pengguna baru-baru ini juga dilihat bersesuaian untuk menjadi satu indikator meneliti kembali apakah impak trend penggunaan kad kredit pada hari ini selepas sedekad peraturan baru pemilikan kad itu dipraktikkan.
Kebetulan, dua hari selepas sambutan Hari Pengguna 2009, genap satu dekad kerajaan dan institusi perbankan negara memberi kelonggaran terhadap pemilikan kad kredit yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan.
Satu dekad lalu iaitu pada tarikh 28 Julai 1999, institusi perbankan melonggarkan kebenaran pemilikan kad kredit dengan individu yang mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan layak memiliki kad kredit.
Peningkatan mendadak
Rentetan daripada kelonggaran syarat itu, beberapa media melaporkan termasuk Dewan Masyarakat terbitan Disember 2001 yang menyatakan berlaku peningkatan mendadak sehingga 500 peratus pemilikan kad kredit setakat suku pertama tahun 2000.
Bagaimanapun, Bank Negara menafikan angka tersebut dalam satu kenyataan akhbar dengan mendakwa jumlah peningkatan pemilikan hanya 16.9 peratus.
Dalam kenyataan itu juga, Bank Negara menjelaskan, jumlah hutang kredit tidak berbayar sehingga Mac tahun 2000 adalah RM5.7 bilion berbanding Mac 1998, sebanyak RM4.4 bilion.
Selepas sedekad berlalu, angka terkini mendedahkan sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM22.4 bilion.
Ia satu peningkatan lebih daripada 400 peratus dalam tempoh satu dekad, dengan jumlah kad kredit yang beredar di pasaran hari ini berjumlah 11 juta.
Persoalannya, adakah ia satu peningkatan normal dengan jumlah sirkulasi kad kredit 11 juta seiring dengan kemajuan negara atau ia satu angka yang perlu dibimbangkan?
Meneliti keputusan kelonggaran pemilikan kad kredit, timbul juga persoalan, adakah apa yang berlaku itu kesan daripada kelonggaran syarat pemilikan yang ditambah dengan gaya hidup terkini masyarakat hari ini?
Sehingga hari ini, beberapa persatuan pengguna terus lantang membantah kelonggaran syarat pemilikan kad kredit, malah dengan peningkatan angka tunggakan bayaran, mereka melahirkan rasa gusar dengan situasi itu.
Apatah lagi, baru-baru ini, maklumat Jabatan Insolvesi Malaysia mendapati, golongan eksekutif muda antara yang turut terperangkap dalam pengiystiharan muflis kerana gagal melunaskan hutang kad kredit.
Dibebani hutang
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma'amor Osman dan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason antara yang melihat peraturan pemilikan yang dipraktikkan 10 tahun lalu memberi kesan buruk kepada pengguna Malaysia.
"Tanpa kita sedari, kemudahan kad kredit itu sebenarnya telah membentuk gaya hidup yang tidak sihat dalam kalangan pengguna.
|
|
"Orang ramai menggunakan kad kredit tanpa berfikir panjang mengenai kemampuan mereka untuk membayar balik hutang. Akhirnya, mereka tertekan kerana menanggung hutang yang melampau. Apabila diisytiharkan muflis, golongan ini tidak boleh melangkah jauh dalam dunia perniagaan, bahkan susah untuk mendapat kelulusan pinjaman seperti perumahan dan kereta," ujar Marimuthu.
Lantaran itu, katanya, kerajaan perlu segera mengkaji semula kelayakan minimum gaji RM1,500 sebulan dan mencadangkan hanya individu dengan gaji RM48,000 setahun atau RM4,000 sebulan layak memohon kad kredit.
Menyokong gesaan Marimuthu, Ma'amor mengajak semua pihak melihat kumpulan yang sedang berdepan dengan kes muflis tertinggi akibat penggunaan kad kredit.
Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan berusia 30 hingga 40-an, antara yang paling banyak berdepan kes bankrap.
Katanya, kita tidak boleh menafikan bahawa golongan ini mungkin antara yang paling banyak membuat permohonan kad kredit lima atau 10 tahun lalu, dan kini mereka berdepan dengan pengiystiharan muflis.
"Itu yang diisytiharkan muflis. Yang pasti, ramai pengguna kini sedang bergelut dengan masalah hutang kad kredit apabila terpedaya dengan 'kebahagiaan sementara' yang dijanjikan oleh kad plastik elektronik itu," katanya sambil merujuk kepada statistik peminjam yang semakin bertambah mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Muflis
Sementara itu, Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menjelaskan, walaupun kad kredit bukan faktor utama yang menyumbang kepada kebankrapan, namun satu kajian wajar dilakukan bagi menambah baik dasar dan syarat permohonan kad kredit. Ia perlu bagi menjaga kepentingan pemegang kad kredit, pihak bank, masyarakat dan ekonomi negara.
Ini kerana jelas beliau, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihaknya, golongan berusia 35 hingga 44 tahun antara yang paling banyak berdepan dengan pengisytiharan muflis.
"Ia boleh menjadi sesuatu yang perlu dibimbangkan dan diberi perhatian memandangkan mereka termasuk dalam golongan usia produktif," jelasnya kepada Kosmo!.
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati, sebanyak 191 orang daripada kelompok usia 35 hingga 44 tahun muflis, manakala 156 orang antara usia 45 hingga 54 tahun. Ttidak ketinggalan 145 orang dalam kalangan usia 25 hingga 34 tahun turut muflis pada tahun 2008.
Bagaimanapun bagi pensyarah ekonomi yang juga Presiden Persatuan Ekonomi dan Keluarga Pengguna Malaysia, Dr. Jariah Masud, trend pengggunaan kad kredit di negara ini tidaklah terlalu kronik.
"Kad kredit adalah satu kemudahan untuk kebaikan tetapi ia haruslah digunakan dengan betul. Malah, peningkatan penggunaan kad kredit tidak harus dilihat terlalu negatif. Ia adalah sesuatu yang normal.
"Kad kredit membantu melonjakkan ekonomi negara. Dalam hal ini, menjana ekonomi dan menjaga kebajikan pengguna perlu bergerak seiring. Kalau kita terlalu menyekat pemilikan kad kredit, ekonomi tidak dapat dirangsang dan akhirnya ia menyusahkan masyarakat dan negara sendiri," ujar Jariah yang tidak melihat keperluan mengubah syarat pemilikan kad kredit yang ditetapkan 10 tahun lalu.
Sebagai seorang pendidik, beliau percaya pendidikan adalah kunci bagi mengelakkan pengguna menyalahgunakan kad kredit secara melampau.
"Di sekolah, kita belajar mengenai mata pelajaran matematik, kemahiran hidup dan sebagainya. Tetapi kita tidak memasukkan eleman pendidikan kad kredit di dalamnya.
"Saya tidak melihat perlunya diwujudkan satu mata pelajaran, cukup sekadar dimasukkan ke dalam satu silibus atau dijadikan soalan-soalan matematik," katanya yang percaya seorang individu hanya perlu mempunyai satu kad kredit, kecuali jika kerap ke luar negara wajar memiliki dua kad kredit.
Budaya yuppies
Beliau menegaskan, pendidikan menguruskan kewangan termasuk kad kredit sangat penting kerana jika tidak, kita akan berdepan dengan kelompok masyarakat yang hidup dalam keadaan yuppies.
"Itu yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mereka hidup dalam stail atau budaya yupppies. Ia budaya hidup yang terlalu mengikut trend serta up to date. Orang kata baju Dior cantik, kasut LV stailo, kita pun beli tanpa memikirkan tahap kemampuan dan keperluan barangan itu," katanya.
Menurut beliau akhirnya, kita menyalahkan kad kredit.
"Kad kredit tidak wajar disalahkan. Ia berbalik kepada kita sebagai pengguna. Seperti moto Hari Pengguna pada tahun ini, Kuasa Pengguna. Maka, ia menunjukkan bahawa kuasa itu terletak di tangan kita," tegas Jariah.
0 comments:
Post a Comment