Lebih 90,000 dapat manfaat

Lebih 90,000 dapat manfaat

Bagaimana Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membantu orang ramai membebaskan diri daripada belenggu hutang berpanjangan?


AKPK tidak mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang diberikan.


SEKITAR tahun 2006, melalui iklan-iklan di kaca televisyen, rakyat negara ini mula diperkenalkan dengan nama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Ia dihebahkan sebagai sebuah agensi yang mampu membebaskan seseorang daripada beban hutang.

Pada April lalu, AKPK menyambut ulang tahun ke-3 dan jangka usia itu dilihat masih muda. Namun, kalau diukur dari segi peranannya dalam membantu rakyat negara ini yang semakin terjebak dengan pelbagai beban hutang akibat desakan hidup, AKPK cukup matang.


AKPK tidak memberikan pinjaman sebaliknya sesi kaunseling untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.


Dalam satu temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan, beliau menjelaskan, setakat Jun 2009, agensi itu telah memberikan kaunseling kepada 94,035 orang peminjam yang berdepan dengan masalah pengurusan pinjaman.




Daripada jumlah itu, sebanyak 29,518 orang sudah menjalani Program Pengurusan Kredit (DMP) bagi membantu mereka membebaskan diri daripada belenggu hutang berpanjangan dan diisytiharkan muflis.




Bahkan katanya, daripada jumlah peminjam yang menjalani DMP, dalam tempoh kurang tiga tahun, seramai 60 orang berjaya dikeluarkan dari program itu dengan kejayaan membayar keseluruhan hutang berjumlah RM7 juta.




Mohamed Akwal menjelaskan, agensi itu ditubuhkan oleh Bank Negara untuk membantu peminjam dan bakal peminjam mendapatkan kaunseling, pendidikan kewangan dan bantuan pengurusan kredit secara profesional.

Menariknya, AKPK adalah agensi kedua di dunia yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membantu pengguna.

"Negara pertama yang mempunyai agensi khidmat kaunseling kredit yang ditubuhkan oleh kerajaan adalah Korea Selatan. Di negara lain, kebanyakan agensi seperti itu digerakkan oleh agensi bukan kerajaan atau swasta.

"Sebab itulah, saya ingin tekankan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh AKPK adalah percuma," katanya.

Persoalannya berdasarkan kajian AKPK apakah masalah utama pengurusan kewangan dalam kalangan warga Malaysia? Katanya, maklumat yang diperoleh daripada peminjam yang mendapatkan khidmat di AKPK menunjukkan penyebab masalah itu adalah pelbagai.

Daripada kajian sebanyak 22 peratus responden menyatakan kegagalan mereka mengawal kad kredit adalah penyebab mereka berdepan dengan kesukaran menguruskan kredit.

Peratusan yang sama juga mengakui mereka mempunyai perancangan kewangan yang sangat lemah, manakala 20 peratus pula memberitahu kesukaran menguruskan kewangan mereka adalah kerana kos perubatan yang sangat tinggi.

Yang pasti, berdasarkan pecahan itu, kita tidak dapat menafikan betapa kad kredit semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat hari ini sehingga semakin ramai terpaksa berdepan dengan beban hutang yang tidak terkawal.

0 comments: